Halaman

24 March 2013

427 orang sertai Kapas-Marang International Swimathon 2013

Peserta Kapas-Marang International Swimathon 2013 beraksi. - Gambar oleh MOHD YAHYA MUDA
Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 427 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Kapas-Marang International Swimathon 2013 sejauh 6.5 kilometer yang bermula dari Pulau Kapas dan tamat di Pantai Peranginan Kelulut, Marang, hari ini.

Kejohanan yang dianjurkan kerajaan negeri ini telah masuk tahun ke-14 penganjurannya dan telah mendapat penyertaan daripada 22 negara termasuk Slovakia, Estonia, Bosnia Hezegovina, Australia, Austria, Belgium, Britain, Czech Republic, Germany, Hong Kong, Iran, japan, New Zealand, Spain, Singapore, United Kingdom, United States dan Malaysia.

Kapas-Marang International Swimathon 2013 yang meyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM43,900 merupakan salah satu daripada aktiviti teras dalam kalendar pelancongan negeri dan menekankan disiplin pertandingan dengan renangan gaya bebas di mana pemenang bagi setiap kategori di kira berdasarkan catatan masa terpantas peserta sampai ke daratan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah lelaki / wanita junior (12-19 tahun), lelaki terbuka (20-34), lelaki senior terbuka (35-49), veteran terbuka (50 tahun dan ke atas), wanita terbuka (20 tahun dan ke atas), tertutup lelaki / wanita dan keseluruhan lelaki / wanita.

Seperti ramalan, peserta dari Germany, Benjamin Konschak yang menjuarai kategori lelaki terbuka 20-34 tahun pada kejohanan tahun lalu terus mengekalkan kejuaraan dengan catatan masa 1 jam 25 minit 29 saat mengatasi Jason Hsieh dari Hong Kong yang mencatat masa 1jam 37 minit 52 saat.


Wakil Malaysia dalam sukan Olympik London (tempat ke-16), Heidi Gan menjuarai kategori wanita terbuka 20 tahun ke atas dengan catatan masa 1 jam 25 minit 43 saat mengatasi Irene Chong juga dari Malaysia yang mencatat masa 1 jam 48 minit 15 saat.


Bagi kategori lelaki terbuka 35-49, dimenangi Manfred Mahrie dari Australia dengan catatan masa 1 jam 45 minit 32 saat, veteran terbuka 50 tahun ke atas dimenangi Tao Chee Hoo dari Hong Kong dengan catatan masa 2 jam 13 minit 23 saat.

Sementara bagi kategori lelaki dan wanita junior dimenangi peserta dari Malaysia iaitu Beh Wei Doong dengan catatan masa 1jam 43 minit dan 34 saat dan Chelsea Chong dengan catatan masa 1jam 46 minit 25 saat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, tidak banyak pulau yang boleh dijadikan lokasi untuk acara ini dan Pulau Kapas merupakan salah sebuah pulau terpilih yang terkenal untuk aktiviti bertaraf antarabangsa ini.

"Sejak penganjuran kejohanan ini, setiap tahun ia mendapat sambutan menggalakkan terutamanya penyertaan peserta dari luar negara.

"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kita akan mengadakan kerjasama dengan kementerian pelancongan untuk menjadikan acara ini lebih besar di mana kerajaan negeri bersedia untuk menambah sebanyak 20 peratus daripada nilai hadiah sekarang untuk tahun hadapan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Kapas-Marang International Swimathon 2013, di Pantai Peranginan Kelulut, hari ini.

Katanya, bagi merealisasikan hasrat mencapai sasaran empat juta pelancong datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013, acara-acara teras dalam kalendar pelancongan negeri akan diteruskan dari semasa ke semasa.