Halaman

21 March 2011

PPDNKK rampas telefon bimbit tiruan bernilai RM26,490

Oleh: Esah Abdullah

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu(PPDNKKT), merampas 105 set telefon bimbit tiruan pelbagai jenama dari China yang bernilai RM26,490 dalam serbuan di tapak karnival Bandar Ketengah Jaya, Dungun semalam.

Timbalan Pengarah PPDNKK, Encik Abdul Ghani Harun berkata, operasi yang disertai 20 anggota penguatkuasa PPDNKK daerah Dungun dan ibu pejabat itu bertindak di atas aduan orang ramai dan berjaya menahan 14 peniaga telefon bimbit tiruan di tapak karnival berkenaan.

“ Peniaga terbabit boleh di dakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000,” katanya dalam sidang media di PPDNKKT, Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu hari ini (21 Mac).



Katanya, telefon yang dirampas merupakan pelbagai jenama terkenal seperti Nokia, Blackbery, Samsung dan sebagainya yang diragui keasliannya kerana harga dijual jauh lebih murah iaitu jenama Blackbery dengan harga RM450.00.

“Seolah menjadi trend kepada peniaga telefon bimbit tiruan yang menjadikan tapak karnival atau pasar malam sebagai lokasi jualan dengan menawarkan harga murah untuk memerangkap orang ramai,” katanya.

Encik Abdul Ghani kemudiannya meminta masyarakat yang mengetahui adanya karnival di kawasan masing-masing sila maklumkan kepada pihak PPDNKKT, supaya pihaknya boleh bertindak sebelum mereka berjaya menipu lebih ramai orang.

Pihak PPDNKKT juga akan mengadakan mesyuarat dengan majlis-majlis daerah mengenai penganjuran karnival di daerah-daerah supaya mereka tidak membeli kelulusan kepada peniaga-peniaga sebegini yang terang-terang menipu pengguna.

Encik Abdul Ghani berkata, tahun lalu pihaknya membuat tiga rampasan telefon bimbit di tapak karnival di Taman Shah Bandar, Gong Badak dan Pusat Dagangan Terengganu (TTC) dan sejak itu tumpuan mereka mula beralih ke kawasan pendalaman.




Semua program hiburan dibatal sepanjang tempoh berkabung

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan Terengganu mengarahkan semua program dan aktiviti berbentuk hiburan di seluruh negeri dibatalkan berkuatkuasa serta merta bagi menghormati kemangkatan Almarhumah bonda Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Bariah Almarhum Sultan Hisahmuddin Alam Shah al-Haj, awal pagi tadi.

Berikutan itu juga, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, berkata semua jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di negeri ini diarah mengibarkan bendera negeri Terengganu separuh tiang sebagai tanda berkabung.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh berkabung kerana ia akan dibincangkan petang ini dan pengumuman mengenainya akan dilakukan kemudian.

Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut diiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta dua anakanda, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu jam 11.20 pagi ini bagi menyambut ketibaan jenazah Almarhumah.

Kira-kira setengah kemudian jenazah Almarhumah selamat tiba di LTSM dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum dibawa ke Istana Maziah menggunakan van jenazah.



Jenazah dijadualkan dimakamkan di Makam Diraja Masjid al-Muktafibillah Ladang, Kuala Terengganu jam 3.00 petang ini.




SPM –Terengganu Kekal Nombor Satu ?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Terengganu dijangka mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan diumumkan Rabu ini (23 Mac 2011).

Sumber-sumber Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan para pelajar di seluruh negeri yang menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.

Jika keputusan itu yang bakal diumumkan di seluruh negara mulai jam 10 pagi Rabu ini memihak kepada Terengganu, bermakna negeri ini sekali lagi unggul menjuarai semua peperiksaan awam tahun 2010.

Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai juara peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2010 yang sudah diumumkan sebelum ini.



Pada bulan lalu, Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, mengumumkan ekoran kejayaan Terengganu mengekalkan kedudukan terbaik STPM bagi seluruh negara kali ketiga berturut-turut, 30 pengetua sekolah menengah yang ada pelajar menduduki peperiksaanitu akan dihantar ke luar negara, sebagai insentif kejayaan.

Beliau berkata, 50 guru besar dan penolong kanan dari sekolah yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR tahun lepas juga akan dihantar ke luar negara kerana kejayaan Terengganu kekal sebagai juara 10 tahun berturut-turut.

Setakat ini kerajaan negeri memutuskan untuk menghantar 110 guru besar atau penolong kanan ke luar negara kerana kecemerlangan pelajaran dan bilangan itu akan bertambah kepada 140 orang jika Terengganu sekali lagi muncul juara SPM.

Terengganu muncul juara bagi peperiksaan buat kali pertama bagi peperiksaan SPM 2009 apabila keputusannya diumumkan Mac tahun lalu.

Sebelum ini kerajaan negeri menghantar guru besar dan pengetua dari sekolah yang mencatat keputusan terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM bagi menghargai jasa-jasa mereka membantu meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu.



Bonda DYMM Yang di-Pertuan Agong mangkat

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan



Bonda Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Bariah mangkat jam 1.07 pagi tadi di Pusat Rawatan Seri Kota, Klang, Selangor.

