Halaman

04 February 2011

Terengganu Hantar Tiga Wakil Ke Jeddah

Oleh: Aida Abd Rahman




Kerajaan Terengganu menghantar tiga wakil yang terdiri daripada pegawai kerajaan negeri ke Jeddah, Arab Saudi, hari ini (3 Februari) bagi menguruskan kepulangan pelajar negeri ini yang menuntut di Mesir .

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata mereka diketuai Pegawai Penyelaras Penuntut Terengganu di Mesir, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah, pegawai dari Yayasan Terengganu dan pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu.



"Kita akan menghantar wakil berkenaan bagi menyiapan bilik opeasi untuk memudahkan menghubungi pegawai kita di sana sekaligus melancarkan urusan penghantaran pulang ke tanah air.

"Diharap ibu bapa jangan bimbang kerana Insya-Allah kita, kerajaan negeri dan kerajaan Malaysia akan berusaha membawa pelajar dan rakyat kita ulang dengan selamat, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menyiapkan bilik operasi khusus bagi melancarkan uruskan kepulangan penuntut-penuntut berkenaan termasuk menerbangkan mereka secara berperingkat-peringkat melalui kapal terbang atau kapal laut.



Pada masa ini terdapat 233 penuntut Terengganu yang mendapat tajaan Yayasan Terengganu dan 312 penuntut di bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menuntut di negara yang sedang bergolak itu.

Katanya, penuntut-penuntut Terengganu di Mesir diharap dapat menghubungi sekretariat bilik operasi yang ditubuhkan kerajaan Malaysia di Jeddah bagi memudahkan urusan membawa pulang.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, semua penuntut berkenaan yang berada di Mesir dilaporkan dalam keadaan selamat kerana sejak awal lagi mereka diarahkan supaya berada di rumah serta asrama masing-masing dan mengelak daripada berada di tempat awam yang terdedah kepada bahaya.

03 February 2011

Raja Perlis Tiba di Bandaraya Kuala Terengganu

Oleh : Shahrir Hamid



Tuanku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Tuanku Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, dengan pesawat khas, kira-kira jam 6.20 petang hari ini (3 Februari).

Ketibaan Raja Perlis dengan Tuanku Raja Perempuan Perlis disambut oleh Ahli Majlis Pangkuan Diraja Terengganu serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Keberangkatan baginda berdua ke Terengganu untuk menziarahi pusara ayahanda Raja Perempuan Perlis, Tengku Abdul Rashid Ibni Almarhum Sultan Sulaiman di tanah perkuburan Masjid Sultan Zainal Abidin di sini.



Manakala Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 7 petang ini (3 Februari).

Orang ramai yang berada di lapangan terbang itu turut berpeluang menyaksikan ketibaan Raja Perlis bersama Raja Perempuan Perlis.



Baginda berdua kemudiannya menaiki kenderaan khas meninggalkan lapangan terbang itu dan menuju ke Bandar Raya Kuala Terengganu.

Jalan yang dilalui oleh baginda berdua itu dikawal oleh anggota polis trafik bagi memastikan perjalanan Raja Perlis bersama Raja Perempuan Perlis itu berjalan lancar.

TEGANUKITA

RAJA PEREMPUAN PERLIS DAN TERENGGANU



Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis,Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berangkat ke Negeri Terengganu hari ini 3 Februari dan dijangka berada di negeri ini sehingga 5 Februari.
Kedua-dua Baginda tiba kira-kira jam 6.15 tadi petang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan dijangka bersemayam di Riyaz Heritage Marina Resort di Pulau Duyong Kuala Terengganu.

Esok, 4 Februari kedua-dua Baginda dijangka berangkat melawat Makam ayahanda dan Bonda di Masjid Abidin Kuala Terengganu. Difahamkan ayahanda Raja Perempuan Perlis Al-Marhum Tengku Abdul Rashid adalah anakanda kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah,Sultan Terengganu (1920-42).
Isteri al-Marhum Tengku Abdul Rashid ialah Tengku Kembang Puteri binti Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, bermakna Raja Perempuan Perlis adalah kerabat Kesultanan Terengganu dan Kelantan.
Baginda Raja Perlis dijangka menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang,Kuala Terengganu dan akan berangkat bersama Raja Perempuan melawat Taman Tamadun Islam pada hari Sabtu 5 Februari.
Selepas itu di sebelah petang Baginda berdua dijangka berangkat balik semula ke Perlis.







TEGANUKITA

MAKLUMAT MENGENAI PARKIR AUTOMATIK (rotary type)


Inilah Parkir yang dimaksudkan di Jalan Batas Baru,Kuala Teregganu
.
Oleh: Ruslan Rahman
Terletak di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu.
Mula dibina pada 9 Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada Disember 2010, merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Semalam 2 Februari dibuka dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.


Bilangan unit; kereta biasa ada 200 unit, MPV ada 32 unit.
Bayaran untuk satu jam pertama ialah RM2.50 unit dan jam seterusnya hanyalah RM1.00
Bagi menyewa secara bulanan ialah RM150.00 sebulan.
Masa operasi, Sabtu hingga Khamis dari jam 700 pagi hingga 600 petang,manakala hari Jumaat (tutup).


Dato' Seri Ahmad meletakkan kereta rasminya
Caranya: untuk masuk, pemaduk masuk parkir, tekan butang ambil ‘entry slip’,terus ke blok parkir, operator arah ke ruang kosong, ambil cip nombor parkir,masukkan kereta dalam petak dan keluar dari kereta.
Manakala untuk keluar, serahkan cip kepada operator, operator turunkan kereta, bawa kereta keluar dan terus ke pondok bayaran, serahkan slip, bayar dan selesai.
Kehilangan slip/cip dikenakan denda RM50.00

TEGANUKITA

LPP bakal pasar 3,000 ubi vitato

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 3,000 metrik tan ubi keledek jenis Vitato dijangka dapat dipasarkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu untuk memenuhi permintaan pelanggan pada tahun ini.

Pengarah LPP, Encik Shamsuddin Mat Rani, berkata sehubungan itu pihaknya akan menambah keluasan tanah untuk tanaman ubi keledek Vitato kepada 150 hektar tahun ini berbanding 62 hektar tahun lepas.

"Tahun lepas kita hanya berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 820 metrik tan sahaja dan ia tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan," katanya
Shamsuddin berkata bagi mencapai matlamat itu, LPP akan memperkenalkan pengurusan ladang ubi Vitato secara mini estet dan tidak menggalakkan lagi ia ditanam secara bersendirian seperti sebelum ini.

“Tumpuan utama akan diberikan di Besut dan juga Setiu yang menjadi pengeluaran utama ubi Vitato di Terengganu setakat ini,” katanya.

Dalam hal ini, Shamsuddin berkata agensi-agensi kerajaan seperti Mardi dan Jabatan Pertanian akan bekerjasama dan akan mengawasi penanaman ubi Vitato supaya hasilnya baik dan berkualiti.

“LPP pula akan menambah kemudahan jentera ladang seperti alat membatas, menanam dan menuai demi untuk mempertingkatkan lagi hasil pengeluaran dan membina sebuah kilang memproses ubi Vitato bernilai kira-kira RM4.7 juta di Besut yang dijangka siap sepenuhnya Jun ini.

“ Pertubuhan Peladang Kawasan juga akan menyediakan pinjaman kepada peserta-peserta projek ubi Vitato dengan syarat tertentu,”katanya.


TEGANUKITA

Pelajar Aseni pamer persembahan tradisional


Oleh: Suriati Ali


Sembilan jenis persembahan tradisional yang dipamerkan penuntut Akademi Seni Terengganu (Aseni) cukup mengagumkan dan memukau ratusan penonton yang hadir sempena Resital Pelajar Tahun Akhir sesi Febuari 2009.

Gamelan; muzik berjudul anak udang, semalam di Kuala Terengganu; teater realiti; tarian Rain Forest dan muzik berjudul jangan ditanya.

Manakala empat lagi tarian anak tedung; teater monolog; tarian song of the bird dan wayang di persembahkan oleh 17 pelajar akademi itu diadakan Di Dewan Auditorium 1, Komplek Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi (2 Februari).

Persembahan hampir empat jam itu turut ditonton Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahmad Wan Muda dan Pengarah Aseni, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.

Tengku Mohd Arifin berkata, resital atau persembahan muzik seumpama ini perlu dilaksanakan setiap pelajar yang mengambil sijil seni muzik sebagai syarat bergraduat sebelum menempuh alam pekerjaan sebenar.

Katanya, selama dua tahun menimba ilmu dalam bidang ini, pelbagai jenis tarian dan adat budaya Melayu dipelajari mereka termasuk berkaitan memulihara dan menyuburkan budaya warisan Terengganu.

“Saya yakin selepas ini, mereka mampu bergelar pengamal dan pengiat seni budaya profesional setanding mereka yang sudah berjaya.

“Program yang dapat menyemarakkan aktiviti dan industri kesenian Terengganu ini akan diteruskan pada tahun depan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ini penting kerana bukan saja dapat menjadi rujukan kepada penyelidik dan pencinta seni malah memberi peluang kepada individu kurang berbakat mempelajarinya.

