Oleh : FAUZI MOHD.Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyediakan 200 lot niaga di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) sempena Festival Aidilfitri sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, program tahunan itu bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan memasarkan produk mereka dalam satu kompleks yang selamat dan teratur.
Menurutnya, berkonsepkan perniagaan di bawah satu bumbung, festival itu dijangka menarik setengah juta pengunjung sepanjang bulan ini dengan pelbagai jenis keperluan Aidilfitri yang ditawarkan.
"Beroperasi antara pukul 10 pagi hingga 11 malam, pelbagai barangan ditawarkan dengan harga menarik seperti baju raya, songkok, kuih raya, tudung, eksesori wanita dan produk kosmetik.
"Pengunjung boleh mendapatkan barang keperluan dengan harga yang menarik dengan ruang niaga yang selesa dan berhawa dingin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, peniaga kuih raya, Zaiton Mohd. Zain, 52, ketika ditemui dalam tinjauan Teganukita di TTC berkata, dia sanggup 'bercuti' mengendalikan perniagaan kosmetiknya kerana mahu merebut peluang berniaga di pusat itu.
Berdasarkan pengalaman yang lebih 10 tahun berniaga di situ sepanjang Ramadan katanya, dua minggu menjelang Aidilfitri, gerainya yang menjual lebih 30 jenis kuih raya seperti biskut dan kerepek mula dikerumuni pelanggan.
"Awal puasa, pengunjung hanya menjenguk dan banyak bertanya tentang harga. Ada di antara mereka sengaja tunggu hingga saat-saat akhir untuk tawarkan harga yang lebih murah," katanya.
Bagi peniaga baju Melayu, Mohd. Ghazali Johari, 24, buat permulaan, gerainya menyediakan 500 pasang baju Melayu pelbagai saiz dan warna dengan harga serendah RM10 sepasang.
"Walaupun murah tidak bermakna kualitinya rendah kerana kami mahu habiskan stok tahun lalu serta menjual stok terbaru dengan harga yang berpatutan," katanya.
Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi swasta, Nor Azimah Mamat, 20, memberitahu, cuti semester yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan memberi peluang kepadanya untuk berjinak dalam dunia perniagaan.
"Dengan ruang niaga yang selesa, ia memberi peluang kepada saya bertemu dengan ramai pelanggan untuk menjual lebih 100 jenis keronsang dengan harga antara RM1 hingga RM15," jelasnya.
Bagi peniaga tudung, Syarifah Rohani Awang, 49, memberitahu, dia sentiasa peka dengan fesyen tudung terkini bagi menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke gerainya.
"Walaupun tudung jenis 'Ekin' begitu popular pada ketika ini, tudung jenis 'Bawal' tetap mendapat sambutan kerana golongan yang lebih berusia lebih selesa dengan tudung seperti itu," ujarnya