Halaman

24 March 2013

TERENGGANU DIPERAKUI HEBAT PENDIDIKAN

Oleh: Ruslan AR

Kejayaan demi kejayaan terus ditempa oleh Terengganu di bidang pendidikan dan peperiksaan.

Terbaru,Terengganu mengekalkan momentum kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila merekodkan peningkatan dari segi kualiti pelajar yang memperolehi semua A+ bagi keputusan peperiksaan tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan semalam, pelajar yang memperolehi semua A+ atau cemerlang tertinggi dalam semua mata pelajaran meningkat empat orang kepada 19 orang berbanding 15 orang pada 2011.

Beberapa hari lepas, Terengganu juga telah berjaya mencipta rekod baru dalam bidang pendidikan apabila dua pelajar tersenarai sebagai calon terbaik negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012, yang diumumkan serentak seluruh negara.

Pelajar STPM yang berjaya membuktikan kecemerlangan ialah Normadia Manaf bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, dan Nor Izyan Suhaimi dari SMK Renek, Besut.

Normadia yang merupakan anak petani berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 (empat flat) di mana memperoleh A untuk lima subjek yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan Seni Visual.

Sementara Nor Izyan mendapat PNGK 4.00 dengan memperoleh A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi dan A- ekonomi .

Nor Izyan terpilih sebagai antara calon terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar. Ini menunjukkan tiada perbezaan antara pelajar sekolah bandar dan luar bandar di negeri ini kerana masing-masing mendapat kemudahan pembelajaran yang sama.

Kita sebagai rakyat Terengganu tentulah berasa bangga dengan keputusan itu dan mengucapkan tahniah kepada pengetua, guru-guru dan ibu bapa yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk meningkatkan kualiti pendidikan negeri.

Ini tidak hanya berlaku begitu sahaja, melainkan hasil dari usaha gigih pelajar, di samping fokus yang kerajaan negeri berikan terhadap bidang pendidikan di Terengganu.

Semua orang tahu bidang pendidikan adalah fokus utama kerajaan negeri Terengganu.

Kerajaan negeri memperuntukkan pelaburan yang besar pada setiap tahun semata-mata mahu melihat bidang pendidikan di Terengganu terus unggul mencapai kecemerlangan.

Pelbagai program dan insentif tertentu turut disediakan sebagai galakan serta ganjaran buat pelajar dan guru.

Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) termasuk Program Pelajar Terengganu Terbilang, Program Bimbingan Sekolah, Program Akademi, Program Tutorial, Insentif Pelajar Cemerlang dan Anugerah Guru Terbilang. Pelbagai saluran bantuan disediakan untuk memastikan tidak ada anak negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik.

Terengganu juga menjadi pelopor pendidikan maya, pemberian e-Book secara percuma kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima, sebagai persediaan awal bagi anak-anak Terengganu menyahut cabaran pendidikan universal yang semakin canggih.

e-Book merupakan antara komponen penting dalam memperkasakan pendidikan negeri serta menjadi titik tolak yang terpenting dalam persediaan enterjemahkan wawasan untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

Kecemerlangan pendidikan di Terengganu terbukti dengan pencapaian demi pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menjanjikan akan terus memastikan kecemerlangan itu berterusan dengan memperkenalkan pelbagai program, kemudahan dan insentif berkaitan pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Bahkan ini diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sewaktu berucap di Jamuan Rakyat di Petai Bubus, Dewan Undangan Negeri Telok Pasu kelmarin.

Beliau pernah berkata, Terengganu mampu menjadi peneraju kepada negeri-negeri lain bagi memajukan bidang pendidikan di negara ini Kecemerlangan Terengganu dalam peperiksaan awam berterusan dan beliau di Johor pun rasa kagum di atas kejaaan Terengganu berbanding negeri negeri lain.

Katanya banyak program yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar, yang sebenarnya tidak banyak dilasanakan di negeri-negeri lain.

 Bahkan katanya,banyak program yang dilakukan di Terengganu boleh dicontohi negeri lain bagi memajukan bidang pendidikan.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian wang sagu hati kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan utama dan e-Book hanya dilaksanakan di Terengganu.

Rakyat negeri ini sepatutnya bersyukur kerana berpeluang menikmati kemudahan tersebut. Apa yang penting ialah kita terus memberikan sokongan padu di atas apa yang telah dijalankan oleh semua pihak bertanggungjawab, termasuk kerajaan bagi kejayaan pendidikan.

Memberikan pendidikan dan ilmu yang sempurna kepada generasi muda hari ini adalah sebenarnya langkah membina masa depan negara dan negeri yang gemilang.

 Apabila kita hendak melihat wajah negara dan negeri pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini; sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berpendidikan, berilmu, berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur.

Akan tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Oleh itu marilah kita menyediakan generasi terbaik untuk hari depan bangsa dan negara kita.