Halaman

07 October 2011

Kontrak Piala Monsun wajar diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bercadang akan meneruskan kontrak penganjuran sukan berprestij Piala Monsun yang dijadualkan akan berakhir tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya mengalu-alukan jika kejohanan bertaraf dunia itu diteruskan kerana ia mampu memberi pulangan dari segi pelaburan asing dan meningkatkan industri pelancongan dalam jangka masa panjang.

Malah jelasnya, Terengganu mempunyai banyak kemudahan asas bagi menganjurkan kejohanan tersebut dan jika dihentikan, dikhuatiri boleh menyebabkan pembaziran.

"Kita serah kepada pihak-pihak berkenaan terutama penganjur kejohanan Piala Monsun iaitu T-Best sama ada meneruskan Piala Monsun pada masa akan datang atau sebaliknya.

"Kita harap begitulah (Piala Monsun diteruskan) sebab kita ada kemudahan dan kita tak mahu pembaziran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam (5 Oktober).

Katanya, jika dipindahkan ke lokasi baru, kemudahan seumpama itu akan di bina semula dan nyata memerlukan perbelanjaan yang tinggi, apa salahnya penganjuran itu diteruskan di Terengganu.

“Tidak dinafikan kita tidak memperoleh keuntungan dari segi kewangan bagi penganjuran ini, namun kita menerima kunjungan ramai pelancong asing melalui sukan ini yang mendapat perhatian di serata dunia.

“Kita tidak boleh mengharapkan apa yang dilaburkan hari ini boleh dinikmati keesokan harinya, perkara seperti ini mengambil tempoh lama untuk memperoleh pulangannya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati kebanyakan pelancong asing yang datang ke Terengganu hasil promosi dan tertarik dengan penganjuran sukan itu yang diadakan pada setiap tahun.

“Pelbagai kaedah perlu dilaksanakan untuk memikat hati mereka mengunjungi negeri ini, termasuk mempromosi keindahan Terengganu melalui pengambaran filem, katanya