Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri dan Negara di samping berjaya mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peranan seorang isteri begitu mencabar lebih-lebih lagi isteri wakil rakyat yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
“Seorang isteri mampu menaikkan populariti seorang suami dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.
Katanya, beliau yakin Serikandi mempunyai agenda penting untuk ahli-ahlinya melengkapkan diri membantu tugas suami masing-masing untuk berbakti kepada masyarakat.

Pada majlis itu,Serikandi telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM5,000 kepada balu dua orang anggota keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa di Lahad Datu.

Turut mendapat perhatian Serikandi ialah lapan buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) seluruh negeri yang masing-masing menerima RM1,000. Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya telah menyampaikan sumbangan berkenaan.
