Oleh: Ruslan Abdul RahmanRata-rata peminat bolasepak kini ghairah atau ‘demam’ Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan. Hari hari teringatkan bola, hari-hari mahu mengadap televisyen untuk saksikan perlawanan sama ada secara langsung atau rakaman.
Kemudahan teknologi komunikasi hari ini menjadikan dunia terlalu sempit. Maklumat pantas dan boleh dilihat secara langsung dalam apa juga bentuk, sekalipun di mana kita berada.
Kejohanan paling berprestij itu begitu mendapat perhatian dan teruja kerana bukan sesuatu yang mudah untuk berada di peringkat itu. Hanya negara-negara yang terhebat di benua masing-masing boleh dan berkelayakan menyertai pertarungan itu.
Dari begitu banyak negara di dunia ini hanya 32 pasukan terpilih ke piala dunia kali. Negara Asia yang berjaya melangkah ke sana hanyalah Australia, Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara.
Harap-harap di masa akan datang, tidak tahu generasi ke berapa, Malaysia mampu menyertai kejohanan terhebat itu. Bagaimana pun pengadil kita, Subkhiddin Mohammed Salleh telah mampu pergi ke peringkat dunia.
Afrika Selatan adalah satu-satunya negara di benua Afrika terpilih menjadi tuan rumah kali ini. Tahniah kepada negara itu, walaupun dipimpin oleh manusia ‘berkulit hitam’ yang pernah dihina dan ditindas suatu ketika dulu oleh dasar apartheid, tetapi hari ini mereka sudah mampu merubah keadaan.
Perjuangan Nelson Mandela menentang dasar apartheid mencapai kejayaan sehingga merengkok di penjara selama 27 tahun. Akhirnya apabila sistem demokrasi terlaksana, parti pimpinan Kongres Nasional Afrika (ANC) menang dan beliau akhirnya bangkit menjadi Presiden pertama Afrika Selatan dari kalangan kulit hitam.
Masa kita belajar sejarah di sekolah dulu, kita tentulah ingat apa yang di sebut ‘tanjung pengharapan’ atau “cape of a good hope’.
Ahli pelayaran Portugis yang dipimpin oleh Bartholomeus Diaz yang berhasrat untuk menjajah di negara-negara timur hanya sempat sampai di tanjung ini pada tahun 1496M kerana tidak mampu oleh gelombang yang besar di Lautan Hindi. Namun bagi mereka apabila sampai di tanjung ini harapan untuk ke timur masih ada dan mereka tidak berputus-asa.
Sehinggalah beberapa tahun selepas itu, ahli pelayaran Portugis Vasco Da Gama mampu melepasi dan sampai ke India. Selepas itu bertalu-talulah kehadiran penjajah Portugis ke timur sehinggalah akhirnya mereka di bawah pimpinan Alfonso de al buqurque menyerang dan menguasai bumi Melayu kita, Melaka yang menjadi titik hitam, bermulanya penjajahan terhadap orang-orang Melayu di negara ini.
Sejarah ini perlu dihayati oleh generasi muda supaya sekurang-kurangnya mereka tahu betapa agenda barat untuk menguasai orang-orang timur sudah sekian lama.
Di Afrika juga ada orang-orang Melayu dan beragama Islam. Khususnya di tempat yang bernama Bo-Kaap, yang terletak di lereng Bukit Signal, di tengah-tengah Bandar Cape Town menjadi perkampungan Melayu sejak 150 tahun lalu.
Di sinilah juga penempatan awal Melayu di Afrika Selatan. Bangsa Melayu yang dibawa adalah terdiri daripada golongan hamba, alim-ulama' serta buangan politik semasa zaman penjajahan Belanda dahulu.
Mereka jugalah kumpulan pertama yang menyebarkan agama Islam di Afrika selatan 300 tahun yang lalu.
Seorang rakan yang telah sempat ke sana berkata, berada di Bo-Kaap seperti berada di Malaysia atau Indonesia.Banyak persamaan budaya Melayu di sini, terutamanya masakan.
Antaranya kari, breyani (baryani), roti ( roti canai), atchar (acar), samoosas ( samosa), vermicelli (meehoon goreng), sago pudding (pudding sago), dan koesisters (kuih seperti akok) yang menjadi manisan popular di sini.
Masyarakat Melayu Afrika Selatan amat berbangga dengan warisan budaya Melayu yang masih terpelihara sejak beratus tahun. Antaranya, Masjid Auwal (Awal) di Dorp St, Bo-Kaap adalah masjid tertua di Afrika Selatan. Ia dibina pada tahun 1798.
Namun kita berharap, jangan kerana asyik dengan bola sepak piala dunia, mengganggu tugas-tugas harian. Sama ada pekerja di jabatan kerajaan mahupun swasta, mereka yang begitu berminat dengan kejuaraan ini diharap menjalankan tugas seperti biasa dan jangan sampai terabai.
Dalam hal lain riuh-rendah pula, kononnya Barisan Nasionan (BN) memberi kelulusan lesen judi bola sepak, walaupun difahamkan masih samar-samar. Pembangkang pun berceramah sana-sana sini membidas betapa tidak Islamiknya BN dan Umno.
Sedangkan lesen judi, rumah urut dan jualan arak tiada masalah pun berjalan seperti biasa di bawah negeri-negeri pembangkang atau di bawah kekuasaan parti mereka.
Sebuah negeri di pantai barat di bawah pembangkang didapati 4,500 premis perjudian dan rumah urut di seluruh negeri itu.
Pembangkang membakar isu berhubung lesen judi untuk mendapat sokongan rakyat tetapi mengapakah menunjukkan sikap 'double standard' mereka, maksudnya mereka boleh luluskan di peringkat negeri, tetapi pihak lain tidak boleh.
Di Terengganu pun semasa pihak pihak lain berkuasa satu penggal sebelum ini,lesen judi juga dikeluarkan, khususnya kepada premis-premis dalam bandar Kuala Terengganu.
Ketika kita bertarung politik sesama kita di sini, pertandingan Piala Dunia 2010 kini sedang bertarung di Afrika Selatan!
Pasukan-pasukan hebat dunia bertarung lagi bagi memiliki piala keagungan bolasepak dunia. Mampukah pasukan-pasukan utama dunia seperti Brazil, Argentina, Jerman, England dan Perancis menjadi juara lagi pada kejohanan kali ini.
Mampukah pasukan-pasukan Benua Afrika merampas piala rebutan ini, ataupun pasukan-pasukan utama Asia mencuri tumpuan menjadi negara Asia pertama memenangi Piala Dunia?
Dalam keadaan ini wajarkah kita di sini bertarung isu politik pula yang ada kaitannya dengan bola sepak piala dunia itu?
TEGANUKITA