Halaman

03 May 2014

Tasik Kenyir Terus diKunjungi Hari ke 3.

Tasik Kenyir jam 11 pagi tadi.
Oleh: Aminudin Ismail. 

FESTIVAL Kenyir 2014 yang bermula sejak khamis lalu terus dikunjungi ramai pada hari ketiga berlangsungnya festival itu walaupun ramai sudah mengetahui bahawa jualan bebas cukai tidak dapat diadakan sehingga hari ini kerana kerana beberapa perkara yang tidak dapat dielakan.

Tinjauan Teganukita di Pengkalan Gawi tempat berlangsungnya festival itu pagi tadi mendapati jumlah kenderaan mula masuk ke tapak festival itu semakin banyak menjelang tengahari dan antaranya ialah pengunjung luar Terengganu.

Dua pengunjung tertarik melihat motosikal antik.
Selain mahu melihat lebih dekat suasana Tasik Kenyir yang indah, pengunjung juga tidak melepas peluang untuk membeli belah di gerai yang disediakan yang turut menjual dengan harga yang murah walaupun bukan barangan bebas cukai.

Beberapa gerai pamiran daripada beberapa jabatan kerajaan negeri dan pusat turut disinggahi pengunjung untuk mendapat maklumat dan informasi.

RTM Terengganu turut mengadakan lintas langsung siaran radionya di Kenyir dengan mengadakan beberapa slot untuk penonton antaranya menjemput beberapa pengunjung untuk ditemubual.

Pagi tadi juga turut diadakan Petandingan Bot Laju Kawalan Jauh dengan menampilkan lebih 20 peserta dari seluruh Malaysia.

Turut dilihat ialah kumpulan motosikal dan kereta klasik serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dari beberapa persatuan di negeri ini.

Pertanding bot kawalan jauh turut diadakan.
Pengunjung juga mencuri peluang dengan menyewa bot yang disediakan untuk melawat pulau-pulau di sekitar Kenyir antaranya ke Santuari Kelah di Pulau Petang dan Taman Orkid selain mengambil kesempatan memancing di kawasan yang dibenarkan.

Beberapa pengunjung yang ditemui menganggap Festival Kenyir kali ini lebih menarik tetapi memerlukan beberapa penambahbaikan pada masa akan depan.

“Tasik Kenyir memang menarik dan perlu dikunjungi untuk mendapatkan kepuasan keindahannya. Pada festival kali ini saya melihat banyak aktiviti diadakan untuk pengunjung.

"Bagaimanapun penganjur perlu memperbanyakan lagi gerai jualan manakala gerai pamiran dan jualan pula perlu diadakan berhampiran tempat permainan sukan air supaya tidak jauh berjalan kerana jalan berbukit,” kata Azman Chik pengunjung dari Besut.

Mohd Fuad Abu Bakar dari Nilai, Negeri Sembilan, seorang peniaga makanan kesihatan, berkata beliau melihat sambutan orang ramai terhadap festival ini agak mengalakan sejak tiga hari berlangsung dan mengharapkan supaya semua gerai-gerai peniaga dipenuhkan untuk memeriahkan lagi festival.

Bagi Hafiza Aqeela Maliki, 18 dari Gong Badak pula berkata, beliau tertarik untuk datang ke Tasik Kenyir ini kerana mengetahui banyak aktiviti yang akan diadakan termasuklah dapat melihat kenderaan klasik dan motosikal berkuasa tinggi.

“Walaupun barangan bebas cukai tidak dijual tetapi beberapa gerai jualan juga ada yang menjual lebih murah dari luar cuma agak penat sikit nak berjalan kerana jarak antara tempat pameran dan pesta air agak jauh.

"Bagaimanapun Festival Kenyir ini perlu diteruskan pada masa depan dengan mengadakan banyak aktiviti yang boleh menarik minat remaja untuk datang seperti permainan ‘roller coaster’,  buai gergasi dan lain-lain,” katanya.

Zamri Ali dari Setiu yang menyertai kumpulan motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Guru Terengganu, berkata dia datang membawa bersama anaknya dengan menyertai kumpulan itu ke Tasik Kenyir untuk menikmati keindahan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu.

Zulhelmi Mohd Ali dari Melaka berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk melawat Tasik Kenyir dan turut berpeluang untuk membeli beberapa barangan yang dijual serta melihat beberapa pamiran yang diadakan.

Esok, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said akan merasmikan Festival Kenyir 2014 yang akan diadakan selama sebulan itu.

DJ Radio, menembual seorang kanak-kanak.

Antara gerai yang menjual pakaian.

Jumlah pengunjung semakin bertambah menjelang tengahari.


 
Zamri Ali.

Azman.

Mohd Fuad.

Zulhelmi.
Gerai menjual cadar mendapat perhatian pengunjung.


 

No comments: