Halaman

28 March 2013

Jalan altenatif beri manfaat kepada ribuan penduduk

Oleh; Esah Abdullah

Terowong Kemajuan jalan Pulau kambing ke Bukit Kecil sangat dinantikan ribuan penduduk yang tinggal di Kampung Pulau Kambing dan sekitarnya kerana dapat mengelak kesesakan jalan raya menuju pusat bandar serta menghilangkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka pergi dan pulang dari sekolah.

 “Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat dari akar umbi dengan membina laluan altenatif sebagai jaminan keselamatan pelajar sekolah di sini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Kambing, Encik Alias Jantan.

Katanya, sebelum itu beliau turut terlibat dalam perbincangan untuk membina jejambat di kawasan itu tetapi keputusan diambil untuk membina terowong yang boleh dilalui kenderaan di samping penjalan kaki.

Encik Kong Wang Ting, 56 dari jalan Hiliran juga berterima kasih kepada kerajaan kerana beliau tidak lagi bersusah payah menempuh jalan sesak menghantar anak ke Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa Wei Sin yang terletak disebelah jalan berkenaan.

“Saya tidak bimbang lagi tentang keselamatan anak jika terlambat datang mengambilnya kerana sudah ada jalan pintas di sini,” katanya yang mengambil dan menghantar anak setiap hari.

Encik Ahmad Shukri Abdullah, 48, yang tinggal di Pekan Batu 6, melahirkan rasa lega bila kerajaan buat terowong kerana memudahkan beliau berulang alik menghantar dan mengambil dua orang anaknya yang bersekolah di SM Chung Hwa Wei Sin.

Beliau yang berniaga di Pasar Payang berkata, dengan adanya jalan altenatif ini beliau dapat menjimatkan masa perjalanan setiap pagi untuk hantar anak dan kemudiannya ketempat kerja.

“Memang pembinaan terowong ini memberi kelegaan kepada seluruh masyarakat yang keluar cari rezeki setiap hari dan saya lihat ramai orang guna jalan pintas ini untuk ke tempat kerja di bandar di samping pelajar dan guru,” katanya.

 





Pemberian e-Book akan diperluas ke setiap hospital

Dato' Haji Ahmad Razif melihat pesakit yang ditempatkan di 'Sekolah Kita' HSNZ menggunakan e-Book yang disampaikan oleh kerajaan negeri.
Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri akan memperluas pemberian e-Book kepada Jabatan Pediatrik setiap hospital di negeri ini bagi memastikan pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, buat permulaan Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu terpilih sebagai hospital perintis menguji keberkesanan penggunaan e-Book itu.

"Sebagai permulaan, 10 unit e-Book diserahkan kepada HSNZ dan lima unit lagi kepada Hospital Kemaman dan jika terbukti berjaya dengan perkembangan positif pesakit, ia akan di perluaskan ke hospital daerah lain," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan e-Book itu di ‘Sekolah Kita’ HSNZ, semalam.

Katanya, ‘Sekolah Kita’ yang diwujudkan hasil inisiatif HSNZ sejak tahun 2004 bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran akademik kepada pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik HSNZ Dato’ Dr Jimmy Lee Kok Foo berkata kira-kira 90 peratus daripada 2,000 pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di jabatan itu ialah pesakit Talasemia.

"Bagi seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit Talasemia, tempoh setiap rawatan antara enam hingga lapan jam di hospital merupakan rutin yang membosankan, namun dengan adanya kemudahan e-Book di sini, mereka mengisi masa itu dengan perkara yang bermanfaat," katanya.

Selain itu, Dato’ Haji Ahmad Razif juga berkata HSNZ bakal mempunyai sebuah perpustakaan bagi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pesakit, petugas dan orang ramai yang berkunjung ke HSNZ.

 

Kerajaan berjaya tarik pelaburan RM25 bilion tahun ini

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah berjaya menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman tahun ini.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, projek ini termasuklah pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

“Melalui kedua-dua projek ini dijangka dapat membuka peluang 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya di majlis Perasmian Terowong Kemajuan Pulau Kambing ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya tTerengganu, Dato’ haji Yazid Mustafa; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Haji Shafie Mohamad.