Jenazah Almarhumah akan diterbangkan kembali ke Kuala Terengganu menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja (TUDM) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, jam 10.45 pagi ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata masa ziarah bagi seluruh rakyat jelata di Istana Maziah bermula jam 1 petang hingga 2.30 petang.

Beliau berkata, jenazah Almarhumah akan dimakamkan di Makam DiRaja Masjid al-Muktafi Billah Shah, Ladang, pada jam 3.00 petang ini.




MBKT jejak pemilik asal bangunan Kampung Cina

Oleh: Aida Abd Rahman



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini sedang menjejaki pemilik asal bangunan di Kampung Cina bagi tujuan mendapatkan kelulusan untuk menjalankan kerja pengubahsuaian bagi mengindahkan bangunan warisan di situ.

Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBKT, Encik Zakaria Abdullah, berkata kesukaran menghubungi pemilik asal bangunan itu menyebabkan pihaknya tidak dapat melaksanakan kerja pengubahsuaian dalam tempoh terdekat.Katanya, ada kalangan pemilik asalnya sudah pun meninggal dunia dan berpindah ke tempat lain termasuk kembali ke China.

Sehubungan itu, katanya MBKT akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak terlibat bagi mencari alternatif terbaik bagi menangani masalah itu.

“Sebarang kerja pengubahsuaian bangunan itu perlu mendapat kebenaran pemilik asal sebelum sebarang tindakan diambil. Malah, hampir semua bangunan di situ adalah bangunan lama serta setiap lot dimiliki ramai pemilik,” katanya.

Oleh itu, pihaknya perlu mendapatkan kebenaran atau tandatangan daripada setiap penama yang terdapat pada lot-lot berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau meminta penduduk yang masih menetap di stu supaya mengambil inisiatif sendiri untuk memperindahkan bangunan mereka.

“Dalam usaha memperelokkan bangunan itu, pada masa yang sama mereka perlu tetap mengekalkan keunikan warisan yang ada di situ,” katanya.



UMNO Terengganu jumpa blogger

Oleh: Kamarudin Mat Akib

UMNO Terengganu akan mengadakan pertemuan dengan blogger-blogger yang ada di negeri ini bagi mendapatkan bantuan penjelasan dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa, sebagai persiapan awal untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada gerak kerja pihaknya, bagi menghadapi serangan yang dilakukan parti pembangkang.

Beliau berkata, penggunaan media baru itu penting kerana ia turut menjadi wadah sebahagian besar rakyat ini mendapatkan maklumat mengenai perkembangan politik semasa.

“Kita akan memberi input-input yang berkaitan kepada blogger-blogger berkenaan supaya mereka mendapat gambaran yang jelas mengenai program dan projek yang sudah dilaksanakan pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Teganukita dalam pertemuan baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti blogger-blogger yang aktif menulis dan pertemuan akan diatur dalam masa terdekat ini.

Selain itu, Haji Ahmad Razif berkata, pihaknya juga akan mengadakan penerangan isu-isu semasa di seluruh negeri bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai apa yang sudah dilakukan selaras dengan konsep “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Pada masa yang sama risalah-risalah juga akan diedar mengikut isu tertentu supaya rakyat tidak dikelirukan dengan pelbagai dakyah yang dibawa oleh pihak pembangkang.




20 March 2011

Penerbangan umrah kedua mendarat terus di Madinah

Oleh: Esah Abdullah



Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bercadang untuk membuat penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Madinah, bagi pakej umrah yang dikendalikan kerajaan negeri pada masa akan datang.

Naib Presiden Bahagian Haji dan Sewa Khas MAS, Kapten Nik Huzlan Nik Husein berkata, pada masa ini terdapat cadangan daripada kerajaan negeri untuk mengadakan pakej umrah empat kali setahun melalui penerbangan terus dari LTSM, jika mendapat sambutan daripada orang ramai.

“MAS akan memantau perkembangan selepas penerbangan umrah pertama dari luar Kuala Lumpur ini yang sekali gus mencatat sejarah negara,” katanya kepada pemberita sebelum keberangkatan jemaah umrah anugerah kerajaan negeri di LTSM, petang kelmarin.



Terengganu menjadi negeri pertama yang menawarkan penerbangan umrah terus dari LTSM ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jedah, Arab Saudi yang membawa 451 jemaah yang sebahagiannya merupakan petugas opearasi haji tahun lalu manakala selebihnya penjawat awam dan pemimpin masyarakat di negeri ini.

Katanya, penerbangan umrah pertama dari LTSM ini akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jedah, Arab Saudi yang mengambil masa perjalanan selama sembilan jam.

Anugerah umrah ini adalah kerjasama kerajaan negeri dan syarikat pengendali operasi haji dan umrah AD Charters Servise Sdn Bhd dan empat syarikat anak tempatan yang dipilih mengendalikan pengurusan pakej umrah pertama ini.

Syarikat berkenaan ialah Tabung Haji (TH) Travel Sdn Bhd. Rahyhar Travel Sdn Bhd., Imtiyaz Travel & Tour Sdn Bhd. Dan Zahafiz Travel & Tour Sdn Bhd.



