Halaman

05 May 2014

Satu Nafi Dakwa Penduduk



Syarikat Air Terengganu (Satu) Sdn Bhd telah membuat siasatan di kawasan bermasalah seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian (4 Mei), bertajuk Terpaksa Guna Air Parit, didapati tujuh rumah kediaman, di Kampung Merbau Pulas, Hulu Terengganu yang dilaporkan itu sememangnya menggunakan kemudahan air perigi yang dipam.

 Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Husain Embong, berkata kemudahan bekalan air bersih yang dibekalkan Satu telah tersedia dengan jarak hanya 30 hingga 70 meter dari kediaman mereka.

 Katanya, projek bekalan air ini telah dilaksanakan di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah yang telah disiapkan sejak tahun 2012.

“Namun sehingga hari ini, Satu tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan bekalan air bersih yang dibekalkan oleh Satu dari penduduk terlibat.

 “Mereka memilih untuk menggunakan bekalan air dari perigi yang dipamkan ke kediaman masing-masing. Ini mungkin kerana mereka lebih selesa dengan kemudahan mereka sedia ada dan ingin menjimatkan kos,” katanya.

 Menurutnya, bekalan air perigi yang digunakan sangat berisiko dari segi kualiti dan juga punca air akan bermasalah di musim kemarau.

 “Pihaknya sudah tentu tidak dapat mengarah atau jauh sekali memaksa pengguna supaya menggunakan bekalan air bersih daripada Satu. Pengguna mempunyai hak dan pilihan sendiri.

 “Dalam kes ini, penduduk yang terlibat memilih untuk menggunakan kemudahan bekalan air yang telah sedia ada di kalangan mereka kerana alasan dan rasional mereka sendiri,” katanya.

 Menurut Husain, Satu sangat mengalu-alukan sebarang permohonan penduduk terlibat bagi mendapatkan bekalan air bersih serta bersedia mengambil tindakan bersegera dalam hal tersebut.

 “Pihak kami sangat berharap agar penduduk yang terlibat segera membuat permohonan supaya mereka dapat menikmati kemudahan air bersih demi kesejahteraan dan keselesaan hidup mereka.

 “Bagaimana pun, bagi mengatasi masalah secara sementara, SATU akan berusaha untuk membekalkan air bersih melalui lori tangki dan juga tangki-tangki statik untuk ditempatkan di tempat bermasalah bagi meringankan masalah dan kesusahan penduduk terlibat,’ katanya

 

No comments: