Halaman

20 February 2013

Isu pasar baru Kedai Payang selesai

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali 

Beginilah ilustrasi artis menggambarkan keadaan bangunan baru Pasar Payang besreta bangunan hotel dan apartmen yang akan dibina kelak
Isu bantahan segelintir peniaga berhubung cadangan kerajaan negeri membina pasar baru Pasar Payang selesai apabila mereka bersetuju dengan cadangan tersebut hasil pertemuan dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.

Menteri Besar Dato'Seri Haji Ahmad Said ketika berbincang dengan Persatuan Peniaga dan  Penjaja  Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu di Sri Iman hari.

Dalam pertemuan itu yang diadakan di Seri Iman, Menteri Besar bersetuju menerima cadangan peniaga untuk menempatkan semula semua peniaga yang beroperasi di Pasar Payang ke bangunan baru setelah pembinaannya siap kelak.

Sebelum ini, segelintir peniaga membantah cadangan projek membina bangunan baru Pasar Payang empat tingkat dan berhawa dingin kerana peniaga ikan dan barang-barang basah yang berniaga di situ sejak sekian lama akan dipindahkan ke Pasar Cabang Tiga.

Bagaimanapun, selepas perbincangan antara Menteri Besar dan ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu, pihak kerajaan bersetuju untuk mengekalkan semua peniaga, dengan syarat mereka menjaga kebersihan di premis masing-masing.

Kerajaan negeri merancang pembinaan bangunan baru bagi menggantikan Pasar Payang yang sedia ada selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia mengesahkan ia tidak selamat diduduki.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang di mana projek itu akan dimulakan tahun ini. Sebelum ini,



Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, kotor dan mencemarkan imej Bandar Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat dan mampu menarik lebih ramai pelancong membeli-belah di situ.

Mengulas mengenai persetujuan itu, Menteri Besar berharap ia tidak lagi menjadi isu dan meminta semua peniaga di Pasar Payang tidak melayan sebarang hasutan daripada pihak lain, khususnya pembangkang yang cuba mempolitikkan isu berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan kita akan melakukan yang terbaik bagi menjaga kebajikan dan keselesaan peniaga, tetapi pada masa yang sama peniaga pula perlu menjaga tempat perniagaan supaya sentiasa bersih.

“Mereka tidak boleh sepanjang masa mengharapkan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memantau keadaan ini kerana persekitaran yang bersih amat penting bagi menarik pelanggan, khususnya pelancong dari luar Terengganu,” katanya.







Maidam terima bayaran zakat dari Gloden Pharos Berhad

Oleh: Noraini Jusoh

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menerima bayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan Golden Pharos Berhad dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Pada majlis itu, Pengerusi Kumpulan Golden Pharos Berhad, Datuk Zubir Embong telah menyerahkan replika cek berjumlah RM209,385.10 kepada Yang Dipertua Maidam, Dato’ Bentara Luar, Dato’ Haji Omar Pilus.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh turut menyaksikan penyerahan zakat tersebut.

Golden Pharos Berhad adalah syarikat senaraian awam di Papan Utama Bursa Malaysia, dimiliki sebanyak 63.61% oleh Terengganu Incorporated Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Kerajaan Negeri Terengganu.

Kegiatan utamanya adalah pengurusan konsesi hutan, pembalakan dan pengagihan, pengilangan papan dan pemprosesan tambah nilai barangan berasaskan kayu, pengilangan dan menjual panel kaca seni binaan serta pintu kayu.

 

Ramai pengundi baru dijangka mengundi Barisan Nasional (BN) di Besut



Oleh: Mohammad Ishak

Kehadiran pengundi baru yang mewarnai Pilihan Raya Umum (PRU13) dalam Parlimen Besut, dijangka tidak memberi kesan besar kepada pengaruh pembangkang sebalik ia lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Keyakinan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, berdasarkan jumlah pengundi baru yang pertama kali akan mengundi di parlimen Besut ia akan memihak kepada BN kerana sebahagian besar mereka didaftarkan oleh Pemuda Umno Besut.

