Halaman

09 October 2009

Mohd Ayub Telah Dibenarkan Pulang

Kuala Terengganu - 7 Oktober 2009 (RABU)

Setelah lebih seminggu berada di Kuala Lumpur, kini Mohd Ayub telah dibenarkan pulang.

Mohd Ayub 7 tahun, yang telah menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 30 September lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur kini telah dibenarkan pulang pada pagi 7 Oktober 2009.

Mohd Ayub telah dibawa balik ke Kuala Terengganu dengan kenderaan yang disediakan oleh pejabat YAB Menteri Besar Terengganu.

Ketibaan Mohd Ayub di rumahnya di Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada jam 6.00 petang hari yang sama telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh keluarga dan sanak-saudaranya.

UKOM
_________________________

Timur: Murid selamat bedah jantung

Pusat perubatan tanggung kos bedah, kerajaan Terengganu bayar ubatan


KUALA LUMPUR (BERITA HARIAN ONLINE): Impian Mohd Ayub Mansor, 7, untuk hidup normal seperti rakan sebaya lain akhirnya menjadi kenyataan apabila selamat menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Prince Court, di sini, Rabu lalu.

Kos pembedahan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu itu dibiayai sepenuhnya pusat perubatan berkenaan, manakala Kerajaan Terengganu menaja kos ubatan, makan minum, pengangkutan dan penginapan ibu bapa kanak-kanak itu sepanjang menjalani rawatan di ibu negara.

Ibu Mohd Ayub, Hariati Mohd Fauzi, 33, berkata anaknya dikesan menghidap jantung berlubang sejak kecil namun disebabkan kemiskinan keluarga, Mohd Ayub hanya menjalani pembedahan jantung, Rabu lalu selepas kisahnya disiarkan media.

“Kami tidak mampu menanggung kos pembedahan kerana suami, Mansor Embong, 39, hanya bekerja sebagai jurujual alat ganti, manakala saya tidak bekerja. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana penderitaan Mohd Ayub mendapat perhatian Kerajaan Terengganu, khususnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

“Selepas ini, saya berharap kehidupan Mohd Ayub lebih ceria dan aktif. Sebelum ini, dia tidak boleh begitu aktif atau lasak sebab akan cepat penat. Saya sudah tidak sabar untuk melihat dia kembali ke sekolah,” katanya ketika menerima kunjungan Ahmad di pusat perubatan berkenaan, semalam.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri pada mulanya bersetuju membiayai kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi pakar jantung Pusat Perubatan Prince Court, Dr David Khoo Sin Keat menawarkan Mohd Ayub dibedah di pusat perubatan itu yang turut menanggung kos pembedahan.

“Jadi, kita bantu dari segi kos rawatan susulan seperti kos ubatan dan berkaitan yang jumlahnya bergantung kepada keperluan kes berkenaan,” katanya sambil menambah kerajaan negeri akan membantu seorang lagi kanak-kanak dari Kampung Lubuk Lesung, Terengganu menjalani pembedahan jantung, selepas ini.

WDI jadi lokasi penerjun antarabangsa

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Penerjun `KL Tower International Jump Malaysia 2009' menunjukkan aksi terjun dari atas bangunan Wisma Darul Iman iaitu bangunan pentadbiran negeri Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Bangunan pusat pentadbiran negeri Wisma Darul Iman (WDI) turut menjadi lokasi pilihan 15 penerjun antarabangsa untuk mempamerkan aksi masing-masing sempena `KL Tower International Jump Malaysia 2009’.

Aktiviti mencabar bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu berjaya dilakukan tanpa sebarang kecederaan dengan disaksikan lebih 500 kakitangan WDI dan pelajar sekolah sekitar Kuala Terengganu.


Dato' Mazlan Ngah memalu gong merasmikan KL Tower International Jump 2009 di perkarangan Wisma Darul Iman.

