Halaman

15 May 2014

SUK nafi cuti umum sempena perkahwinan anak bekas MB

Dato' Haji Mazlan Ngah ketika Sidang Media di Wisma Darul Iman, hari ini.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mazlan Ngah menafikan kenyataan yang tersebar di laman sosial berhubung Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan 17 Mei ini (Sabtu) sebagai cuti umum khas di Terengganu, sempena kenduri kesyukuran anak bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.


 “Yang pertamanya (sidang akhbar ) adalah mengenai cuti yang disebarkan secara meluas di dalam blog pada hari Sabtu, 17 Mei 2014 dan sebagai gantinya pada 18 Mei itu yang disebarkan oleh blog dan di sini kerana masa yang agak singkat sebabkan hari ini hari khamis saya terpaksa panggil sidang akhbar untuk menafikan sekeras-kerasnya mengenai apa yang telah disebarkan dalam blog.

“Sememangnya 17 Mei hari cuti ( hujung minggu) tapi apabila dilanjutkan (keesokannya) sebab cuti ganti pada hari Sabtu, saya menafikan sekeras-kerasnya ..tidak cuti,” katanya di sidang media di Bilik Mesyuarat Tingkat 15, Wisma Darul Iman, hari ini. Mazlan yang kesal dengan penyebaran tidak bertanggungjawab itu turut menafikan dakwaan di blog mengenai kenderaan rasmi Menteri Besar diambil serta-merta di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu sebelum dibawa ke Pejabat SUK.

 “Dalam hal ini, menimbulkan salah faham kepada orang ramai apa yang dipaparkan dalam blog berkenaan kerana kenderaan itu kita perlu ambil sebagai kegunaan Menteri Besar, YAB Dato’ Ahmad Razif pada pagi semalam oleh kerana beliau datang ke pejabat (memulakan tugas) perlu ada kenderaan rasmi untuk kegunaan beliau.Tetapi, Dato’ Ahmad Razif menggunakan kenderaan peribadi beliau maka tidak menggunakan kenderaan rasmi kerajaan,” katanya.

Menurutnya, sebagai ketua pentadbiran kerajaan beliau perlu membetulkan keadaan kerana kereta rasmi Menteri Besar Terengganu yang dibawa ke Pejabat SUK itu tidak digunakan secara tergesa-gesa sebagaimana dakwaan yang timbul.

Terdahulu, dalam laporan Teganukita.my, semalam Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menafikan catatan yang tersebar di laman sosial Facebook (FB) kononnya Menteri Besar yang baharu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan 17 Mei ini sebagai cuti umum khas di Terengganu sempena kenduri kesyukuran anak bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

Ukom menegaskan bahawa penyebaran berita palsu adalah perbuatan keji dan meminta orang ramai tidak mempercayai perkara tersebut. Selain disebarkan di blog dan aplikasi WhatsApp, FB milik Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus, Dr. Khairuddin at-Takiri turut menyebarkan fitnah mengenai cuti umum khas berkenaan.


No comments: