Halaman

27 March 2013

Belum tiba masa untuk umum manifesto- MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman .
Oleh: Suriati Ali 

 Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said belum bersedia mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) biarpun menyedari pemimpin pembangkang sudah lama berbuat demikian.

 “Kita tidak akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat walaupun menyedari ramai yang ingin mengetahui apa isi kandungan manifesto.

 “Apabila tiba masa sesuai, kita akan umumkannya, apa yang penting, rakyat perlu bersabar menanti pengumuman manifesto yang pasti menjanjikan banyak kebaikan untuk rakyat ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu manifesto berkenaan adalah tambahan kepada manifesto BN Pusat yang dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

 “Walaupun manifesto tersebut masih di peringkat rahsia, kita berjanji kandungannya menjurus kepada soal perumahan, kebajikan rakyat, masalah-masalah perbandaran dan penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Berdasarkan rekod, BN tidak pernah terburu-buru melancarkan manifesto pilihan raya, tetapi sejarah membuktikan bahawa setiap janji yang dinyatakan dalam manifesto akan dilaksanakan selepas BN menang dalam pilihan raya,” katanya.

 Menurutnya, bahkan, perkara-perkara yang tidak dijanjikan dalam manifesto turut dilaksanakan selepas BN menang dalam pilihan raya baik di peringkat Pusat, mahupun peringkat negeri.

 “Keadaan ini berbeza dengan parti pembangkang yang hanya pandai berjanji setiap kali musim pilihan raya, tetapi tidak melaksanakannya.

 “Mereka akan mencari alasan,termasuk menjadikan BN sebagai ‘kambing hitam’ kerana kegagalannya menunaikan janji-janji tersebut. Ini terbukti pabila Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sejak tahun lalu lagi telah pun mengumumkan manifesto Pas bagi tujuan memancing undi,” katanya.

 Antara manifesto Pas yang tidakmasuk akal ialah melaksanakan pengecualian cukai kediaman, memberi cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan kematian suami dan menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun.

 Katanya, sebelum ini, Pas juga pernah berjanji untuk menghapuskan cukai pintu, tetapi janji tersebut tidak dilaksanakan walaupun mereka berjaya memerintah negeri ini pada tahun 1999 hingga 2004.

 “Inilah kebiasaan pemimpin pembangkang, mereka sanggup menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, tetapi bila sampai masa ia hanyalah janji kosong saja kerana mereka hanya mahukan undi dan jawatan wakil rakyat, tetapi tidak berniat pun membela rakyat,” katanya.