Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu akan perhebatkan gerakan mengesan ahli-ahli yang belum menjelaskan hutang masing-masing yang kini terkumpul lebih RM12 juta.
Pengarah LPP Terengganu, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, hutang yang tertunggak merupakan hutang lama dan baru yang berlarutan sejak enam tahun lalu.
Katanya, langkah pertama yang akan diambil ialah mengadakan perjumpaan dengan penghutang serta menghantar penyata hutang kepada mereka yang terbabit setiap bulan.
“Kita faham terdapat beberapa sebab mereka tidak mampu bayar balik pinjaman termasuk kegagalan projek, ditimpa bencana alam dan juga masalah liat bayar hutang,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, jabatan bersedia memberi khidmat nasihat jika berlaku kegagalan projek tetapi kalau sengaja kes mereka akan dibawa ke jawatankuasa tindakan timbangtara.
Menurutnya, setakat ini terdapat 52 orang telah melalui proses timbangtara dan perbicaraan dijalankan sama seperti kes yang dibawa ke mahkamah.
Katanya, sepanjang tahun lalu JPP telah berjaya membuat kutipan hutang berjumlah RM2 juta dan tahun ini dijangka dapat mengumpul kutipan dalam jumlah lebih banyak.