Pada PRU13 di Parlimen Besut menyaksikan seramai 72,112 pengundi dan daripada jumlah itu 16,402 adalah pengundi baru yang pertama kali akan mengundi.

Dr Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri dan Bendahari Umno Bahagian berkata, faktor lain yang menjamin kemenangan BN ialah kekuatan Umno bahagian itu sendiri yang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi gelombang politik.

Malah,katanya, Umno Besut sudah melengkapkan jentera gerak kerja sejak Mac tahun lalu menyebabkan ahli Umno sudah bersedia jika perlimen dibubarkan.

Dr Abdullah berkata, pemimpin bahagian itu juga sentiasa patuh kepada keputusan parti dan sedia berundur jika pucuk pimpinan parti memutuskan mereka tidak akan dicalonkan.

“Pemimpin Besut juga reda dengan apa sahaja keputusan parti malah berikrar untuk bekerjasama jika ada mana-mana pihak yang tidak dicalonkan semula,” katanya.

Pakaian paling hodoh meriahkan sukaneka

Oleh; Esah Abdullah



Lazimnya banyak yang menganjurkan pertandingan ratu cantik atau pertandingan siapa paling kacak tetapi berlainan pula yang berlaku di Kampung Bukit Wan bila mengadakan Pertandingan Pakaian Paling Hodoh.

Sebenarnya, pertandingan ini berjaya mengamatkan suasana yang turut diselangi jeritan kanak-kanak serta sorakan golongan dewasa melihat kemunculan peserta yang datang menonjolkan diri dari beberapa sudut di tapak acara sukaneka setelah nama dipanggil oleh pengacara.

“Serasi dengan geografi kampung dikelilingi pokok renek membolehkan peserta bersembunyi sambil dibantu jurusolek masing-masing sebelum muncul dikhalayak untuk diadili,” kata Pengerusi Jawatankuasa Sukaneka Kampung Bukit Wan, Encik Zulkifli Abd Ghani.


Menurutnya, acara sukaneka diadakan selama dua hari dengan menyenaraikan 40 acara membabitkan golongan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas.

“Saya seronok apabila hampir 97 peratus penduduk kampung keluar untuk menyertai acara sukaneka dan ada yang datang sebagai memberi sokongan semata-mata,” katanya.

Terdapat 16 acara khusus untuk peserta lelaki, perempuan (14 acara) dan kanak-kanak (10 acara) dan setiap acara menerima penyertaan 30 hingga 40 orang yang terpaksa melalui ujian saringan sebelum memilih juara.

Antara acara yang paling mencabar ialah pertandingan pakaian paling hodoh yang disertai 22 peserta termasuk kanak-kanak berusia sembilan tahun hingga 50 tahun.

“Pertandingan ini telah menjadi acara tradisi yang diadakan setiap tahun serta mendapat sambutan semua penduduk kampung,” katanya.

Acara lain yang mewarnai sukaneka berkenaan termasuklah pertandingan bola kandang lembu, bola cetong, kaki hantu, lari berundur, junjung nyior, musang berjangut, tarik balak, motor lambat, tangkap basah dan sebagainya.

Anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri, Persatuan Belia 4B dan Persatuan Futsal Kampung Bukit Wan berjaya memupuk perpaduan kalangan remaja, dewasa dan warga emas.

Majlis berakhir dengan jamuan makan malam, cabutan nombor bertuah, teka biji betik serta memilih seorang peserta berpakaian paling cantik dengan menawarkan hadiah telefun bimbit, barangan elektrik dan hamper.



Kenaikan BR1M bentuk remaja mampu berbakti

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 3.0 dan 4.0 untuk remaja yang mungkin dinaikkan daripada RM250 kepada RM500 jika Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum akan datang sewajarnya menjadi dana terbaik kepada anak muda serta membentuk mereka menjadi masyarakat yang mampu mencurahkan kesetiaan dan khidmat bakti untuk tanah air, kata Pengerusi Pemuda BN Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin.

