Halaman

08 October 2011

Tuanku Mizan berangkat ke Majlis Makan Malam Sultan Mizan Cup 2011

Oleh FAUZI MOHD

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin malam tadi berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam sempena Kejohanan Sultan Mizan Cup 2011 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu.

Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Turut hadir, Tengku Seri Laksamana Raja, Tengku Seri Temenggong Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan kenamaan lain.

Majlis itu diadakan bagi meraikan penyertaan 70 pelumba kuda lasak dari sembilan buah negara dalam kejohanan yang masuk edisi keenam tahun ini.

Selain penyertaan Seri Paduka Baginda, kejohanan dua hari itu disertai penunggan dari Argentina, Australia, Republik Chech, Chile, Indonesia, Singapura, Thailand, Emeriah Arab Bersatu dan Uruguay.

Dalam cabaran sejauh 120 kilometer itu, Tuanku Mizan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bersama Abdul Halim Alihan, Bakar Aman, Mohd. Bulkhairi Razali dan Mohd. Sulaiman Muda.

Turut memberi saingan, pasukan State of Terengganu Endurance Team yang antaranya diwakili Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Abdullah Taib, Azizatul Asma Dato’ Abdullah, Mohd. Firdaus Hamid serta Mohammad Fuad Hasim.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan penghargaan kepada penaja kejohanan seperti Sime Darby, Mitavite, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd., Norlan United dan Public Bank.