Halaman

28 March 2013

10,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan hari Ketengah ke-40 tahun

Oleh: Noraini Jusoh

Sempena genapnya usia 40 tahun penubuhan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) pada 12 April ini, dijangka kira-kira 10,000 pengunjung akan meriahkan sambutan ulang tahun ke-40 Ketengah di Kompleks Sukan, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun sepanjang tiga hari bermula 11 April ini.

Pengurus Besarnya, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian sambutan ulang tahun yang diadakan secara besar-besaran itu.

"Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya sambutan ulang tahun Ketengah pada tahun ini tampil berbeza apabila kita melibatkan masyarakat setempat untuk bersama-sama turut serta dalam program dan aktiviti yang diadakan.

"Kita turut bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan serta swasta untuk menjayakan sambutan ulang tahun yang bermakna ini,” ujarnya pada sidang media bersempena Sambutan Ulang Tahun Ketengah Yang Ke-40 di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, antara pengisian program ialah karnival usahawan, seminar kerjaya dan ICT, pameran agensi kerajaan dan swasta, autoshow, sukan rakyat dan pelbagai lagi.

"Selain itu, peraduan kuiz, cabutan bertuah, senamrobik perdana, pertandingan memancing, mewarna kanak-kanak, futsal serta cabutan bertuah turut diadakan,” tambahnya.

Katanya, majlis pelancaran penubuhan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) cawangan Kecil Ketengah turut diadakan. sempena sambutan ulang tahun itu.

Jelas beliau, tujuan sambutan ulang tahun tersebut adalah sebagai memperingati kembali tarikh penubuhan Ketengah secara rasmi pada 12 April 1973 sebagai sebuah agensi pembagunan wilayah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di samping mendekatkan penduduk wilayah Ketengah terutamanya dengan pengurusan dan kakitangan Ketengah melalui pelbagai acara yang diadakan.