Halaman

27 March 2013

Terengganu komited lahirkan intelektual beragama

Oleh: Noraini Jusoh


Terengganu komited dalam usaha melahirkan golongan profesional dan intelektual yang mempunyai latar belakang agama yang kukuh dalam memenuhi keperluan dunia pada hari ini dan masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, untuk merealisasikan hasrat tersebut kerajaan negeri sedang berusaha melaksanakannya dari peringkat bawah.


"Tedapat lompang dalam bidang pendidikan kini kerana golongan agama hanya pergi kepada bidang mereka sahaja dan tidak diberi peluang seperti tokoh-tokoh ilmuan terdahulu.

"Pada zaman kegemilangan Islam dahulu, ramai ilmuan Islam yang menceburi bidang profesional contohnya seperti Ibnu Sinar dan Al Khwarizmi,” ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) Pelajar-Pelajar di Institut Al-Quran Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Institut Al-Quran Terengganu, Haji M.Rozi Bidin; Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Syed Anas Dato’ Syed Omar; Timbalan Pesuruhjaya Pengurusan dan Pembangunan (Maidam), Haji Mat Arsad Mohamed dan Pendaftar Institut Al-Quran Terengganu, Haji Lothman Awang.

Katanya, selaras dengan hasrat mengembalikan zaman kegemilangan tokoh-tokoh ilmuan Islam terdahulu, apa yang kerajaan negeri lakukan sekarang seperti program khatam al-Quran di usia lima tahun, penubuhan sekolah Imtiaz dan Institut Al-Quran Terengganu adalah usaha murni kerajaan untuk menghasilkan intelektual berasaskan agama suatu hari nanti.