Halaman

03 October 2011

Teras YPK wujud keluarga bahagia

Oleh; Esah Abdullah

Mengamalkan tahap disiplin tinggi, mempunyai kredibiliti, berinovasi serta mempunyai kemantapan nilai dan etika antara ciri kecemerlangan yang dituntut sebagai penjawat awam.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, ciri berkenaan bertepatan dengan nilai teras jabatan sebagai sebuah organisasi adalah untuk mewujudkan keluarga bahagia.

“Manakala sasaran utama termasuklah meningkatkan kualiti hidup masyarakat, mengurangkan gejala sosial, pembasmian kemiskinan dan pembangunan masyarakat,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 di Dewan Utama YPK petang semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu,Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti membabitkan masyarakat bermula usia bayi sehinggalah kepada warga emas.

Menurutnya, YPK mempunyai 747 kakitangan pelbagai jawatan merangkumi 66 buah Taska Permata Keluarga, Desa Keluarga (4) Pejabat dan Permodalan YPK (8) di seluruh negeri di samping ibu pejabat di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Encik Mohd Safaruddin kemudiannya menyarankan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mewujudkan Taska di daerah masing-masing untuk memberi kemudahan kakitangan meninggalkan anak dalam keadaan selamat serta berdekatan dengan ibu bapa.

“Setakat ini hanya PBT daerah Kemaman telah menubuhkan Taska untuk kakitangannya manakala daerah lain belum berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua warga YPK membuat perubahan minda serta berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tertentu untuk meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

Sejak APC diwujudkan pada 2005, 199 orang kakitangan YPK telah menerima pengiktirafan termasuk dalam majlis semalam (80 orang) di mana setiap seorang mendapat wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta lawatan kerja ke Sabah atau Serawak.




Peruntukan tambahan RM8.5 juta bina semula jambatan Sungai Pinang

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu akan membina semula projek jambatan Sungai Pinang dekat sini yang pembinaannya tergendala sejak lebih 10 tahun lepas.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta bagi menyiapkan jambatan yang menghubungkan lebih 20,000 penduduk dari beberapa kampung dengan Bandar Cukai.

Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan pembinaannya yang dijangka bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, katanya selepas melawat beberapa buah rumah penduduk yang terbabit dengan banjir kilat baru-baru ini.

Beliau berkata jambatan berkenaan penting kerana ia adalah laluan utama penduduk Air Putih ke Bandar Cukai.

Katanya, jambatan berkenaan yang dibina terlaluendah sebelum ini sering tenggelam setiap kali banjir berlaku di kawasan itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan juga bercadang untuk meninggi dan menaik taraf jalan antara Kampung Paya Pamam yang menghubungkan jambatan berkenaan yang sering kali ditenggelami air setiap kali banjir melanda.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, apabila jalan itu ditinggikan nanti, ia akan menjadi laluan alternatif penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke bandar Cukai.

Jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayur dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang siap dalam tempoh dua tahun lagi, katanya.

Lebih 8,000 kanak-kanak tadika bakal khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 8,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan Pusat di Terengganu dijangka menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Pengarah, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 7,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna,” katanya.
Katanya, YIT akan membuka tiga buah lagi tadika membabitkan kos keseluruhan hampir RM10 juta di tiga daerah di negeri ini.

“Pembinaan tadika masing-masing bertempat Seberang Takir, Kuala Terengganu; Kijal, Kemaman dan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah, Dungun itu mampu menambah keperluan ibu bapa yang semakin terdesak,” katanya.

Katanya, apa yang membanggakan tadika YIT di Seberang Takir yang akan beroperasi tahun depan sudah menerima permohonan daripada ibu bapa untuk menempatkan anak masing-masing bagi sesi pembelajaran 2012.



YIT mula bayar tunggakan elaun

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) bersetuju membayar tunggakan elaun selama 10 bulan kepada 2,900 Guru Khidmat Masyarakat di Terengganu bermula hari ini (2 Oktober).

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata elaun tunggakan itu adalah bagi kenaikan yang diterima RM150 sebelum ini kepada RM300 sebulan.

Menurutnya, tunggakan bayaran yang diterima bermula 1 Januari lalu hingga Oktober nyata mengembirakan golongan itu di mana sebelum ini terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

“Kenaikan bayaran elaun ini sebenarnya pengiktirafan besar kepada guru khidmat masyarakat kendalian YIT seperti guru Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) dan guru kelas berzanji yang selama ini berkorban masa mengendalikan kelas-kelas di kampung.

