Halaman

05 October 2011

Petani muda digesa sertai Kor Tani

Oleh: Suriati Ali

Golongan petani muda yang berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Pelandang (LPP) di negeri ini digesa menyertai Kor Tani bagi merebut peluang yang disediakan pihak kerajaan dalam meningkatkan hasil serta mempeluaskan bidang keusahawanan mereka.

Pegawai Hal Ehwal Korporat LLP negeri, Encik Mohamed A. Rahman berkata, sehingga kini seramai 100 ahli peladang sudah mendaftar dan mensasarkan 500 penyertaan sehingga Disember depan.

Menurutnya, penubuhan Kor Tani adalah usaha kerajaan dalam membantu melahirkan satu pasukan pertanian yang baru dan seterusnya mencapai misi serta visi kementerian dengan slogan 'inovasi pertanian pemangkin pembangunan’.

“Penyertaan Kor Tani terbuka kepada semua petani yang berdaftar dengan LPP terutamanya mereka yang berumur antara 18 hingga 45 tahun dan mereka ini akan bertindak sebagai agen pembangunan dalam usaha memajukan sektor pertanian.

“Ahli berpeluang mengikuti pelbagai latihan yang bukan sahaja merangkumi aspek pendidikan pertanian malah ceramah motivasi dalam usaha ke arah melahirkan petani yang bermaklumat,” katanya.

Selain itu, Mohamed berkata, bakal usahawan dalam bidang pertanian juga disyorkan menjadi ahli Kor Tani supaya mendapat ilmu yang mencukupi dari segi ketahanan fizikal dan mental disamping pengetahuan serta kepakaran dalam bidan pertanian yang akan diceburi mereka nanti.

“Ahli akan diberi bantuan dan bimbingan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau agensi lain dalam usaha memastikan pengeluaran serta penghasilan produk petanian mereka dapat menembusi pasaran lebih luas.

“Justeru, dengan penubuhan ini ia mampu menjadi satu mekanisma kepada kementerian dalam mempertingkat dan memartabatkan imej bidang pertanian sebagai salah satu mekanisma penting dalam pembangunan negera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penubuhan Kor Tani secara tidak langsung dapat memberi pilihan kepada golongan belia yang berminat dalam bidang pertanian menceberuinya sebagai satu kerjaya dengan lebih serius.

Menurutnya, sehingga Jun lalu, seramai 49, 489 ahli berdaftar dengan LPP, di mana 86 peratus (42,969) daripadanya adalah ahli PPK yang melibatkan 30,794 petani lelaki dan 11,617 petani wanita.

Difahamkan, pelancaran Kor Tani Zon Timur akan dilancarkan di Pahang melibatkan lebih 1,000 ahli.