Halaman

02 October 2011

Tasik Kenyir akan dijadikan kawasan geopark

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan negeri akan memulihara warisan geologi dan sejarah peradaban manusia yang ditemui di sekitar Tasik Kenyir. - YAB Menteri Besar

Kerajaan negeri akan memulihara warisan geologi dan sejarah peradaban manusia yang ditemui di sekitar Tasik Kenyir, bagi membolehkan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu menjadi kawasan geopark bertaraf dunia.

Sehubungan itu, kerajaan negeri sedia mengeluarkan peruntukan khusus bagi tujuan tersebut, agar pelbagai sumber warisan dan sejarah di tasik itu dapat dikekalkan, walaupun ia bakal menerima kunjungan pelancong yang besar pada masa akan datang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri akan berusaha untuk memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Unesco bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai kawasan geopark.



“Secara asasnya, Tasik Kenyir boleh jadikan kawasan geopark, tetapi kita perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Unesco terlebih dahulu sebelum ia dapat diwartakan sebagai kawasan geopark,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Warisan Geologi Malaysia ke-7 dan Persidangan Warisan Malaysia & Indonesia ke-4 Tahun 2011 di Permai Inn, malam tadi.



Menteri Besar berkata, usaha-usaha pemuliharaan alam semulajadi mengikut peraturan yang ditetapkan Unesco perlu dilakukan bagi membolehkan Tasik Kenyir dijadikan kawasan geopark.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang berkaitan dengan geologi dan pemuliharaan alam sekitar bagi tujuan ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata sumber-sumber geologi seperti batu-batan dan mineral perlu diurus secara lestari kerana ia tidak akan mampu menyumbangkan kepada ekonomi negeri secara berterusan.



“Saya difahamkan bahawa sejak 1996 lagi Kumpulan Warisan Geologi Malaysia sedang giat melakukan pengecaman, pemerihalan dan promosi bagi tujuan membangunkan sumber warisan geologi sebagai produk pelancongan melalui konsep geo-pelancongan.

“Melalui usaha-usaha sebegini sudah tentu sumber-sumber geologi yang bernilai tinggi akan terus terpelihara dan pada masa yang sama dapat menarik pelancong ke tapak-tapak geologi yang telah dimajukan,” ujar beliau.