Sebelum melakukan terjunan, peserta diberi latihan dan taklimat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

WDI yang mempunyai ketinggian 107 meter menjadi lokasi kedua penerjun selepas Kompleks Teruntum, Pahang.



Program berlangsung selama 23 hari bermula 3 Oktober lalu berjaya memikat hati penonton kerana turut disertai penerjun profesional tempatan.

Selain bangunan WDI, aktiviti seumpama itu turut dipertontonkan kepada orang ramai di Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu sebelum bertolak destinasi seterusnya iaitu di Menara Taming Sari, Melaka.



Lokasi terakhir penerjun adalah di Menara Kuala Lumpur pada 25 Oktober. Sehingga hari ini lebih 100 peserta pelbagai negara mendaftarkan diri untuk membuat terjunan di menara tertinggi di Asia.

UKOM

Dua peserta China menang Kenyir Cup 2009

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Datuk Za'abar (tengah) bersama pemenang Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kehadiran kira-kira 150 pemancing dari China memang menghangatkan cabaran Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009.

Ini terbukti apabila tempat kedua dan ketiga menjadi milik pasangan dari China, Yeung Wei Chi serta Wong King Tsuen dan Duzu Gui dan Wei Qiang Ghong dengan membawa pulang, RM10,000 serta RM5,000.

Bagaimanapun peserta tempatan berjaya mencuri tumpuan apabila pasangan - Mohd Zaki Mat Zin, 50, dan Asri Mat Isa, 38 - membawa pulang RM15,000 setelah memenangi piala berkenaan yang diadakan di Tasik Kenyir pada 4 hingga 5 Oktober lalu, di sini.



Lebih manis, Mohd Zaki yang berasal dari Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu turut mengungguli Anugerah Khas-Toman Terbesar apabila menaikkan ikan sepanjang 78 sentimeter (sm) dan tempat pertama Anugerah Sagu hati-Belida Terbesar setelah menjinakkan ikan sepanjang 85.5 sm.

SementaraAsri yang juga pemandu bot laju di Tasik Kenyir yang berasal dari Kampung Pasir Dula, Hulu Terengganu juga pulang bergaya selepas turut memenangi tempat kedua Anugerah Khas-Toman Terbesar dan pertama bagi Anugerah Saguhati-Belida Terbesar.

Asri berkata, kemenangan yang tidak terduga itu adalah rezeki baginya dan dia berhasrat menggunakan duit dimenanginya itu bagi perbelanjaan keluarga serta lima anaknya, selain keperluan berkaitan. :

Menurutnya, dia mencari rezeki sebagai pemandu bot sejak 18 tahun lalu tetapi sepanjang tempoh itu tidak pernah menyertai pertandingan memancing.

“Tahun ini adalah julung kali saya berbuat demikian dan Kenyir Cup 2009 ini adalah pertandingan memancing kedua disertai. :

“Sokongan rakan membuatkan saya bersemangat menyertai pertandingan dan tidak menyangka akhirnya dinobatkan sebagai juara,” katanya.

Menurutnya, ternyata angka 47 membawa tuah kepada saya dan pasangan sebagai peserta.

Dalam pada itu, Mohd Zaki turut melahirkan kegembiraan memenangi pertandingan berkenaan dan berharap acara seumpama itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang kerana ia juga dapat memberi peluang kepada kaki pancing berkumpul.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Pertandingan memancing Kenyir Cup 2009, anjuran Kerajaan Terengganu dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri itu menarik lebih 200 penyertaan.


Peserta memancing menunjukkan hasil yang diperolehi sepanjang memancing di Tasik Kenyir.

UKOM

Khidmat Gemilang, Kemajuan Jabatan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Kakitangan YT yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang bersama Dato' Mazlan Ngah selepas majlis penyampaian hadiah.

