Halaman

25 March 2013

Syukur, kerajaan sentiasa dengar keluhan rakyat


Oleh; Esah Abdullah

Al hamdulillah, akhirnya saya dapat geran tanah untuk tapak rumah yang saya impikan selama ini, kata seorang ibu tunggal sembilan anak Puan Zaharah Abu Bakar, 54, dari Kampung Banggol Nyiur, Bukit Guntong, Tepoh.

Puan Zaharah
Puan Zaharah yang kehilangan suami tujuh tahun lalu menyara kehidupannya dan anak-anak dengan menoreh getah, melahirkan rasa gembira kerana sudah lama mengidamkan tanah berkenaan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada wakil rakyat dan juga Menteri Besar yang meluluskan permohonan ini,” katanya ketika ditemui di majlis Penyampaian Hak Milik Tanah di Kampung Penempatan Baru Banggol Binjai, Jeram Hulu, Tepoh yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Encik Salleh
Bagi Encik Salleh Ahmad, 60, dari Kampung Jeram Hulu, geran tanah ini sangat bermakna kerana ia bukti kecaknaan kerajaan kepada masyarakat kampung yang memerlukan tapak untuk tinggal lebih selesa bersama ahli keluarga.

“Semua orang seronok bila dapat hak milik tanah termasuk saya yang sudah lama memohon untuk mendapatkan tapak rumah dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan rakyat,” katanya.

Puan Zaliha
Puan Zaliha Ab. Rahman,55, dari Kampung Seberang Tepoh turut melahirkan rasa gembira kerana dianugerahkan sebidang tanah seluas 504 meter persegi untuk kegunaan bangunan.

“Saya bersyukur kerana turut disenarai sebagai penerima geran hak milik hari ini dan lebih teruja bila Menteri Besar sendiri yang menyerahkannya kepada kami,” katanya.

Pada majlis berkenaan seramai 164 daripada 253 orang dari Mukim Kuala Nerus, Batu Rakit dan Jeram menerima geran hak milik masing-masing daripada Menteri Besar.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.