Para pendidik boleh memainkan peranan untuk membendung masalah sosial dan keruntuhan akhlak remaja perempuan yang sedang hangat diperkatakan oleh masyarakat hari ini.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, pelbagai perkara berkait moral remaja dibangku sekolah amat membimbangkan dan perlu dibendung segera.

Katanya, keadaan menjadi semakin membimbangkan masyarakat Islam apabila masalah LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) turut menular di kalangan masyarakat yang sangat perlu dipandang serius.

“Mudah-mudahan segala ilmu yang diperolehi daripada kursus ini dapat dimanfaatkan sebagai panduan memimpin guru-guru Puteri Islam serta ahli-ahli puteri di sekolah supaya dapat mengisi masa remaja dengan perkara berfaedah,” katanya yang juga Pengerusi Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Terengganu.
Katanya, semua rakyat patut menjiwai konsep ’Tiada Halangan Hanya Peluang’ sebagai motivasi untuk berjaya.
”Hanya kekuatan dan kesungguhan dapat menjadi benteng ketika menempuh ranjau perjalanan dan saya yakin dengan kebijaksanaan, jati diri dan sumber tenaga yang ada, kejayaan dapat dicapai dengan mudah,” katanya.

Menurutnya, kerjasama semua pihak dapat memastikan setiap slogan yang dilaungkan, dapat dilaksana mengikut jangka masa ditetapkan dan kibarkan panji-panji kecemerlangan Puteri Islam sepanjang perjalanan, seluas mata memandang demi agama, bangsa dan negara. .
“Semoga usaha kita semua memberikan impak yang baik dan signifikan kepada masyarakat serta diberkati Allah SWT,” katanya.
To’ Puan Seri Hajah Norliza kemudiannya telah menyampaikan Watikah Perlantikan Pengerusi PPIM daerah-daerah bermula dari Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan, Marang, Dungun,Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.
Katanya, dengan pelantikan ini sama ada muka lama atau baru, diharapkan dapat memantapkan lagi pengurusan PPIM di daerah masing-masing melalui program dan pengisian berfaedah.