Kakitangan sektor awam harus sedar perkhidmatan mereka kini mempunyai daya saing yang tinggi, mampu memberi nilai tambah dan dapat menghasilkan penyampaian perkhidmatan yang penuh gemilang untuk kemajuan jabatan serta pembangunan negeri dan negara.

Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Mohd Kamaru Al-Amin Ismail, berkata ciri perkhidmatan awam yang gemilang termasuk ketepatan masa dalam memberi perkhidmatan, ketepatan fakta dan maklumat yang diberikan kepada pelanggan serta sentiasa responsif kepada kehendak pelanggan.

Selain itu, kakitangan awam juga perlu menyempurnakan tugas dengan cara yang adil, jujur dan bersikap baik hati, sopan-santun ketika berurusan dengan pelanggan, menepati temu janji yang dibuat dengan pelanggan, tidak melakukan pembaziran sumber, menghargai masa, berhemat serta memiliki peribadi mulia.

“Oleh itu, kita haruslah terus berusaha mempertingkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam setiap aspek tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan khususnya merancang, menggerak, melaksana dan memantau setiap program serta aktiviti bahagian atau jabatan selaras dengan objektif dan matlamat YT.

“InsyaAllah hasrat kerajaan negeri bagi `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’ yang selari dengan hasrat kerajaan persekutuan iaitu `rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ akan tercapai,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YT 2009 dan Majlis Hari Raya Aidilfitri , di Dewan Besar, YT, Kuala Terengganu, kelmarin (5 Oktober).



Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah yang turut hadir dalam majlis tersebut kemudiannya menyampaikan hadiah kepada 21 penerima anugerah itu, selain pemberian insentif kepada kakitangan YT yang berkhidmat melebihi 20 tahun.

Haji Mohd Kamaru berkata, setiap perubahan dan pembaharuan di bahagian jabatan sama ada dari aspek sktruktur organisasi, peralatan dan kemudahan pejabat, sistem dan prosedur kerja, teknologi komputer hanya akan membawa kesan yang benar-benar bermakna jika diiringi dengan kesedaran, perubahan sikap dan komitmen jitu terhadap keperluan menyediakan perkhidmatan terbaik.

“Oleh itu, dalam usaha kita mahu membudayakan perkhidmatan cemerlang dalam YT, maka kita perlu mengkaji semua amalan masa kini dan melakukan penambahbaikan terhadap amalan itu untuk menimngkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan dan `stakeholders’.

UKOM


Salak Terengganu Berdaya Saing

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YB Rozi melihat hasil salak Terengganu ST1 selepas melancarkan klon berkenaan di Mardi Jerangau, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Satu lagi sejarah direkodkan apabila tiga klon salak Terengganu - ST1, ST2 dan ST3 hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) yang baru dilancarkan dijangka berupaya mewujudkan industri buah-buahan yang berdaya saing di negeri ini.

“Rasanya yang unik iaitu lemak, manis dan sekata dengan isi lebih tebal mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani, sekaligus kepada pembangunan ekonomi negeri ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Rozi Mamat di Majlis Pelancaran Klon Salak Terengganu 1, (ST1) ST2,ST3 dan Teknik Aruhan di Stesen Mardi Jerangau, Hulu Terengganu, hari ini (6 Oktober).



Turut hadir, Ketua Pengarah Mardi, Dato’ Dr Abd Shukur Abd Rahman; Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Aziz Mamat dan Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, Tengku Abdul Malik Tengku Maamum.

Katanya, matlamat utama perancangan pembangunan sektor pertanian di negeri ini adalah untuk memastikan setiap petani memperolehi pendapatan melebihi RM500 sebulan. Oleh yang demikian, kerajaan optimis bahawa matlamat itu boleh dicapai berasaskan program dan aktiviti yang dirancang serta dilaksanakan.

Menurut YB Rozi, untuk menanam salak petani tidak perlu mencari kawasan baru, sebaliknya memadai dengan menanam dicelah-celah dusun kelapa atau getah di mana 200 pokok boleh ditanam di setiap hektar serta mampu menambah pendapatan.