“Cadangan untuk menaikkan BR1M itu sememangnya bagus dan memberi banyak manfaat kepada golongan muda. Bagaimanapun, biarlah bantuan khas daripada Kerajaan Pusat  berkenaan benar-benar mampu menjadi dana terbaik yang akhirnya memberi pulangan kepada remaja dan juga negara.

“Mereja bukan sekadar menerima wang tunai semata-mata, tetapi pengagihan itu perlu disertai dengan pengisian yang lebih efisyen serta menjurus kepada penekanan bagi membentuk golongan yang mampu menzahirkan setia dan sanggup mencurahkan khidmat bakti untuk negara tercinta,” katanya di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), baru-baru ini.

Encik Saiful berkata demikian sebagai mengulas cadangan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berhasrat menemui Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan untuk menaikkan BR1M kepada remaja daripada RM250 kepada RM500. 

Menurutnya, kesediaan pucuk pimpinan BN dan Umno menilai serta menimbang menaikkan kadar bantuan kepada golongan remaja membuktikan Kerajaan BN sentiasa prihatin dalam aspek kebajikan dan bersedia membantu rakyat yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembelaan sewajarnya.

Katanya, golongan remaja yang menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan kerajaan itu seharusnya bijaksana dalam memilih parti yang benar-benar membela nasib mereka dan tidak sesekali cenderung untuk menyokong kumpulan yang cuba memporak-perandakan keamanan dan kestabilan yang sedang dikecapi rakyat masa kini.

 

Pembinaan Pasar Payang baru akan diteruskan-MB

Kerajaan Negeri akan meneruskan projek pembinaan Pasar Payang baru kerana bangunan itu disahkan tidak selamat lagi.
Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembinaan Pasar Payang baru empat tingkat yang berhawa dingin walaupun ada bantahan pihak tertentu, khususnya pembangkan kerana bangunan itu disahkan sudah tidak selamat didiami.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan pula keadaan Pasar Payang yang ada sekarang sudah tidak sesuai kerana sempit, bocor dan kotor, tidak sesuai dengan imej Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.

 “Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah membina semula Pasar Payang dengan pelbagai kemudahan moden dan struktur baru supaya lebih selamat.

“Kita laksanakan semua itu untuk kemudahan orang ramai, terutama peniaga dan pelancong, bukannya seperti yang diperkatakan pihak tertentu, terutama pembangkang yang mendakwa mahu membunuh warisanTerengganu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Pelancaran Tabung Warisan, di Ri-yaz Heritage, Marina Resort & Spa Kuala Terengganu malam tadi.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia kesal dengan dakwaan pembangkang yang sengaja membangkitkan kemarahan orang ramai walaupun menyedari pembangunan dilaksanakan itu untuk kepentingan masa depan.

Dalam laporan Teganukita sebelum ini ada menyatakan Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin, tidak lama lagi.

 Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

 “Projek ini melibatkan pelaburan lebih RM400 juta dan akan dilaksanakan oleh syarikat swasta yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan penghujung tahun ini,” katanya.

 

19 February 2013

Majlis makan tengahari eratkan hubungan TATiUC dengan warga pendidik

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Universiti Tati (TATiUC) telah mengadakan majlis makan tengahari bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan warga pendidik di Ri-Yaz Heritage, Resort & Spa, Terengganu, hari ini.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Pengurusan TATiUC berkata, tujuan majlis tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara TATiUC dengan pengetua dan guru kaunselor sekolah menengah di negeri Terengganu.

"Kita menghargai jasa dan sumbangan pengetua dan guru kaunselor dalam mempromosikan program-program akademik TATiUC kepada para pelajar.

"Peranan dan jasa pengetua dan guru kaunselor sangat besar dalam membantu pelajar menentukan hala tuju selepas menamatkan alam persekolahan,” ujarnya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin; Permangku Rektor TATiUC, Dr. Zunaidi Ibrahim; Pendaftar TATiUC, Tuan Haji Che Suhaimin Mohamad; Ketua-Ketua Sektor Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu serta Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah Negeri Terengganu.

