Khairy...program kerohanian. |
SAMBUTAN Festival Belia Putrajaya 2014 yang akan berlangsung bermula 22hb Mei ini akan dimulakan dengan program berbentuk kerohanian iaitu Selawat Belia pada malam tarikh itu, kata Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Kita mula Festival Belia Putrajaya tahun ini pada 22hb ini iatu pada malam jumaat dengan satu program Selawat Belia, kita jemput beberapa tokoh agama bersama kita dan kita menjangkakan kehadiran yang ramai pada malam itu," katanya.
“Kita dapat banyak permintaan , saya sendiripun berpendapat bahawa sambutan festival belia ini mestilah seimbang dan ia tidak boleh tertumpu hanya kepada acara hiburan semata-mata, mesti ada acara ilmu, program kerohanian dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan satu program belia di Besut, hari ini. (2hb Mei)
Katanya, Kementerianya akan memperbanyakan program-program modal insan, program keilmuan dan juga kerohanian.
“Saya melihat sambutanya, komen-komen yang saya baca dalam media sosial setakat ini, amat mengalakan. Berdasarkan kepada sambutan selawat perdana Putera Jaya ramai yang datang dan kita harapkan ada ribuan anak-anak muda yang akan datang pada malam pertama iaitu 22hb ini,” katanya.
Menurutnya beberapa tokoh terkenal termasuklah dari timur tengah akan bersama menjayakan program pada malam itu.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Khairy berkata sambutan hari belia bukan hanya tertumpu di peringkat kebangsaan sahaja malah ia mahukan semua belia di negara ini akan menyambutnya.
“Kali ini kita buat perbezaan sedikit, bermula dari peringkat daerah, kita adakan pertandingan, siapa yang menang di peringkat daerah, ia akan bertanding peringkat negeri dan siapa menang di peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, pertandingan itu bukan hanya tertumpu kepada sukan semata-mata tetapi juga dalam bidang-bidang lain.
“Kita ada pertandingan tilawah, pertandingan nasyid, pertandingan kawad kaki, pertandingan koir, pertandingan pidato dan banyak lagi,” katanya.