“Sehingga ini kawasan tanaman salak hanya seluas 1,990 hektar dengan pengeluaran yang terhad iaitu 4,000 metrik tan (mt) sahaja dan penanaman salak klon baru ini telah ditanam di Agro Resort Setiu, Jabatan Pertanian Sekayu, Perkaya Kemaman dan beberapa petani di Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya.



Manakala teknik pembiakan tampang salak (teknik aruhan sulur) yang diperkenalkan oleh pihak Mardi membuka peluang kepada semua pengusaha dan petani yang berminat untuk dikomersialkan sekaligus dapat membangunkan industri salak tempatan.

Sementara permintaan domestik salak tempatan ini amat memberangsangkan dan meningkat dari tahun ke tahun iaitu 1,872 mt (2003) kepada 2,738 mt (2007) dan anggaran permintaan akan terus meningkat menjelang 2010 iaitu 3,000 mt.

UKOM

05 October 2009

KL Tower International Jump 2009 Tampil Kelainan Terjun Waktu Malam

Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu dan Hotel Felda Residence pada 7 Oktober 2009

KUALA LUMPUR 30 Sept (Bernama) -- Acara "KL Tower International Jump Malaysia" kali ini menampilkan kelainan dengan mengadakan terjunan pada waktu malam di tiga lokasi iaitu di Menara Taming Sari, Melaka (10-11 Okt), Menara Alor Setar (15-16 Okt) dan Menara Kuala Lumpur (23-25 Okt).

Bagaimanapun di lokasi keempat, iaitu Menara Komtar Pulau Pinang, penerjunan adalah hanya pada waktu siang, kata Pengurus Besar Kanan Menara Kuala Lumpur, Fadzil Ibrahim pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Katanya 30 orang penerjun antarabangsa dan tempatan telah mendaftar untuk melakukan aksi terjun di sebelah malam di tiga lokasi itu.

"Tiga lokasi ini dipilih kerana faktor ketinggian dan tempat mendarat yang selamat selain daripada faktor teknikal yang lain," katanya.

Untuk acara tahunan kali ini, empat lagi lokasi baru diperkenalkan iaitu Kompleks Teruntum, Pahang (4 Okt), Hotel Felda Residence, Terengganu (7 Okt), Gua Damai, Batu Caves, Selangor (20 Okt) dan Wisma Darul Iman, Terengganu (7 Okt).

Fadzil berkata setakat ini 100 orang penerjun dari 23 negara termasuk Malaysia telah mendaftar untuk menyertai sukan ekstrem itu.

-- BERNAMA

MB Lawat Mohd Ayub

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar dan isteri sempat meluang masa melihat keadaan adik Mohd Ayub Mansor yang selamat menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, melawat pesakit jantung berlubang, Mohd Ayub Mansor, 8 tahun yang masih menjalani rawatan penyakit jantung di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pagi semalam (3 Oktober).

Beliau yang diiring isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dan Setiausaha Sulit Kanan, Haji Wan Ahamad Wan Muda, meluangkan masa hampir sejam untuk bertanyakan khabar pesakit dan keluarganya.

Pakar perubatan hospital itu, Dr David Khoo Sin Keat, turut berada di hospital dan memberi penerangan mengenai keadaan kesihatan Mohd Ayub.

Berdasarkan keadaan semasa, Dr Dr David mengjangkakan pesakit berkenaan dijangka keluar dari hospital berkenaan Selasa ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus memberi bantuan kepada pesakit kronik yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit mereka.


Dr David menerangkan perkembangan adik Mohd Ayub kepada Dato' Ahmad Said.

“Kita akan tengok kes-kes yang boleh dibantu dan pesakit akan diberi bantuan perubatan mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri,” katanya selepas melawat pesakit berkenaan.

