Halaman

27 March 2013

Orang ingkari zakat adalah kafir dan murtad

Oleh; Esah Abdullah

Ulamak bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad.

Penulis buku ilmiah Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (gambar) dalam tulisannya bertajuk ‘potensi zakat baharu untuk mengentas kemiskinan’ berkata, zakat merupakan rukun Islam yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat.

“Zakat juga merupakan perkara yang mudah diketahui kefarduannya di kalangan umat Islam yang tidak memerlukan hujah dan dalil,” katanya.

Sambil memetik Firman Allah s.w.t dalam Surah at-Taubah; 34-35 bermaksud, “Dan ingatlah orang- orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu pada hari dibakar emas dan perak dan harta benda itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka) Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah azab dari apa yang kamu simpan itu,”.

Begitu juga hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud; Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan mengigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata; Akulah hartamu! Akulah simpananmu,”.

Katanya, ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah s.wt sahaja yang memiliki apa yang diwarisi oleh makhluk di langit dan di bumi. Oleh itu mengapakah mereka mesti bakhil apabila memilikinya dan tidak mahu membelanjakan ke jalan Allah.

Di dunia ini katanya, zakat boleh diambil secara paksa daripada mereka yang enggan mengeluarkannya tanpa menafikan kewajipannya. Jika mereka enggan memberi zakat dan menghalang amil daripada mengambilnya, maka pemerintah Islam yang melaksanakan syariat Allah hendaklah menentang mereka.