Halaman

06 October 2011

PRNT gilap bakat perenang

Oleh; Esah Abdullah

Usaha melahirkan atlet dalam sukan renang perlu dilaksana secara berterusan dan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan individu penting bagi menyemarakkan sukan tersebut.

Setiausaha Persatuan Renang Negeri Terengganu (PRNT), Encik Yan Kong Lee berkata, kebanyak atlet renang yang sedang mengikuti latihan kini belum sesuai untuk menyertai mana-mana pertandingan besar di negara ini.

Katanya, mereka ini memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk memantapkan diri sebelum layak bertanding seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Semua atlet di bawah pengurusan PRNT kini sedang giat menjalani latihan di Pusat Akuatik, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Batu Burok,” katanya.

Menurutnya, latihan ini lebih menjurus kepada pembangunan Sukma yang telah bermula pada Jun lalu dan sebahagian besar daripada mereka masih baru yang berusia antara 14 hingga 16 tahun.

Encik Yan Kong Lee yakin sukan renang berupaya menyumbang pingat kepada negeri dalam pelbagai kejohanan jika atlet terbabit sudah benar-benar bersedia.