“Pihak kami mengharapkan dengan bayaran tunggakan dan kenaikan elaun ini membuatkan mereka lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 dan Penganugerahan Pensijilan 5S Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Menara YIT, Kuala Terengganu, semalam (3 Oktober) .

Perasmian majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, Timbalan Pengarah YIT Haji Alias bin Jaafar dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Terengganu, Puan Muhaslizawati.

Haji Md Kamaru Al-Amin turut memberitahu, permohonan menjadi guru khidmat masyarakat sentiasa mendapat sambutan.

Menurutnya, dianggarkan 200 permohonan yang diterima pihaknya setiap tahun bagi menggantikan guru bersara dan permohonan untuk menjadi guru baru di kampung.

“YIT mengenakan syarat yang agak ketat untuk seseorang itu memohon sebagai guru khidmat masyarakat, termasuk perlu menghadiri kursus, mendapat sokongan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) dan wakil rakyat kawasan,” katanya.


50 unjang ditanam di perairan laut Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak


Muhammad Pehimi (dua dari kiri) menurunkan unjang ke dalam laut


Sebanyak 50 unjang ditanam di dasar laut perairan Pulau Perhentian oleh ahli Persatuan Kebjikan dan Rekreasi Nelayan (PKRN) Kota Putera untuk dijadikan tempat ikan berkumpul.

Satu majlis ringkas menurunkan unjang berkenaan ke laut dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof. Hadir sama Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Pengerusi PKRN, Wan Mohd Zaki Wan Othman berkata seramai 70 ahli persatuan itu menyertai projek menanam unjang berkenaan bertujuan meningkatkan hasil tangkapan laut oleh ahli yang menjalankan aktiviti memancing.

Katanya, unjang berkenaan yang diperbuat daripada ranting dan daun pokok kemudiam dibenamkan ke dalam laut akan menjadi tempat pembiakkan ikan dan memudahkan ahli pergi memancing tanpa mencari lokasi lain.

Menurutnya, unjang berharga RM300 setiap satu dibuat secara gotong royong oleh ahli kemudian di bawa ke Pulau Perhentian dari Pangkalan Tanjung Lali, Kota Putera menggunakan bot laju milik ahli.

Beliau berkata, bagi menjayakan projek itu ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi turut memberi sumbangan RM2,000 kepada persatuan berkenaan.

Wan Mohd Zaki berkata, unjang itu dijangka mampu bertahan selama enam bulan membolehkan ahli mendapatkan sumber tangkapan yang lebih kerana ikan biasanya akan bertumpu di kawasan terbabit.

Sementara itu, Muhammad Pehimi berkata, beliau bangga dengan ahli persatuan itu yang menunjukkan semanat kerjasama dan sangup bergotong royong selain mengumpul wang untuk membuat unjang bagi meningkatkan hasil tangkapan mereka.



02 October 2011

SUK minta penjawat awam kekal kaedah kerja berkualiti

Penjawat awam di negeri ini diminta mengekalkan kaedah berkerja secara berkualiti dan mengamalkan budaya sihat sewaktu bertugas supaya mampu dipandang positif oleh masyarakat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata secanggih mana pun teknologi dan peralatan yang digunakan dalam tugas seharian, ia tidak akan menjamin perkhidmatan berkualiti sekiranya ia tidak disertai dengan sikap positif dan komitmen bersungguh-sungguh.

“Sehubungan itu, untuk cemerlang kita tidak ada alternatif melainkan bersaing secara sihat.

“Setiap penjawat awam perlu bersaing berikutan mahu mengekalkan apa yang sedang dicapai dan seterusnya memacu lebih ke hadapan,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Penganugerahan Pensijilan 5S/QE Yayasan Islam Terengganu (YIT) di bangunan YIT, Kuala Terengganu, hari ini (2 Oktober).

Hadir sama, Pengarah YIT Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail, Timbalan Pengarah YIT Haji Alias bin Jaafar dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Terengganu, Puan Muhaslizawati.

Seramai 35 kakitangan YIT menerima anugerah perkhimatan cemerlang dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan setiap seorang.

Guru Kelas al-Quran Fardu Ain (Kafa), guru khidmat masyarakat dan guru pintar al-Quran di bawah bimbingan YIT turut menerima anugerah khas sebagai perangsang untuk terus cemerlang.

Dato’ Haji Mazlan turut mengingatkan bahawa tugas sebagai penjawat awam merupakan satu amanah yang cukup besar.

“Tanggungjawab yang dipikul tidak memadai sekiranya tugas yang dilaksanakan dipandang ringan atau kata pepatah ‘melepaskan batuk ditangga’,” katanya.



