Halaman

06 January 2010

Terengganu Sasar 64 Emas Sukma Melaka

Oleh: Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said melahirkan rasa yakin dengan kemampuan barisan atlet Terengganu untuk mengekalkan gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung di Melaka Jun depan.

Katanya, atlet Terengganu dijangka mampu mengatasi pencapaian pada Sukma Terengganu yang lalu dengan sasaran 64 pingat emas.

“Saya turut merasa gembira kerana beberapa acara akan diterima untuk pertandingan nanti walaupun pada awalnya terdapat desas-desus ianya ditolak,” katanya kepada pemberita di majlis suaimesra dengan persatuan berpotensi memenangi pingat dan tambahan sembilan sukan baru temasya Sukma X111, Melaka 2010 di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Turut hadir, Dato’ Bandaraya Kuala Terengganu, merangkap Ketua Kontijen Sukma Melaka 2010, Dato’ Mat Razali Kassim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Rosdi Awang serta pengerusi persatuan, pengurus dan jurulatih sukan yang mengambil bahagian.

Katanya, sembilan tambahan sukan baru yang dimasukkan dalam senarai pertandingan Sukma di Melaka itu nanti antaranya ialah Kanu di mana pasukan Terengganu berjaya memungut 14 pingat emas dalam acara itu pada Sukma yang lalu.

“Kita turut menaruh harapan terhadap sukan Formula Future yang baru pertama kali diperkenalkan di Sukma nanti kerana pasukan kita sudah berpengalaman mewakili negara ke pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Selebihnya adalah acara Lawan Pedang, Judo, Tenis, Ragbi, Kabaddi dan Bola Tampar di mana acara sukan ini menjadi taruhan untuk mengutip pingat.

Bagaimanapun, ianya bergantung kepada keadaan semasa serta kesediaan para atlet kita untuk berjuang habis-habisan bagi mengutip pingat untuk negeri dan ganjaran akan menanti atlit yang berjaya menyumbang pingat.

“Setakat ini ganjaran kepada penyumbang pingat masih kekal seperti tahun lalu iaitu RM3,000 (emas) RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Datuk Abdul Rahin kemudiannya turut menyampaikan insentif kepada pengerusi-pengerusi, setiausaha dan pengurus pasukan yang banyak menyumbang bakti untuk membangunkan sukan di negeri ini.

UKOM