Katanya, beliau mengharapkan para pelajar mengambil peluang yang ditawarkan oleh TATiUC untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran yang mereka minati dengan bimbingan oleh guru kaunselor.

Tambah beliau, warga pendidik juga diseru memberi seluruh komitmen dalam mendidik anak-anak Terengganu agar dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

 

PASAR PAYANG BERBAHAYA DAN PERLU DIBINA SEMULA - JKR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita

Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelaskan, sememangnya bangunan Pasar Payang (gambar) terutama di bahagian anjung yang berada di dalam sungai (sebelah penjual ikan dan sumber laut serta ayam dan daging), perlu dirombak dan bina semula.

Terdapat struktur binaan yang telah reput dan rosak dan boleh menyebabkan keruntuhan berlaku bila-bila masa terutamanya di bahagian bawah (dalam air).

Ia bukanlah kajian dan nasihat di peringkat JKR Negeri Terengganu tetapi oleh JKR Pusat dan telah pun membuat laporan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri Terengganu sejak dua tahun lalu.

Demikian diberitahu oleh Timbalan Pengarah JKR Negeri (Pembangunan) Ir. Haji Abdul Manan Embong kepada Pengarang Teganukita hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kekeliruan sesetengah pihak tentang status Pasar Payang yang sebenar. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebelum ini telah memaklumkan bahawa Pasar Payang yang ada perlu dirombak dan dibina semua untuk tujuan keselamatan dan keselesaan peniaga dan orang ramai yang membeli-belah.

Pasar Payang yang merupakan pusat jualan pelbagai barangan tradisional terkenal di Terengganu bakal berubah wajah apabila ia digantikan dengan pasar baru empat tingkat yang berhawa dingin.

Dengan bentuk baru yang lebih selesa, ia akan boleh menarik lebih ramai pelancong lagi mengunjungi pasar itu.

Dan adalah tidak benar, kerajaan tidak akan membenar penjualan di situ, tetapi diberi tempat yang lebih selesa.

Selain itu, sebuah hotel bertaraf lima bintang setinggi 23 tingkat yang menyediakan 550 bilik dan apartment 30 tingkat akan turut dibina berhampiran Pasar Payang, tahun ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan projek berkenaan dimulakan, semua peniaga di Pasar Payang akan dipindahkan ke tapak sementara di Pulau Warisan.

Bermakna tempat perpindahan perniagaan sementara juga disediakan, sehingga menunggu pembinaan baru Pasar Payang siap.

Namun terdapat pihak-pihak tertentu, khususnya pembangkang yang cuba meracuni pemikiran orang ramai dengan mengatakan kerajaan mahu merobohkan pusat perniagaan itu.

Dengan penjelasan yang dibuat oleh JKR sendiri, jelaslah bahawa ia bukan soal politik, tetapi membabitkan soal keselamatan dan keselesaan untuk orang ramai.

Tinjauan Teganukita mendapati keadaan pasar itu kotor dan air kotor melimpah menyebabkan orang ramai tidak selesa, terutama di bahagian pasar basah.

Pandangan yang menjijikan ini member imej yang amat tidak baik kepada negeri, terutamanya di mata pelancong.

Untuk pembangunan dan kebaikan, tidak dapat tidak kita perlu membuat perubahan dan tidak timbul soal hendak menghapuskan warisan, apatah lagi ia bakal dibina semula dengan bangunan yang lebih baik, selepas dirombak.

Di Arab Saudi pun, termasuk di Mekah dan Madinah pembangunan dilakukan untuk keselesaan, sekalipun melibatkan bangunan dan tempat bersejarah dalam Islam.

Misalnya dilaporkan rancangan pihak berkuasa Arab Saudi meruntuhkan salah satu daripada tiga buah masjid tertua di dunia yang menjadi mercu tanda kesayangan seluruh umat Islam, iaitu Masjid Nabawi di Madinah.

