Halaman

06 October 2011

Tuanku Mizan, 60 pelumba buru kejuaraan Sultan Mizan Cup

Oleh FAUZI MOHD



Kejohanan kuda lasak antarabangsa, Sultan Mizan Cup 2011 di Lembah Bidong mulai esok bakal disertai 60 pelumba yang akan bersaing merebut hadiah keseluruhan bernilai RM45,000.

Selain Malaysia, kejohanan selama dua hari itu akan disertai penunggang dari Argentina, Australia, Republik Chech, Chile, Indonesia, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Uruguay.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyertai kejohanan kelas dunia yang merupakan acara sukan utama dalam kalendar tahunan negeri.

Pengurus Acara dan Perhubungan Awam Asia Promote Ventures, Noor Nazatul Janah Mahmood dalam satu kenyataan semalam memberitahu, kejohanan kali ini diberi wajah baru yang bukan sekadar bagi mereka yang meminati sukan berkuda.

Menurut beliau, dalam usaha membudayakan sukan itu di negeri ini, elemen hiburan dan santai akan turut disediakan bagi penglibatan pelbagai peringkat usia sebagai satu tarikan.

"Selain perlumbaan kuda lasak, aktiviti lain turut disediakan seperti pertandingan mewarna model kuda untuk pelajar dan kanak-kanak," jelasnya.

Katanya, turut diadakan pada hari itu ialah Pony Club Mounted Games Challenge, pertandingan mengecat muka, pameran berkaitan kehidupan marin dan batu karang, gerai-gerai makanan serta pertandingan bola sepak jalanan.

"Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang memeriahkan karnival yang akan berlangsung pada 7 dan 8 Oktober di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TEIP) di Lembah Bidong," katanya.

Tambah beliau, perkara lain yang dijangka menjadi tarikan utama pada karnival itu nanti ialah model kuda yang diperbuat daripada gentian kaca yang menyamai saiz kuda sebenar.

"Model kuda ini merupakan sebahagian daripada kerja seni yang dihasilkan oleh para pelajar berdasarkan tema kejohanan iaitu menonjolkan keunikan dan kecantikan batu karang di Terengganu," ujarnya.

Pertandingan bola sepak jalanan juga akan diadakan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu bawah 18 tahun dan terbuka dengan hadiah wang tunai ditawarkan.

Beliau berkata, karnival itu akan turut dimeriahkan dengan persembahan Faizal Tahir, kumpulan Hujan, Bunkface, Shiha Mentor 5, Black Mentor 3 dan Faizal AF4 pada sebelah malamnya secara percuma.

"Karnival ini percuma dan terbuka kepada orang ramai mulai 7 Oktober dari pukul 3 petang hingga 10 malam dan 8 Oktober dari pukul 9 pagi hingga 10 malam," kata Noor Nazatul.