Oleh FAUZI MOHD
Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.6 juta bagi membangunkan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai Pulau Lebah dalam usaha merangsang perkembangan industri madu lebah negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris berkata, kewujudan pulau tersebut sekali gus meletakkan Terengganu sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai pulau khusus untuk lebah.
Menurutnya, pulau itu bakal menumpukan kepada kerja penyelidikan selain menyediakan pelbagai maklumat mengenai madu lebah untuk pengetahuan orang ramai dan pemasaran produk.
"Ia juga akan menempatkan pusat interpretasi lebah yang mengandungi pelbagai maklumat yang bukan saja untuk peminat dan pengusaha madu lebah malah, pelancong.
"Kita sedang kenal pasti pulau yang sesuai untuk dibangunkan dan kita juga akan pilih pulau yang mempunyai pokok tualang yang mampu menghasilkan madu lebah tualang bermutu tinggi," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Lebah Peringkat Kebangsaan dan ApiExpo 2011 di Hotel Permai, baru-baru ini. Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Lebah Asia, Dato' Prof. Dr. Makhdir Mardan.
Seminar dua hari yang berakhir semalam itu menghimpunkan seramai 100 orang peserta dari kalangan pengusaha serta penyelidik berkaitan industri madu lebah dari seluruh negara.
Tambah Asha’ari, dengan adanya pulau sedemikian, ia turut membantu pencari dan pengusaha madu lebah dalam aspek keselamatan, kawalan mutu dan sebagainya.
Selain itu katanya, Malaysia buat julung kali diberi penghormatan menjadi tuan rumah Seminar Lebah Asia yang bakal diadakan di Terengganu pada penghujung September tahun depan.
"Seminar seumpama itu diadakan dua tahun sekali dan tahun depan, Malaysia buat pertama kalinya akan jadi tuan rumah yang akan diadakan di Terengganu," katanya.