Tidak kurang 10 gunung berjaya ditawan namun kepuasan masih belum dirasai oleh penerima Anugerah Pelajaran Diraja Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 2011, Tengku Teh Mariah Tengku Jewa, 27.
Disebalik hobi lasaknya, Tengku Teh Mariah turut mencipta kejayaan dalam bidang akademik dan terpilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) dan graduan terbaik program Sarjana Muda Kaunseling dalam Konvokesyen Ke-9 UMT semalam.
“Saya jadikan pengalaman masa lalu sebagai pembakar semangat untuk mencipta kejayaan hari ini,” kata anak tunggal kepada pesara guru Puan Noriah Abdullah berasal dari Sik, Kedah.
Beliau yang kematian ayah tercinta Tengku Jewa Tengku Man ketika berusia lima tahun menjadikan ibu sebagai sumber inspirasinya sepanjang tempoh bergelar siswazah malah sepanjang hayat.
“Doa ibu sentiasa mengiringi setiap kali saya menduduki ujian getir dan kejayaan yang diperolehi hari ini adalah hadiah untuk ibu yang telah membesar, mendidik serta mencurahkan kasih sayang yang tidak bertepi,” kata Naib Presiden Kelab Kaunseling UMT.
Beliau yang telah menerima tawaran sebagai penyarah di universiti tempatan merancang untuk menyambung pengajiannya sehingga peringkat doktor falsafah ((Ph.D).
Mengenai hobinya, Tengku Teh Mariah tetap komited untuk menawan Gunung Kinabalu dalam masa terdekat setelah berjaya menawan tidak kurang dari 10 gunung sebelum ini antaranya Gunung Ledang, Tebu, Berembun, Gunung Dato’ dan terbaru Gunung Tahan.
“Menyertai aktiviti riadah baik untuk minda kita yang boleh menghilangkan tekanan belajar dan saya bukan ‘ulat buku’ sebaliknya mencari ruang sesuai untuk mengkaji pelajaran,” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, pengorbanan ibu tidak mampu saya balas sampai bila-bila dan hanya kejayaan ini hadiah saya buat insan yang melahirkan saya kedunia.