Selain itu katanya, satu penemuan baru bijih besi ditiga kawasan di bumi Terengganu merupakan satu lagi anugerah Allah s.w.t untuk rakyat negeri ini.

“Jika kita sentiasa bersyukur dengan limpah nikmat kurniaanNYA, nescaya Allah akan tambah lahi nikmat pada masa akan datang,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan pembinaan terowong yang dapat menyiapnya mengikut jadual.



“Peruntukan asal terowong berkenaan adalah RM2.6 juta tetapi hanya membelanja kan kira-kira RM2.1 juta sahaja,” katanya.

Katanya Terowong Kemajuan ini memberi banyak manfaat kepada orang ramai terutama ibu bapa dari arah Jalan Kampung Pulau Kambing untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin dan juga laluan ke pusat bandar.

 





Terengganu sasar penurunan 32 peratus kadar NRW

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri mensasarkan kadar Non Revenue Water (NRW) dapat diturunkan sehingga 32 peratus sehingga akhir tahun ini bagi memastikan keupayaan sistem agihan dan pembekalan air kepada pengguna berada pada tahap maksimum.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu diperoleh kerana Syarikat Air Terengganu (Satu) sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kerja selain menyedari keupayaan menurunkan NRW akan memberi pulangan pendapatan besar kepada rakyat kerajaan negeri.

 Katanya, pihaknya sedar, ia bukan satu usaha yang mudah untuk menurunkan kadar NRW, tetapi tindakan-tindakan yang lebih strategik dan berterusan perlu dilaksanakan.

“Kerajaan negeri yakin isu NRW ini dihadapi semua operator air di negara ini. Oleh itu, saya sarankan Ssuruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air perlu melihat isu ini dengan teliti.

 “Pada masa sama disarankan mengambil pendekatan yang holistik bagi mengatasi isu NRW kerana isu ini merupakan isu nasional,” katanya.

 Katanya, pihak kementerian dan SPAN perlu membuat penyelarasan program atau projek bagi menangani isu ini secara menyeluruh dan menyeragamkan tindakan -tindakan yang diambil di semua negeri.

 “Saya fikir semua operator perlu berkongsi maklumat, kaedah, pengalaman danteknologi serta mencari amalan terbaik bagi mengatasi masalah ini.

 “SPAN boleh menjadi facilitator ke arah ini dan semua operator wajar berkongsi kejayaan masing-masing bagi memastikan pencapaian matlamat untuk menurunkan NRW dengan lebih cepat dan berkesan,”katanya

. Katanya, pihak Kementerian juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi pelaksanaan program atau projek yang berkaitan dengan NRW.

Tanpa peruntukan yang mencukupi adalah amat sukar untuk semua operator mengawal kadar NRW sehingga ke satu tahap yang munasabah dan boleh diterima

 “Saya berpendapat isu NRW ini sukar dikawal kerana kemampuan kerajaan negeri bagi membiayai program atau projek berkaitan dengan NRW adalah amat terhad,” katanya.

 

40 dalil Pas tidak layak ganti Umno

Sebuah buku bertajuk “Ala Balerr!!!” sedang diedarkan di negeri ini bagi mendedahkan mengapa Pas tidak layak menggantikan Umno, untuk memberi pilihan kepada rakyat menilai Pas yang sebenar.

Lima sebab mengapa Pas tidak layak menggantikan Umno seperti yang digariskan penulis buku berkenaan ialah:

1. Beri Zakat Kepada anak Exco - Kerajaan Pas melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meluluskan peruntukan zakat di bawah asnaf ‘fi sabilillah’ kepada anak-anak Exco, iaitu Dato’ Abu Bakar Chik dan Haji Abu Bakar Abdullah. Selepas isu tersebut didedahkan, Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, menafikannya dan minta bukti dalam tempoh 24 jam. Setelah dibuktikan, Hadi jawab Exco berkenaan tidak tahu anak mereka peroleh zakat daripada Maidam san sanggup bayar balik.

