Halaman

29 March 2013

Muzium anjur program rampai budaya 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Muzium Negeri Terenganu (LMNT) menganjurkan program 'Rampai Budaya' sepanjang cuti sekolah bermula 23 sehingga 30 Mac ini.

Timbalan Pengarah LMNT, Haji Che Muhamad Azmi Ngah berkata, program itu bertujuan menjadikan Muzium Terengganu sebagai destinasi 'wajib lawat' pada musim cuti persekolahan.

"Program yang diadakan merupakan rangkuman aktiviti demonstrasi, permainan, kuiz, serta persembahan kebudayaan yang diadakan pada satu masa bertempat di pekarangan muzium.

"Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk menyalurkan maklumat berhubung aspek sejarah dan budaya tempatan sekali gus memperkenalkan aktiviti dan tugas pemuziuman," ujarnya.

Katanya, antara aktiviti teras ialah persembahan kebudayaan, demonstrasi awetan manuskrip, awetan mamalia dan permainan tradisional.

Tambah beliau, pengunjung dan pelawat digalak bersama-sama mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan.

Menurutnya, sepanjang cuti sekolah ini juga Muzium Terengganu akan beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, selain menawarkan beberapa pakej lawatan istimewa bagi pengunjung berkumpulan.