Halaman

27 March 2013

10,000 belia dijangka kunjungi Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013

Oleh: Noraini Jusoh

10,000 belia dijangka mengunjungi Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu sepanjang tiga hari bermula 4 April ini.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Parlimen Kuala Terengganu antara lokasi terpilih bagi menjayakan karnival yang diadakan di 100 lokasi di seluruh negara yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia dan Astro.

"Sebanyak 39 agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan banyak lagi akan terlibat pada karnival kali ini.

"Antara pengisian program yang mensasarkan golongan belia ini ialah pameran dari jabatan-jabatan yang terlibat, pertandingan bola jaring, membina arca pasir, memancing, autoshow, larian kecergasan 1Malaysia, persembahan kebudayaan dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia 2013 Peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, karnival tersebut bertujuan mendekatkan dan merapatkan hubungan golongan belia dengan pemimpin masyarakat setempat sekali gus membendung masalah sosial di kalangan remaja.

Katanya, karnival yang dianjurkan diharap dapat mengurangkan tohmahan bahawa kepimpinan kerajaan tidak turun padang dan tidak memberi perhatian kepada belia di peringkat akar umbi.

"Selain itu, saya turut mengharapkan program yang bakal dilaksanakan ini dapat melahirkan semangat patriotisme di kalangan anak muda dan memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk tonjolkan bakat yang terpendam,” jelasnya.

Tambah beliau, anggota keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan mengadakan persembahan tempur tanpa senjata untuk menyemarakkan semangat cintakan negara di kalangan belia.