Halaman

29 March 2013

JKR kemuka empat jenis struktur bumbung baru SSMZA

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri hanya menunggu arahan kerajaan negeri untuk membentangkan cadangan pemilihan bumbung baru yang sesuai dan lebih selamat bagi menggantikan bumbung stadium yang runtuh dan terpaksa dirobohkan kerana strukturnya yang memang tidak lagi selamat untuk digunakan.

Pengarahnya, Haji Shafii Mohamad, berkata pihaknya sudah menyediakan contoh empat jenis struktur bumbung baru yang bakal menggantikan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, yang sebahagiannya runtuh, hampir empat tahun lalu.

“Kita sudah bersedia untuk membentangkan kepada kerajaan negeri sebelum kerja pemasangan bumbung baru boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Terowong Kemajuan Jalan Pulau Kambing ke Bukit Kecil yang dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said semalam.

Katanya, setakat ini empat jenis bumbung yang dicadangkan mengambil inspirasi dan contoh daripada beberapa stadium di dalam dan luar negara, termasuk Stadium Putra Bukit Jalil dan Litar Antarabangsa Sepang.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan bumbung baru SSMZA dijangka selesai awal 2015, sekiranya kerajaan negeri bersetuju dan meluluskan projek berkenaan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Dalam pada itu katanya, kerja pembaikan dan pemasangan peralatan baru di stadium itu hanya membabitkan pemasangan bumbung, manakala struktur asas stadium itu disahkan kukuh serta selamat untuk digunakan.

"Asas stadium ini disahkan selamat oleh Unit Pakar dari ibu pejabat JKR Kuala Lumpur dan runtuhan bumbung stadium tidak memberi kesan atau menjejaskan struktur asas bangunan stadium," katanya.

 Beliau berkata, JKR juga akan membaiki beberapa kemudahan asas lain yang terjejas bagi membolehkan stadium itu digunakan, biarpun banyak fasiliti di dalam stadium itu yang rosak termasuk akibat kecurian.

Mengulas perkembangan kerja pembersihan sisa bumbung stadium yang runtuh, Haji Shafii berkata, kerja berkenaan sedang dijalankan oleh kontraktor sama sebelum ini.

 "Setakat ini kerja menurunkan bumbung di tempat duduk sebelah barat sudah 70 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Stadium yang menelan belanja RM292 juta itu telah runtuh (2 Jun 2009) sebahagian bumbung di tempat duduk bahagian timur selepas setahun disiapkan, dipercayai akibat kerangka penyokongnya tidak kukuh.

Dalam satu lagi kejadian pada 20 Februari lalu, lapan pekerja yang terbabit dalam kerja menurunkan kerangka bumbung lama di SSMZA cedera selepas bumbung itu runtuh, dipercayai akibat kecuaian pekerja melakukan kerja berkenaan.