Projek pembangunan itu akan bermula sebaik saja musim haji tahun lalu.
Menurut laporan tersebut, kebanyakan kerja-kerja pembinaan bagi Masjid Nabawi akan dijalankan di kawasan barat masjid tersebut dan apabila siap nanti, dijangkakan ia akan mampu menempatkan manusia paling ramai di dunia iaitu seramai 1.6 juta orang jemaah.
 

UMT wujud pusat KSJA di Putrajaya

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan mewujudkan pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa (KSJA) bertempat di Putrajaya tahun ini.

Naib Canselor UMT Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, pusat ini akan berfungsi sebagai wakil UMT dengan Kerajaan Pusat khususnya melalui jemputan mesyuarat dan jaringan strategi.

“Kita perlu hubungan yang rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi Kerajaan Pusat yang lain jika mahu terus maju ke hadapan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Menurutnya, dengan cara ini sebahagian daripada tugas pemimpin dan pengurus akademik untuk ke Putrajaya bermesyuarat boleh diambil alih oleh pusat ini.

Pada masa yang sama katanya, inisiatif boleh diambil untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui pelbagai peluang dan aktiviti globalisasi yang berlaku di Putrajaya (pusat pentadbiran) dan Kuala Lumpur (pusat perniagaan).

“Kita juga perlu memperluaskan dan menjajar peranan penerbitan UMT kepada peranan baru sebagai pusat penerbitan akademik dan korporat,” katanya.

Katanya, peranan penerbitan akademik akan dikekalkan untuk menerbitkan dua jurnal UMT iaitu Journal of Business and Social Development (JBSD) dan Journal of Sustainability Science and Management (JSSM) serta penerbitan monograf hasil penyelidikan dan buku teks terpilih.

Tambahnya, pusat ini juga akan berfungsi untuk menyelaras penerbitan korporat dalam bentuk majalah, buku dan laporan strategik untuk meningkatkan citra UMT.
 

Negara kekurangan saintis muda

Oleh; Esah Abdullah

Negara memerlukan saintis muda sebagai pelapis bagi menerajui bidang Sains Marin ke arah membangunkan teknologi berkaitan laut dan ramalan iklim di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, selama ini Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara kebanyakan mengeluarkan graduan dalam bidang sains fizik, kimia, biologi tetapi kurang dalam bidang berkaitan teknologi Sains Marin.

Katanya,sebagai sebuah negara dipinggir laut, kita kekurangan pakar-pakar dalam bidang Sains Marin oleh itu kita perlu bergerak lebih cepat ke arah membangunkan pakar-pakar dalam bidang ini khususnya untuk membuat ramalan cuaca, angin kenyang dan sebagainya.

 “Perbincang perlu bagaimana kita boleh bergerak lebih pantas mencari ruang dan lompang yang ada untuk memperbaiki kekurangan lalu,” katanya pada Bengkel sains Marin dan Ekosistem ‘Agenda Nasional Hala Tuju Masa Depan di Ri-Yaz Heritage Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Selain itu katanya, melalui teknologi sains marin boleh memperbaiki kehidupan rakyat yang berada dipersisiran pantai dan juga sebagai persediaan negara menghadapi ancaman rebut dan cuaca , Tsunami dan sebagainya.

 “Sehingga ini negara hanya mempunyai 30 orang saintis dalam bidang sains marin yang kebanyakan sudah lama berkhidmat manakala setiap tahun kira-kira 120 orang penyelidikan dalam bidang sains (ijazah peringkat pertama) berjaya menamatkan pengajian.

“Yang jelas kita memerlukan pelapis muda bagi merapatkan usia dengan saintis sedia ada dan usaha menghantar pensyarah muda ke luar negara bagi melengkapkan pengajian PhD dalam pelbagai bidang sains marin dan teknologi sedang berjalan,” katanya.

Oleh itu katanya, kita memerlukan beberapa tahun lagi untuk melihatkan hasilnya kerana pelajar-pelajar ini baru saja memulakan pengajian masing-masing.