2. Wang Zakat Bayar Elaun Kader Pas - Kerajaan Pas lantik 320 orang di seluruh negeri, iaitu 10 orang bagi setiap DUN bagi membantu YB dan pemimpin Pas. Mereka bergerak seluruh negeri membuat sesi penerangan dan ceramah bagi pihak Pas dengan menggunakan nama mubaligh, tetapi sebenarnya kader politik. Setiap kader dibayar dengan wang zakat antara RM600 hingga RM800 sebulan atas nama musafir. Zaman pemerintahan Pas wang zakat digunakan bagi tujuan propaganda dan gerak saraf politik.

3. Rampas Wang Ehsan Untuk KUSZA, TATI dan Sekolah Agama – Rakyat telah sedar setiap tindak tanduk Kerajaan Pas telah merosakkan ssitem pendidikan di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) (Kini Universiti Sultan Zainal Aibidin) dan Institut Lanjutan Teknikal Terengganu (TATI) (kini Kolej Universiti TATI).

4. 38 Pelajar Tiada SPM Masuk KUSZA – Kerajaan Pas telah mengarahkan KUSZA supaya mengambil 38 pelajar tanpa SPM daripada sekolah yang ditadbir Pas, Maahad Darul Quran yang beralamat di Masjid Rusila, Marang. Surat tawaran dikeluarkan oleh pihak Pendaftar KUSZA. Hadi Awang yang juga Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Terengganu mengarahkan yayasan itu mengeluarkan biasiswa kepada pelajar terbabit dengan wang pendahuluan RM500. Tindakan Pas itu merosakkan nama KUSZA kerana pengambilan pelajar tanpa SPM menyulitkan isntitusi berkenaan mendapat pengiktirafan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

5. Pensyarah KUSZA Tanpa SPM – Kerajaan BN yang bina, Pemimpin Pas yang rosakkan! Itu gambaran yang boleh diberikan berkenaan tindakan Kerajaan Pas terhadap KUSZA. Peraturan dan kelayakan ditolak ketepi dan biarkan kewibawaan KUSZA tercalar, asalkan Pas dapat melebarkan pengaruhnya ke merata institusi yang mereka kuasai.

Bersambung......

27 March 2013

Belum tiba masa untuk umum manifesto- MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman .
Oleh: Suriati Ali 

 Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said belum bersedia mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) biarpun menyedari pemimpin pembangkang sudah lama berbuat demikian.

 “Kita tidak akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat walaupun menyedari ramai yang ingin mengetahui apa isi kandungan manifesto.

 “Apabila tiba masa sesuai, kita akan umumkannya, apa yang penting, rakyat perlu bersabar menanti pengumuman manifesto yang pasti menjanjikan banyak kebaikan untuk rakyat ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu manifesto berkenaan adalah tambahan kepada manifesto BN Pusat yang dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

 “Walaupun manifesto tersebut masih di peringkat rahsia, kita berjanji kandungannya menjurus kepada soal perumahan, kebajikan rakyat, masalah-masalah perbandaran dan penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Berdasarkan rekod, BN tidak pernah terburu-buru melancarkan manifesto pilihan raya, tetapi sejarah membuktikan bahawa setiap janji yang dinyatakan dalam manifesto akan dilaksanakan selepas BN menang dalam pilihan raya,” katanya.

 Menurutnya, bahkan, perkara-perkara yang tidak dijanjikan dalam manifesto turut dilaksanakan selepas BN menang dalam pilihan raya baik di peringkat Pusat, mahupun peringkat negeri.

 “Keadaan ini berbeza dengan parti pembangkang yang hanya pandai berjanji setiap kali musim pilihan raya, tetapi tidak melaksanakannya.

 “Mereka akan mencari alasan,termasuk menjadikan BN sebagai ‘kambing hitam’ kerana kegagalannya menunaikan janji-janji tersebut. Ini terbukti pabila Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sejak tahun lalu lagi telah pun mengumumkan manifesto Pas bagi tujuan memancing undi,” katanya.

 Antara manifesto Pas yang tidakmasuk akal ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, memberi cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami dan menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun.