Perjuangan PAS tinggal ‘hampas’

Oleh FAUZI MOHD

Apa lagi ‘kejayaan’ yang pimpinan PAS mahu tunjukkan kepada penyokongnya selain satu demi satu roh perjuangan parti itu menjadi ‘korban politik’ hanya kerana pesona Putrajaya.

Selain menjadi pak turut kepada sekutunya DAP dan PKR, perubahan yang kadang kala disebut pemimpin parti berkenaan sebagai tahaluf siyasi itu hanya kerana mahu melihat lebih ramai pemimpin PAS mendapat gelaran Yang Berhormat selepas Pilihanraya Umum ke-13.



Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Zuber Embong berkata, setelah golongan ulama yang sinonim sebagai peneraju parti itu ditolak perwakilan dalam muktamar agung parti itu pada Jun lalu, PAS mula menukar ‘kiblat’ perjuangan mereka.

Menurutnya, PAS yang dulunya pernah menuduh UMNO anti ulama telah beralih arah dengan menolak golongan itu untuk jawatan tertinggi yang dipertandingkan iaitu Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.

Kalau PAS benar-benar konsisten katanya, maka pemimpin-pemimpin parti itu tidak sewajarnya berubah-ubah fikirkan, contohnya sekejap mahu negara Islam dan sekejap mahu negara berkebajikan.

“Perjalanan politik Pas kini membawa dua haluan yang berbeza iaitu di kaki kanan menuju negara Islam manakala kaki kiri menuju negara berkebajikan. Jika situasi ini berlaku sudah pastilah Pas menjadi sebuah parti yang dilihat bercelaru dalam usaha untuk meraih kekuasaan.

“Setelah aganda penubuhan negara Islam digantikan dengan negara berkebajikan, PAS secara bersama dengan DAP dan PKR sekali lagi menggadai maruah parti itu dengan menolak perlaksanaan hukum Hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis penerangan isu-isu semasa anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) di Kampung Pujuk, Manir, Jumaat lalu.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengarah UKOM, Shamsuddin Sulong serta Timbalannya, Ruslan Abdul Rahman.

Tambah Dato’ Zuber, beliau tidak terkejut jika selepas ini banyak lagi impian dan dasar perjuangan PAS sejak ditubuhkan pada tahun 1951 akan lenyap satu demi satu.

“Dalam sisi politik, PAS adalah ‘bangkai bernyawa’ kerana parti itu sudah tiada apa-apa lagi untuk diangkat sebagai lambang perjuangan. Itu semua bukan kerana UMNO dan Barisan Nasional, itu adalah keputusan PAS sendiri.

“Andainya PAS berjaya ke Putrajaya sekalipun, PAS hanya membawa ‘hampas’ bukan nilai perjuangan yang dilaungkan selama ini. PAS sudah tidak sesuai untuk dikaitkan dengan perjuangan Islam,” katanya yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu.

Sementara itu, Shamsuddin yang turut berceramah dalam majlis itu berkata, kempen negara berkebajikan yang dibawa Presiden PAS bukanlah perkara baru untuk rakyat rasa teruja.

Katanya, pengundi tidak perlu bersimpati dengan PAS yang sinonim dengan gelaran ‘parti kutip derma’ kerana soal kebajikan sudah lama menjadi agenda perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.

“Pemimpin PAS jangan fikir mereka bercakap dengan rakyat yang buta dan bisu. PAS berkuasa lebih 20 tahun di Kelantan, apa dasar dan program kebajikan PAS buat di Kelantan yang boleh dicontohi oleh kerajaan negeri lain.

“PAS tidak perlu menuduh UMNO abai kebajikan rakyat, sebaliknya pemimpin dan wakil rakyat mereka perlu belajar dari UMNO bagaimana mahu tadbir negara, negeri berkebajikan yang sebenar,” ujarnya.


Pas sedar tidak mungkin jadi pemerintah di negara ini

Oleh; Esah Abdullah

Hukum hudud adalah permainan Pas sama juga dengan isu Islam, pemimpin mereka bangkitkan perkara ini semata-mata kerana untuk mencari sokongan orang Melayu.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas bukannya serius untuk laksanakan apa yang dijanjikan itu kerana sedar mereka tidak mungkin jadi pemerintah di negara ini.

“Rakyat di negara ini ada 60 peratus beragama Islam manakala 40 peratus lagi bukan Islam dan hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam tentunya wujud ketidakadilan di situ,” katanya dalam sidang media selepas majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Dewan Sultan Mizan semalam.

