Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek merasmikan program Karisma Warga Emas peringkat daerah Kemaman, di Dewan Sri Amar, baru-baru ini.
Program itu adalah kesinambungan Program ‘Kebajikan 1Malaysia Warga Emas’ yang disambut di seluruh negara dan dilancarkan di Sungai Petani Kedah oleh YB Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurut YB Dato’ Seri Ahmad Shabery, sambutan hari warga emas wajar diraikan setiap tahun bagi mengenangkan jasa mereka pada suatu ketika dulu.
“Kita juga perlu mengiktiraf pengorbanan mereka yang pernah menyumbang bakti dan tenaga pada negara. Anak-anak muda pada masa kini tidak sewajarnya mengabaikan golongan ini lebih-lebih lagi di usia mereka yang semakin senja.
“Golongan warga emas juga perlu menjaga kesihatan mereka dengan menitik-beratkan aspek pemakanan setiap hari,” katanya yang turut menyampaikan anugerah dan bantuan kepada setiap warga emas yang hadir pada majlis berkenaan.
Calon Karisma bagi warga emas peringkat Kemaman adalah Puan Aminah Embong, 67, yang kini menetap di Kampung Gong Cengal, Kemasek dan juga ibu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB Ir Rosli Othman.
Puan Aminah yang terlantar akibat penyakit serangan angin ahmar sejak beberapa tahun lalu, merupakan ibu tunggal kepada tujuh anak setelah suaminya meninggal dunia akibat keracunan sebaik sahaja pulang daripada menangkap ikan.
Setelah arwah suami meninggal dunia, beliau hilang yang hanya suri rumah hilang punca pendapatan dan memohon bantuan kewangan dari pihak kerajaan untuk berniaga bagi menyara anak-anak yang masih kecil.
Beliau berniaga kecil-kecilan dengan menjual kain batik dari rumah ke rumah dan menanam sayur-sayuran serta ubi di kawasan sekitar rumah untuk menjimatkan belanja.
Melihat kepada potensi diri dan kesungguhannya meningkatkan pendapatan keluarga, bantuan modal sebanyak RM1,500 diberikan dan dengan bantuanitu beliau telah mempelbagaikan jenis jualan dengan menjual periuk belanga dan peralatan dapur.
Hasil usahanya dan bantuan yang diterima kesemua anak-anak beliau berjaya ke menara gading dan membebaskan diri dari belenggu kemiskinan.
Antara anak Puan Aminah ialah Ir Rosli, 44, lulusan Middlesex University, United Kingdom dan kini menjadi Adun manakala Fazidah, 46, lepasan Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu dan mengajar di SK Kemasik.