Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

03 October 2011

Teras YPK wujud keluarga bahagia

Oleh; Esah Abdullah

Mengamalkan tahap disiplin tinggi, mempunyai kredibiliti, berinovasi serta mempunyai kemantapan nilai dan etika antara ciri kecemerlangan yang dituntut sebagai penjawat awam.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, ciri berkenaan bertepatan dengan nilai teras jabatan sebagai sebuah organisasi adalah untuk mewujudkan keluarga bahagia.

“Manakala sasaran utama termasuklah meningkatkan kualiti hidup masyarakat, mengurangkan gejala sosial, pembasmian kemiskinan dan pembangunan masyarakat,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 di Dewan Utama YPK petang semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu,Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti membabitkan masyarakat bermula usia bayi sehinggalah kepada warga emas.

Menurutnya, YPK mempunyai 747 kakitangan pelbagai jawatan merangkumi 66 buah Taska Permata Keluarga, Desa Keluarga (4) Pejabat dan Permodalan YPK (8) di seluruh negeri di samping ibu pejabat di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Encik Mohd Safaruddin kemudiannya menyarankan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mewujudkan Taska di daerah masing-masing untuk memberi kemudahan kakitangan meninggalkan anak dalam keadaan selamat serta berdekatan dengan ibu bapa.

“Setakat ini hanya PBT daerah Kemaman telah menubuhkan Taska untuk kakitangannya manakala daerah lain belum berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua warga YPK membuat perubahan minda serta berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tertentu untuk meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

Sejak APC diwujudkan pada 2005, 199 orang kakitangan YPK telah menerima pengiktirafan termasuk dalam majlis semalam (80 orang) di mana setiap seorang mendapat wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta lawatan kerja ke Sabah atau Serawak.