Beliau berharap Mohd Ayub akan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain selepas ini dan kerajaan sedia memberi bantuan lain seperti ubat-ubatan tambahan kepada kanak-kanak tersebut selepas rawatan itu.


Dato' Ahmad memastikan tahap kesihatan adik Mohd Ayub stabil sepanjang berada di wad Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur sambil dibantu Dr David.

Dato’ Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan hospital berkenaan, khususnya Dr David yang terbabit secara langsung dalam menjayakan pembedahan berkenaan.

UKOM

02 October 2009

Mohd Ayub Semakin Sihat

Oleh: Kamarudin bin Mat Akib / Mohd Yahya
Foto dirakam oleh : Zulkifli CW Putra



Mohd Ayub dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi ke wad biasa.

Mohd Ayub 7 tahun, yang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 30 September lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur kini telah semakin pulih dan stabil.


Mohd Ayub dibantu ketika menaiki katil di wad biasa.


Mohd Ayub kelihatan tenang di wad. (KLIK gambar)

Semua tiub di badannya telah dibuka dan Mohd Ayub telah dipindahkan dari unit rawatan rapi dan ditempatkan di wad biasa pada jam 12.30 tengahari tadi.


Pemeriksaan kesihatan ketika di wad.

Mohd Ayub telah dapat makan dan minum seperti biasa serta dapat menonton televisyen.

UKOM

01 October 2009

Mohd Ayub Semakin Stabil

Oleh : Suriati binti Ali/Kamarudin Mat Akib


Foto dirakam oleh: Zulkifli CW Putra

Keadaan pesakit jantung berlubang, Mohd Ayub Mansor, 7 tahun, semakin stabil dan baik selepas selamat menjalani pembedahan kira-kira jam 9.30 pagi semalam (30 September) di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Perunding Anaesthetist, pusat perubatan itu, Dr. Hoe Kah Siong berkata, berdasarkan perkembangan, pesakit mungkin dibenarkan keluar dari pusat rawatan rapi hospital itu dalam masa terdekat sebelum dihantar ke wad biasa.

Beliau berkata, seawal jam pagi ini, Ayub mula meminta makanan dan minuman. Pihak hospital memantau keadaan pesakit dari semasa ke semasa.





UKOM

30 September 2009

Mohd Ayub Selesai Menjalani Pembedahan

Oleh: Ruslan Abdul Rahman/Kamarudin Mat Akib/Aida Abdul Rahman



Pesakit jantung berlubang, Mohd.Ayub Mansor (7 tahun) dari Kampong Simpang Tok Ku Cabang Tiga kini telah selesai dibedah hari ini (Rabu, 30 September 2009). Pembedahannya itu dibiayai oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut pakar bedah jantung Dr. David Khoo Sinkeat yang mengetuai pasukan pembedahan yang berlangsung selama 2 jam setengah di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, bermula jam 9.30 pagi tadi.

Melalui pembedahan itu satu lubang di jantung pesakit bersaiz 1 inci telah ditampal manakala satu saluran darah yang lebih telah diikat.

Dijangka dengan rawatan itu jantung Mohd.Ayub akan berfungsi dengan baik selepas ini.
Pesakit dilaporkan belum stabil sepenuhnya dan masih menggunakan peralatan pernafasan serta masih ditempatkan di unit rawatan khas di bawah pengawasan.



Kos rawatan yang dijangka RM30,000 akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sewaktu melawat pesakit berkenaan 20 Ogos lalu.

Pesakit ditemani oleh ibubapa serta neneknya sepanjang berlangsungnya pembedahan dan rawatan tersebut.



Sebelum ini Mohd Ayub Mansor, murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga, menghidap penyakit itu sejak dilahirkan dan terpaksa menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), setiap enam bulan sekali.


Menteri Besar bertanya khabar kepada adik Mohd Ayub Mansor yang mengalami sakit jantung di Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, sambil menghulurkan bantuan rawatan.
Foto : Zulkipli bin CW. Putera


UKOM