10,000 keluarga dikeluarkan dari kategori miskin

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu berjaya membantu kira-kira 10,000 keluarga di seluruh negeri ini keluar daripada kategori miskin dalam tempoh enam tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Encik Yahya Khatib Mohamad berkata, dengan terkeluarnya keluarga berkenaan daripada kategori itu, kini terdapat 25,000 orang lagi masih berdaftar dengan e-Kasih.

“Terengganu kini menduduki tempat kelima memiliki penduduk miskin paling ramai di negara ini, selepas Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah,” katanya ketika menjadi tetamu Program Pemimpin Di Radio Malaysia Terengganu (Tfm), hari ini.

Beliau berkata, isu kemiskinan memang menjadi fakus utama kerajaan negeri dan pelbagai program dilakukan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan ekonomi keluarga terbabit.

“Setiap tahun peruntukan yang besar disediakan kerajaan negeri bagi tujuan tersebut, termasuk RM71 juta untuk Bantuan Am Bulanan yang diberi secara bulanan kepada mereka yang layak,” katanya.

Bantuan Am Bulanan diberikan kepada golongan fakir dan miskin tegar, mereka yang uzur, orang-orang tua dan ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.

Selain itu, golongan kurang upaya turut diberi bantuan tetap bulanan bagi membeli keperluan mereka.



Pelanggan terpaksa berhimpit ketika membeli di PBKP

Oleh: Suriati Ali


Makanan tradisional Terengganu menjadi pilihan pelanggan tempatan dan pelancong.

Peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu bagaikan tidak menang tangan melayan pelanggan tempatan dan luar Terengganu yang mengunjungi lokasi itu sempena cuti sekolah pertengahan penggal yang berakhir semalam (19 Mac).

Tinjauan pemberita Teganukita di PBKP mendapati kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika ingin membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang minggu itu.

Peniaga batik, Encik Basir Nasir, 41, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

“Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.


Peniaga sibuk melayani pelanggan.

Pengunjung dari Kedah, Encik Firdaus Ahmad Tarmizi, 34, berkata cukup berbaloi dia dan keluarga mengambil kesempatan menghabiskan masa cuti sekolah di Terengganu kerana pelbagai tempat menarik dapat dilawati.

Katanya, dia tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu, batik dan sutera kerana di negerinya barangan berkenaan sukar diperolehi.

“Jika ada peluang, kami akan mengunjungi kembali Terengganu untuk melawat beberapa destinasi menarik lain seperti Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang.

“Cuti kali ini, kami hanya sempat mengunjungi lokasi sekitar Kuala Terengganu saja, iaitu Taman Tamadun Islam, Pantai Batu Buruk dan Pulau Warisan,” katanya ketika ditemui PBKB, semalam (19 Mac).




Bayar Cukai Tanah Elak Denda

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) menyarankan pemilik tanah membuat pembayaran cukai tanah dengan segera bagi mengelak dikenakan denda dan tanah mereka diambil balik oleh kerajaan negeri.

Pengarah PTG Dato’ Haji Osman Muda, berkata cukai tanah yang tidak dibayar mulai 1 Jun akan menjadi tunggakan dan boleh dikenakan denda lewat bayar.

Katanya, pemilik tanah akan diberi surat peringatan untuk tempoh tertentu sekiranya mempunyai rekod lewat bayar dan tunggakan.

“Jika masih ingkar membayar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dengan memberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskan segala urusan.

“Sekiranya tetap gagal berbuat demikian, tanah berkenaan boleh dirampas dan menjadi hak milik mutlak kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, membayar cukai tanah adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik di mana ia perlu membayarnya mulai 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun.

“Penentuan kadar cukai yang perlu dibayar dikira berdasarkan keluasan dan kategori penggunaan tanah atau berpandukan Peraturan Tanah Terengganu.

“Setiap pembayaran boleh dibuat secara tunai, bank draf, wang pos dan kiriman wang berpalang atas nama Pentadbir Tanah yang berkenaan atau Pengarah Tanah dan Galian Terengganu,” katanya.

Selain itu bayaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.maybank2u.com.my/. Segala urusan pembayaran cukai tanah bagi tahun ini, boleh dibuat di semua pejabat PTG Daerah dan Negeri selewat-lewatnya 31 Mei.

Waktu urusan boleh dibuat pada hari bekerja bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang dan pada Khamis bermula jam 8 pagi sehingg 3.30 petang.

Pemilik tanah yang membuat pembayaran di laman web, kriman pos atau sebagainya iaitu tanpa urusan di kaunter, PTG tetap menghantar bil pembayaran sebagai peringatan dan bukti.

Jika tidak menerima bil itu dalam tempoh tertentu, mereka boleh mendapatkannya sendiri di Bahagian Hasil Pejabat Tanah berkaitan atau membuat semakan di laman web http://cukaiptg.terengganu.gov.my/isolar10/ dengan mengemukakan maklumat seperti nombor bil, hak milik, lot atau PT dan mukim atau Bandar.