Halaman

03 October 2011

Lawatan MB beri sinar baru kepada penduduk

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Keprihatinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjengah ke Kampung Sungai Mas, Padang Kubu, Kemaman untuk melihat sendiri keadaan mangsa banjir mendapat sambutan baik daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Mas.

Malah, pihak pengurusan TDM Plantation Sdn Bhd Ladang Jernih serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemaman, turut mengalu-alukan kesudian beliau untuk mendengar taklimat mengenai banjir di kampong itu.

Penduduk kampung, khususnya mangsa banjir baru-baru ini diberi nasihat supaya sentiasa berwaspada ketika menghadapi banjir terutama banjir kilat dan perlu mengutamakan keselamatan diri.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, alur sungai tidak dapat mengalir seperti biasa berpunca daripada pasir sungai yang melimpah dan sistem peparitan tersumbat, sekaligus menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata, sistem perparitan perlu diselenggara dengan segera dan laluan sungai perlu digali dengan lebih dalam lagi dan dilebarkan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Pihak pengurusan TDM Plantation Ladang Jernih dan Ladang Tebak perlu berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini seberapa segera memandangkan cuaca sekarang tidak menentu dan bila-bila masa boleh berlaku banjir kilat.

“Penduduk sekitar perlu berbincang dengan pihak pengurusan ladang dan cuba mengenal pasti tempat dan kawasan yang selamat untuk perpindahan apabila berlaku banjir kelak.
“Sehubungan itu, saya telah berbincang dengan pihak JPS untuk menyelesaikan masalah ini dan akan meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan dua kolam tangkungan air yang akan dibina tidak lama lagi,” katanya.

Dengan adanya kolam tangkungan air tersebut dapat menampung air hujan apabila berlakunya banjir kelak. Keadaan ini sekaligus dapat menggurangkan kuantiti air yang melimpah di sungai ketika berlakunya banjir kilat.

Penduduk sekitar juga dapat menarik nafas lega selepas mendengar jaminan Menteri Besar untuk mempercepatkan pembinaan perumahan di luar Padang Kubu.

Dijangka penghujung tahun ini sebanyak 50 buah rumah akan siap dibina untuk peringkat pertama dan selebihnya akan dibina secara berperingkat memandangkan struktur tanah yang lembut dan kawasan yang berbukit.