Umno Bahagian Besut dengan kerjasama Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu akan menganjurkan Program Penerangan Memperkasakan Peti Undi (PDM) yang akan berlangsung di Tingkat Empat, Dewan Nurul Ehsan, Bangunan Baitul Ehsan di sini jam 9 malam ini.
Setiausaha Eksekutif Umno Bahagian, Haji Salleh Latif berkata, majlis itu akan disertai pemimpin semua peringkat termasuk ahli jawatankuasa Umno Bahagian, pergerakan wanita, pemuda,puteri, pengerusi penyelaras DUN , pengerusi dan timbalan pengerusi peti undi dan semua setiausaha peti undi.
Katanya, semua pemimpin utama Umno bahagian termasuk Ketuanya, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga ADUN Jertih, Timbalanya, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN) Kota Putera, Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut) dan Bendahari Bahagian, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut akan hadir.
Menurutnya, Pengarah Strategi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’Dr Haji Rosli Mat Hassan, akan menyampaikan amanah berhubung persediaan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13.
Salleh berkata, perjumpaan itu penting bagi membolehkan semua pemimpin peringkat akar umbi mengetahui strategi yang akan dilakukan oleh parti bagi menarik minat pengundi sekali gus mencapai kemenangan cemerlang.
Beliau berkata, walaupun semua jentera parti peringkat bahagian itu sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi menerusi program itu ia diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman dan kemahiran pemimpin menggunakan strategi untuk berhadapan dengan pihak lawan.