Tidak ada istilah ketua baru ketua lama, baginya setiap yang berjaya menduduki kerusi tersebut perlu melaksanakan tanggungjawab menyambung tugas yang ditinggalkan serta merancangkan program baru disamping menjaga kebajikan penduduk.
Dalam pada itu penyelarasan perlu dibuat bagi melancarkan perjalanan organisasi serta memupuk ikatan silaturahim anggota masyarakat supaya lebih kukuh dan harmoni.
“Tidak ada yang istimewa bila kita dipilih menjadi ketua, namun kepercayaan yang diberikan memerlukan pengorbanan bukan sedikit yang membabitkan masa dan tenaga,” kata Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, 52.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Medan Jaya, Marang, Tengku Sulaiman akan memastkan semua projek yang sedia ada tidak terhenti separuh jalan.
Katanya, sebahagian besar penduduk Kampung Medan Jaya mampu berdikari dengan mengusahakan pelbagai projek termasuk menternak kambing, ikan keli, tanaman fertigasi, cendawan, proses cili lumat, jahitan serta kuih tradisional.
Kampung yang asalnya sebuah Taman Perumahan Awam Kos Rendah (RAKR) wujud 25 tahun lalu mempunyai 300 keluarga dari 277 buah rumah dan 1,700 penduduk yang hidup sepakat dan saling menghormati antara jiran tetangga.
Dengan kedudukan rumah yang berbaris panjang mengadap jalan raya memberi kelebihan kampung ini dalam menyusun aktiviti terutama dalam menjaga kebersihan dan keceriaan kampung.
Kata Tengku Sulaiman, setiap orang akan menjaga kawasan keliling rumah masing-masing tanpa perlu keluar kawasan, cuma sekali sekala sahaja mereka bergotong royong bersih kawasan Perpustakaan Desa yang dijadikan dataran tempat mengadakan aktiviti.
Keadaan geografi kampung yang menarik dan tersusun memberi banyak kelebihan dalam meraih kejayaan disamping kerjasama erat antara penduduk ketika menjayakan aktiviti.
Kejayaan Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) di bawah Jabatan Pertanian yang dipengerusikan oleh Tengku Nor Zuraidah Tengku Abdul Jalil telah mengharumkan lagi nama Kampung Medan Jaya di mata masyarakat luar.
Pelbagai produk dikeluarkan termasuklah mengusahakan roti, bahulu bunga,kerepek bilis, katering untuk majlis kenduri dan biskut raya dimana tahun ini menerima tempahan lebih 80,000 biskut pelbagai jenis.
Istimewanya, ramai kalangan ahli KPW cemerlang dalam membina kerjaya masing-masing seperti pengusaha spa/salun, batik, chalet, keropok dan barangan kraf yang aktif menjual dan menerima tempahan.
Malah katanya, seorang pengusaha keropok di bawah KPW meraih pendapatan RM10,000 sebulan dan bengkel roti yang memulakan operasi dua tahun lalu turut menambah pendapatan suri rumah.
Menurut Tengku Sulaiman, tiga tahun lalu (2007) Medan Jaya terpilih sebagai tapak pelancaran program ‘Bumi Hijau’ yang dirasmikan Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Idris Jusoh.
“KPW turut meraih anugerah johan di peringkat Kebangsaan dalam kategori Kemajuan Industri Wanita (2008); johan peringkat negeri dalam pertandingan sempena Bulan Kemerdekaan (2008); tempat ke dua Anugerah Desa Cemerlang peringkat daerah Marang (2009).
Medan Jaya berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang dikuasai parti pembangkang namun Tengku Sulaiman ada cara tersendiri bila berdepan dengan fanatik kepartian.
“Saya sentiasa ingatkan golongan muda tidak mengikut rentak mereka yang cuba menimbulkan ketegangan dan cuba bertindak secara profesional kerana pada kebiasaan golongan itu sengaja membangkitkan isu,” katanya.
Selaku badan induk dalam kampung, JKKK mendapat kerjasama penuh beberapa sayap seperti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Persatuan Belia 4B, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Bomba dan Khairat Kematian.
“Kejayaan yang dicapai hasil kerjasama erat semua pihak dan saya bangga kerana rata penduduk disini sentiasa ringan tulang dan sedia menerima perubahan,” katanya.
Tahun 2010, Medan Jaya akan lebih teserlah apabila beberapa projek akan dilaksanakan termasuk lima buah homestay, pusat K-Bestari, tambahan bangunan KPW serta pembesaran bangunan Perpustakaan Desa.
UKOM