Hasrat keluarga bayi kembar Siam dari Terengganu untuk melihat anak mereka dipisahkan melalui pembedahan, tidak tercapai apabila doktor-doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak mengizinkan pembedahan dilakukan kerana ia membahayakan nyawa mereka.
Sebelum ini,bapa kembar Siam itu, Zulkifli Ngah dan keluarga lega apabila kerajaan negeri sanggup membiayai kos pembedahan untuk memisahkan Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie Zulkifli, yang bercantum di bahagian dada, jika doktor memutuskan ia selamat dilakukan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya menunggu keputusan doktor berhubung pasangan kembar itu yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, pada 22 September lalu.
Bagaimanpun, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Mohd Zain mengesahkan memandangkan kembar Siam tersebut bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung serta berkongsi satu jantung, pembedahan utnuk memisahkan mereka bakal membahayakan nyawa anak tersebut.
Sehubungan itu, pihak keluarga kembar Siam berkenaan memutuskan untuk menangguhkan hasrat untuk meminta pihak hospital melakukan pembedahan bagi memisahkan kembar.
Walaupun begitu, pihak HKL memberi jaminan akan terus memantau perkembangan bayi kembar Siam itu dan membuat penilaian semula selepas mereka berusia lima bulan bagi memastikan sama ada mereka mempunyai harapan untuk dipisahkan.
Menteri Besar yang bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam berkata, jika keluarga kembar Siam itu kurang mampu, pihaknya sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat akan membantu mereka.
Katanya, kerajaan negeri ada dua tabung bantuan iaitu Tabung Pesakit Kronik dan Tabung Darul Iman dan kes pasangan kembar Siam itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum bantuan dihulur mengikut kesesuaian.