 Katanya, sebelum ini, Pas juga pernah berjanji untuk menghapuskan cukai pintu, tetapi janji tersebut tidak dilaksanakan walaupun mereka berjaya memerintah negeri ini pada tahun 1999 hingga 2004.

 “Inilah kebiasaan pemimpin pembangkang, mereka sanggup menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, tetapi bila sampai masa ia hanyalah janji kosong saja kerana mereka hanya mahukan undi dan jawatan wakil rakyat, tetapi tidak berniat pun membela rakyat,” katanya.

 

Orang ingkari zakat adalah kafir dan murtad

Oleh; Esah Abdullah

Ulamak bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad.

Penulis buku ilmiah Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (gambar) dalam tulisannya bertajuk ‘potensi zakat baharu untuk mengentas kemiskinan’ berkata, zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat.

“Zakat juga merupakan perkara yang mudah diketahui kefarduannya di kalangan umat Islam yang tidak memerlukan hujah dan dalil,” katanya.

Sambil memetik Firman Allah s.w.t dalam Surah at-Taubah; 34-35 bermaksud, “Dan ingatlah orang- orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu pada hari dibakar emas dan perak dan harta benda itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka) Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah azab dari apa yang kamu simpan itu,”.

Begitu juga hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud; Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan mengigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata; Akulah hartamu! Akulah simpananmu,”.

Katanya, ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah s.wt sahaja yang memiliki apa yang diwarisi oleh makhluk di langit dan di bumi. Oleh itu mengapakah mereka mesti bakhil apabila memilikinya dan tidak mahu membelanjakan ke jalan Allah.

Di dunia ini katanya, zakat boleh diambil secara paksa daripada mereka yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya. Jika mereka enggan memberi zakat dan menghalang amil daripada mengambilnya, maka pemerintah Islam yang melaksanakan syariat Allah hendaklah menentang mereka.

KISAH KERA DAN TUPAI

Oleh: Ruslan AR


 

Mungkin wartawan baru tidak mengetahui peristiwa ini dan wartawan lama mungkin sudah lupa bahawa Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pernah membuat kenyataan menyifatkan golongan wartawan lebih hina dari KERA dan TUPAI.

Beliau membuat ucapan itu di Dungun pada Februari 2002, sewaktu beliau menjadi Menteri Besar Terengganu.

Apabila Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) berasa tercabar dan terhina atas kenyataan biadab itu, Presidennya, Mustaffa Kamal Basri dan barisan jawatankuasa telah menghantar memorandum bantahan di atas kenyataan itu. Setiausaha Akhbar beliau,

Haji Zahari Mohamad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Adun, Kawasan Jabi waktu itu menerbitr kenyataan akhbar bahawa tidak salah Dato’ Seri Abdul Hadi menyamakan wartawan dengan tupai dan kera kerana katanya dalam perumpamaan Melayu ada menyebut kera dan tupai juga.

Contoh yang beliau berikan ialah seperti kera kena belacan, kera mendapat bunga, sepandai pandai tupai melompat. Apa yang pasti, kenyataan menyamakan wartawan dengan binatang seperti kera dan tupai cukup mengaibkan dan menghina golongan wartawan.

Ini boleh dikatakan hampir sama dengan sikap Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan) yang menyamakan penerima bantuan wang Brim seperti binatang ternakan ayam dan lembu.

 

Gandingan tiga kepimpinan jadikan Terengganu hebat

Gandingan tiga kepimpinan Menteri Besar, (dari kiri) Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Dato' Seri Haji Idris Jusoh dan Dato' Seri Haji Ahmad Said berjaya meletakkan Terengganu sebagai negeri hebat pada masa ini.
Oleh: Aida Abd Rahman

Gandingan mantap tiga kepimpinan Menteri Besar berjaya meletakkan Terengganu sebagai negeri hebat dalam bidang pendidikan dan sukan pada masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata gabungan tiga tokoh pemimpin utama, bermula dari mantan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, kemudiannya Dato’ Seri Haji Idris Jusoh dan kini, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akhirnya mampu menyuntik hasil dan perkembangan pendidikan yang amat baik di Terengganu.

