Kerajaan negeri akan membiayai kos pembedahan untuk memisahkan kembar Siam, Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie Zulkifli, yang bercantum di bahagian dada, jika doktor memutuskan ia selamat dilakukan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya menunggu keputusan doktor berhubung pasangan kembar itu yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada 22 September lalu.
"Jika keluarga mereka kurang mampu, kita sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat akan bantu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu merayu kepada orang ramai bagi meminta sumbangan daripada orang ramai bagi membiayai pembedahan tersebut.
Pasangan kembar Siam berkenaan dilaporkan masih berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar hospital berkenaan.
“Kerajaan negeri ada dua tabung bantuan iaitu Tabung Pesakit Kronik dan Tabung Darul Iman dan kes pasangan kembar Siam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan dihulur mengikut kesesuaian,” katanya.