Halaman

04 October 2011

Rakyat jangan terkejut pemimpin PAS bercakap soal kebajikan

Oleh FAUZI MOHD



PAS dicabar supaya membuktikan bahawa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini telah gagal melaksanakan usaha kebajikan kepada rakyat selama ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sekiranya PAS mempunyai asas kukuh, beliau 'mengalu-alukan' parti pembangkang itu untuk membuktikannya.

Beliau bagaimanapun berkata, hakikatnya PAS adalah parti yang tiada pendirian kukuh dan hipokrit kerana selalu mencari salah UMNO serta BN demi meraih sokongan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad yakin dasar parti itu yang berubah daripada negara memperjuangkan Islam kepada negara berkebajikan ternyata tidak mampu memperdayakan rakyat kerana kerajaan BN telah lama melaksanakan perkara itu.

Sebagai bukti jelas beliau, kerajaan sentiasa memberi tumpuan terhadap pelbagai bidang terutama pendidikan untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Walaupun yang bercakap siang dan malam soal kebajikan adalah pemimpin PAS, tetapi yang sentiasa ikhlas menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan adalah kerajaan BN.

“Rakyat tidak perlu rasa terkejut, jika akhir-akhir ini pemimpin PAS sering bercakap soal kebajikan dalam ceramah mereka, kerana itu hanya soal ceramah bukan perkara yang mereka akan lakukan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembahagian e-Book kepada 550 murid darjah empat dari 23 buah sekolah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap di Dewan Sivik Sungai Tong, Setiu petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap.

Dato’ Seri Ahmad menjelaskan, usaha murni kerajaan negeri menyediakan kemudahan e-Book secara percuma di negeri ini adalah satu bentuk kebajikan untuk rakyat.

"Kerajaan beri bantuan e-Book kepada pelajar sehingga mampu meletakkan Terengganu negeri terbaik dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) 10 tahun berturut-turut. Ini semua usaha kebajikan yang telah kerajaan BN laksanakan," tambahnya