“Masalah kita di Terengganu kita sudah lama ketinggalan kerana persekitaran kita sebegini. Maka dari segi pembentukan karakter,sahsiah dan penampilan anak Terengganu tidak mencapai kemajuan sebagaimana negeri di Pantai Barat.

 “Dengan apa yang dibuat oleh mantan Menteri Besar yang bermula dari Tan Sri Wan Mokhtar, ditambah dengan apa yang dilaksanakan oleh Dato’ Sri Idris untuk melahirkan golongan ulul-albab dan kita sudah sampai sebenarnya sasaran untuk pergi kepada (kegemilangan) individu,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif berkata, jika Tan Sri Wan Mokhtar bertanggungjawab menyediakan prasarana, Dato’ Sri Idris pula berperanan penting melakukan pengisian bagi pembentukan individu, sebelum diteruskan legasi itu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berasaskan kepada pencapaian lebih tinggi dan tahap global sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Bagaimanapun, kata beliau kita tidak boleh berhenti setakat ini sahaja kerana ini sebagai suatu permulaan dan perjalanan yang masih panjang serta jauh khususnya untuk memartabatkan agenda pendidikan ke peringkat lebih tinggi berkonsepkan `higher learning’.

“Sebab itu kita mahu lebih ramai anak Terengganu yang bersaing di peringkat global dan muncul sebagai individu lebih hebat. Contohnya apabila mereka ke universiti mereka adalah terhebat, apabila mereka bertanding di luar negara mereka adalah terbaik.

“Apabila sudah tergolong di kalangan yang terbaik dan hebat akan memudahkan mereka mendapat kerjaya yang profesional dan diiktiraf di tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kesinambungan kecemerlangan itu juga diharap satu masa nanti mampu melahirkan anak Terengganu yang bersedia mencurah khidmat di negeri sendiri bagi mengubah paradigma, karaktor dan pembentukan sahsiah secara keseluruhannya.

“Kerajaan negeri mahu anak Terengganu bangga menjadi anak Terengganu dan mereka merasa hebat, bukan sahaja dalam pendidikan, juga di bidang sukan.

“Jadi kalau kita tidak berbuat sesuatu dan masih memikirkan di takuk yang lama, kita takut apa yang kita hasilkan akan merudum kerana untuk membina bukan mudah, tetapi hendak menghancurkan hanya sekelip mata,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan rakyat Terengganu menghargai setiap kemajuan, mengekalkan dan menambaik baik usaha serta komitmen kerajaan dengan terus memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional bagi kestabilan politik negeri.

 

10,000 belia dijangka kunjungi Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013

Oleh: Noraini Jusoh

10,000 belia dijangka mengunjungi Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu sepanjang tiga hari bermula 4 April ini.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Parlimen Kuala Terengganu antara lokasi terpilih bagi menjayakan karnival yang diadakan di 100 lokasi di seluruh negara yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia dan Astro.

"Sebanyak 39 agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan banyak lagi akan terlibat pada karnival kali ini.

"Antara pengisian program yang mensasarkan golongan belia ini ialah pameran dari jabatan-jabatan yang terlibat, pertandingan bola jaring, membina arca pasir, memancing, autoshow, larian kecergasan 1Malaysia, persembahan kebudayaan dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, karnival tersebut bertujuan mendekatkan dan merapatkan hubungan golongan belia dengan pemimpin masyarakat setempat sekali gus membendung masalah sosial di kalangan remaja.

Katanya, karnival yang dianjurkan diharap dapat mengurangkan tohmahan bahawa kepimpinan kerajaan tidak turun padang dan tidak memberi perhatian kepada belia di peringkat akar umbi.

"Selain itu, saya turut mengharapkan program yang bakal dilaksanakan ini dapat melahirkan semangat patriotisme di kalangan anak muda dan memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk tonjolkan bakat yang terpendam,” jelasnya.

Tambah beliau, anggota keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan mengadakan persembahan tempur tanpa senjata untuk menyemarakkan semangat cintakan negara di kalangan belia.