Halaman

26 March 2013

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia operasi sepenuhnya April

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penduduk DUN terbabit bakal beroperasi sepenuhnya, April ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peralatan rawatan seperti alat fisioterapi akan ditempatkan secara berperingkat di pusat yang akan memberi fokus kepada pesakit angin ahmar atau strok.

"Buat permulaan, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang ditugaskan untuk memberi rawatan dan ubat secara percuma kepada penduduk akan ditempatkan di pusat berkenaan mengikut waktu pejabat.

"Bagi pesakit yang kurang berkemampuan, perkhidmatan pengangkutan percuma turut disediakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sehari Doktor Pakar Bersama Komuniti di Perkarangan Bangunan Penyelaras Umno DUN Seberang Takir, baru- baru ini.

Katanya, ramai penduduk di DUN terbabit terutamanya warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang berisiko tinggi untuk mendapat serangan angin ahmar.

"Penubuhan Pusat Rehabilitasi yang bernilai RM350,000 ini merupakan tanggungjawab sosial kepada penduduk di DUN ini khususnya dan merupakan satu jihad dalam memulihkan kesihatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan awal akan diberikan kepada pesakit berdasarkan rekod yang ada di Klinik Kesihatan Seberang Takir.