Katanya, pemimpin Pas memang sentiasa bercakap dan sebelum ini ingin menjadikan negara Islam kemudian tukar prinsip kepada negara kebajikan, semuanya untuk menjaga hati orang bukan Islam.

“Pas bukan perjuangkan Islam tetapi sekadar memancing undi di kampung-kampung sebaliknya parti UMNO lebih realistik kerana berpegang kepada hukum hudud sebab itu ada hukum bunuh di negara kita,” katanya.

Tun Dr. Mahathir yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke negeri ini atas jemputan penerima anugerah tertinggi pihak universiti iaitu Ijazah Kehormat Doktor Sains yang diperkenalkan sejak 2004.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selaku Canselor UMT berkenan berangkat ke majlis pengurniaan berkenaan serta pengurniaan anugerah dan Ijazah Sarjana kepada 1,736 graduan UMT.




Kejayaan akademik dan hobi lasak berjalan seiring

Oleh; Esah Abdullah



Tidak kurang 10 gunung berjaya ditawan namun kepuasan masih belum dirasai oleh penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011, Tengku Teh Mariah Tengku Jewa, 27.

Disebalik hobi lasaknya, Tengku Teh Mariah turut mencipta kejayaan dalam bidang akademik dan terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) dan graduan terbaik program Sarjana Muda Kaunseling dalam Konvokesyen Ke-9 UMT semalam.

“Saya jadikan pengalaman masa lalu sebagai pembakar semangat untuk mencipta kejayaan hari ini,” kata anak tunggal kepada pesara guru Puan Noriah Abdullah berasal dari Sik, Kedah.

Beliau yang kematian ayah tercinta Tengku Jewa Tengku Man ketika berusia lima tahun menjadikan ibu sebagai sumber inspirasinya sepanjang tempoh bergelar siswazah malah sepanjang hayat.

“Doa ibu sentiasa mengiringi setiap kali saya menduduki ujian getir dan kejayaan yang diperolehi hari ini adalah hadiah untuk ibu yang telah membesar, mendidik serta mencurahkan kasih sayang yang tidak bertepi,” kata Naib Presiden Kelab Kaunseling UMT.

Beliau yang telah menerima tawaran sebagai penyarah di universiti tempatan merancang untuk menyambung pengajiannya sehingga peringkat doktor falsafah ((Ph.D).

Mengenai hobinya, Tengku Teh Mariah tetap komited untuk menawan Gunung Kinabalu dalam masa terdekat setelah berjaya menawan tidak kurang dari 10 gunung sebelum ini antaranya Gunung Ledang, Tebu, Berembun, Gunung Dato’ dan terbaru Gunung Tahan.

“Menyertai aktiviti riadah baik untuk minda kita yang boleh menghilangkan tekanan belajar dan saya bukan ‘ulat buku’ sebaliknya mencari ruang sesuai untuk mengkaji pelajaran,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, pengorbanan ibu tidak mampu saya balas sampai bila-bila dan hanya kejayaan ini hadiah saya buat insan yang melahirkan saya kedunia.




Kerajaan hantar 347 Imam bilal tunai haji percuma

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah menghantar 347 orang imam dan bilal bagi menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah dalam tempoh 10 tahun sehingga 2011.

Ketua Penolong Pesuruhjaya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (Pengurusan Masjid) Haji Mohd Noor Mohamad berkata, daripada jumlah itu 186 adalah imam manakala selebihnya bilal yang bertugas di masjid-masjid seluruh negeri.

“Skim penghantaran imam dan bilal untuk menunaikan rukun Islam kelima ini bermula 2000 dengan cara bayaran gantian tambang oleh kerajaan kepada mereka yang terpilih mengikuti program berkenaan,” katanya kepada Teganukita.

Walau bagaimanapun bermula 2001 hingga 2004 tiada penghantaran imam bilal ke Mekah oleh kerajaan yang memerintah ketika itu (Pas).

“Skim berkenaan berfungsi semula setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah (2004) dan seramai 35 orang iaitu imam (14) dan bilal (21) dihantar ke Mekah pada tahun berikutnya (2005),” katanya.

Menurut Haji Mohd Noor, bermula 2008 hingga sekarang kerajaan telah perkenalkan skim baru Anugerah Kecemerlangan bagi melengkapkan imam dan bilal terpilih menyertai pakej berkenaan.

“Tahun ini 13 imam dan sembilan bilal akan berangkat ke tanah suci melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu di mana penerbangan pertama telah bermula Jumaat lalu (30 September),” katanya.