Seramai 54 atlet dari Terengganu akan menyertai Kejohanan Sukan Sea di Palembang dan Jakarta, Indonesia pada 11 dan 12 November depan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain atlet seramai tujuh pegawai dan jurulatih turut terpilih untuk mengetuai lima jenis sukan antaranya sukan basikal, sikat, kanu, sofbol dan badminton.
“Sebanyak 14 jenis sukan disertai atlet kita antaranya termasuklah lumba basikal (8 altlet), kanu (6), olahraga (4), silat (6), judo (5), sepak takraw (5), sofbol (8), angkat berat (2), bola sepak (3), ragbi (3), lawan pedang (2), memanah (3), perahu layar (4) dan bola tampar (1).
“Kesemua atlet yang terpilih menyertai kejohanan sukan Sea itu adalah mereka yang lahir daripada sukan Sukma dan sebahagian besar mereka masih boleh bertanding di Sukma 2012 dan 2013,” katanya.
Semantara itu Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di negeri ini diminta lebih proaktif ketika menjalankan tugas mengawal keselamatan pemain setiap kali perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Katanya, pasukan itu sewajarnya menempatkan lebih ramai anggota di setiap penjuru stadium supaya keadaan dan tingkah laku penonton lebih terkawal.
“Sekiranya terpandang aksi penonton yang kurang menyenangkan seperti membaling botol minuman dan mengeluarkan kata-kata kesat, mereka sepatutnya bertindak lebih awal dengan mendekati penonton itu untuk memberi amaran tegas.
“Langkah ini perlu dilaksanakan segera kerana sudah kerap kali perkara sama seperti membaling mercun dan bergaduh berlaku di stadium itu,” katanya.
Beliau sekali lagi mengingatkan penonton supaya bertindak lebih sopan dan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan pertemuan pasukan Terengganu dan Kelantan pada pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober ini.
“Saya mendapati memang wujud satu kumpulan kecil yang sering menimbulkan kekacauan di stadium dan saya ingatkan kepada kumpulan ini agar menghormati budaya kita serta jangan sesekali memalukan imej Terengganu,” katanya.