TEGANUKITA

SELAMAT TAHUN BARU CINA


Kuih Bakul


Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Tahun Baru Cina dan di Terengganu:


Dalam masyarakat Melayu kuih bakul dan limau Cina cukup sinonim dengan raya Cina ini kerana masyarakat Melayu sama ada di bandar atau di kampung-kampung yang mempunyai komuniti Cina selalu dihadiah buah tangan itu kawan-kawan atau jiran Cina mereka,setiap kali tibanya musim Raya Cina.
Bahkan bagi nelayan Terengganu, mereka percaya angin dan gelora di laut yang datang beberapa hari sebelum itu akan berakhir sebaik berakhirnya sambutan Tahun Baru China.


KG.CINA TERENGGANU DULU

KG.CINA TERENGGANU SEKARANG.....



Menurut sejarah, Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.
Pada abad ke 19, pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah di Kuala Terengganu (termasuk Kg.Cina di bandar Kuala Terengganu) mencatatkan kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.
Oleh sebab itu hubungan dan sambutan Tahun Baru Cina di Terengganu turut dihayati oleh orang-orang Melayu di Terengganu sejak sekian lama dengan perhubungan dan semangat muhibbah yang sudah terbukti dalam sejarah.




Sejarah Tahun Baru Cina bermula beribu-ribu tahun dahulu.

Perayaan Tahun baru Cina menandakan permulaan tahun baru bagi kalender masyarakat Cina.Bersama-sama dengan warna merah, tanglung dan pakaian ‘cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina.

Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru.
Seperti yang kita ketahui, terdapat 12 ekor binatang yang menjadi simbol tahunan; lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi Cuma 12 binatang sahaja yang sampai.
Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha.Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.
Tahun ini adalah sambutan ‘Tahun Arnab”.

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum.
Hari kelima belas bagi perayaan ini iaitu hari ‘ Chap Goh Mei ‘ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Sambutan bagi Tahun Baru bermula beberapa hari sebelum itu. Orang ramai (Cina) mula membeli belah, terutama baju baru, perhiasan rumah, dan hidangan wajib Tahun Baru seperti kuih bulan dan limau mandarin.Menjelang semakin hampir hari Tahun Baru, rumah-rumah akan dihias indah, bertemakan merah dengan tulisan kaligrafi Cina yang mendoakan kemakmuran dan kekayaan ditahun hadapan.

Di malam Tahun Baru , kaum keluarga samada dekat atau jauh akan berkumpul di rumah ibu bapa untuk upacara makan besar. Ini simbol eratnya ikatan kekeluargaan yang menjadi tunjang mesyarakat harmoni.
Hidangan makan malam Tahun Baru ini biasanya adalah tradisi turun temurun seperti itik panggang, tiram berkicap, mee dan sayuran.

Selesai makan, semua ahli keluarga akan berdoa dan menjalankan upacara ‘shuo sui’ , yang dipercayaai akan memanjangkan umur seseorang.Bagi yang tua, kemudian malam tahun baru akan dihabiskan dengan permainan sebagai hiburan untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga.
Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan suasana, disamping ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan.
Ia membawa maksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’.Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin.

Tarian singa juga dipersembahkan, sebagai tanda memuliakan haiwan ini yang membantu menumpaskan rasaksa jahat mengikut kepercayaan tradisi kaum Cina.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri hadir rumah terbuka Tahun Baru Cina…

Meriah sekali Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu yang bermula kira-kira jam 10.00 pagi ini (3 Februari) .
Exco Kerajaan Negeri, YB Toh Chin Yaw serta pimpinan dan anggota parti MCA Terengganu menyambut ketibaan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud.
Hadir sama Yang diPertua Dewan Undangan Negeri, YB Tengku Putera Awang, Setiausaha Kerajaan YB Dato’ Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Azlan Dagang.
Masyarakat dari pelbagai kaum Melayu dan beberapa orang India kelihatan hadir saya bersama sama kaum Cina menyambut Tahun Baru itu, selaras dengan Konsep 1 Malaysia.
Kuih-kuih Melayu banyak disediakan seperti nasi minyak,nasi dagang, laksa, limau Cina dan dan kuih putu mayam.
Tarian singa dipersembahkan kepada hadirin dengan iringi muzik yang sungguh memeriahkan suasana.
Dato’ Seri Ahmad berkata, beliau bangga dengan suasana ini yang melambangkan ikatan perpaduan yang kukuh, muhibbah dan bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.
Teganukita mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh kaum Cina yang merayakannya, khususnya di Terengganu- KONG HEE FATT CHOY.

Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman pagi 3 Feb


TEGANUKITA

MB HANTAR TIGA PEGAWAI SELAMATKAN PELAJAR TERENGGANU DI MESIR



Ustaz Haji Ahmad Kamal Abdullah- mengetuai urusetia penyelamat bagi pihak Kerajaan Terengganu


Laporan sertamerta oleh: Ruslan Abdul Rahman

12.30 TENGAHARI, 3 Mac: Missi menyelamatkan pelajar di Mesir- Terengganu hantar tiga pegawai ke Jeddah di ketuai pegawai khas hal ehwal pelajar di Mesir, Ustaz Haji Ahmad Kamal bin Abdullah (bekas ADUN Sura/bekas Imam Besar), seorang Pegawai Yayasan Terengganu dan seorang dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan berlepas hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said memberitahu media di Dewan Tunku Abdul Rahman pagi ini (3 Februari) selepas mengunjungi rumah terbuka MCA sempena Tahun Baru Cina. Hadir sama, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri, YB Tengku Putera Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato' Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Azlan Dagang.

Dato' Seri Ahmad meminta ibubapa pelajar jangan bimbang kerana keadaan terkawal dan bilik gerakan dibuka untuk memindahkan terlebih dahulu pelajar dari Mesir, termasuk di Mansurah ke Jeddah dan menginap di asrama Tabung Haji(transit) sebelum pulang ke tanah air menaiki kapal laut.



Katanya, kapal terbang tidak mampu kerana Malaysia hanya diberi kebenaran tiga penerbangan sahaja dan kapalterbang C30 hanya boleh memuatkan seramai 140 sahaja untuk satu penerbangan, kita ada berbelas ribu pelajar seluruh Malaysia.

Dato'Seri Ahmad berkata pelajar tajaan Yayasan Terengganu ada lebih kurang 233 orang dan Maidam 313 orang dan akan dibawa pulang dalam tempoh yang segera.

Lain-lain pelajar dan ibubapa yang tidak berada di bawah tajaan berkenaan bolehlah juga menghubungi bilik gerakan yang dibuka di Jeddah itu.

"Setahu saya semua pelajar selamat dan berharap mereka tidak pergi ke tempat-tempat awam, tinggal di rumah atau di asrama adalah lebih selamat," katanya.

Dato' Seri Ahmad meminta ibubapa dan semua pihak jangan mendengar khabar-khabar angin,sebaliknya dapatlah maklumat rasmi dari urusetia kita di Jeddah dan juga Kementerian Pengajian Tinggi.


TEGANUKITA





Selamat Menyambut Tahun Baru Cina; Rumah Terbuka Pupuk Semangat 1Malaysia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Seri Ahmad Said disambut tarian singa ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap masyarakat Tiong Hua di Terengganu terus melakar kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan selain menjalinkan kerjasama dengan kaum lain termasuk Melayu di negara ini dan Terengganu khususnya dalam usaha membangunkan negeri.

Beliau yang turut mengambil kesempatan mengucapkan `Gong Xi Fa Cai’ kepada semua kaum Cina di negeri ini berharap majlis rumah terbuka sempena perayaan itu mampu meningkatkan lagi perpaduan dan semangat 1Malaysia.

Menteri Besar ditemani isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud tiba di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, kira-kira jam 10 pagi, hari ini (3 Februari).

Turut hadir,Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw.



Kira-kira 3,000 tetamu menghadiri majlis berkonsepkan perayaan 1Malaysia yang menyediakan menu pelbagai kaum di Malaysiatermasuk nasi minyak, laksa, putu mayam dan kuih bakul.



Seorang pengunjung, Puan Hasnor Salleh, 52, turut tidak melepaskan peluang menghadiri majlis itu bersama keluarga, teruja dengan sambutan yang begitu meriah kerana mampu menghimpunkan semua masyarakat tanpa ada batasan kaum.

“Majlis ini bagus dan mak cik sekeluarga sentiasa tidak melepaskan peluang bersama anak-anak ke sini sejak dulu lagi. Makanan yang disediakan juga lazat dan menyelerakan,” kata surirumah dari Flat seri Kolam, Kuala Terengganu itu.



Manakala seorang kakitangan kerajaan, Chua Gor Thong, 25, dari Gong Kapas, Kuala Terengganu, berkata semangat perpaduan dan muhibah dapat dipupuk daripada sambutan Tahun baru Cina yang menekankan konsep 1Malaysia ini sebagaimana juga kepentingannya dengan sambutan perayaan lain di negara ini.

Katanya, pelbagai makanan tradisional pelbagai kaum yang tersedia di majlis itu juga menggambarkan semua kaum saling menghormati dan menggemari makanan tradisi kaum lain.



Seorang perunding syarikat swasta, Munusamy Aplasamy, 55, juga bersemangat menyertai sambutan itu bersama keluarga kerana kelainan dan keunikan yang ditonjolkan, selain kemeriahan majlis yang menimbulkan keseronokan.

“Saya bersama keluarga sudah kali ketiga meluangkan masa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina ini. Perayaan ini berjaya menyatukan semua kaum dan menyeronokkan kerana kita jarang dapat berkumpul dalam satu majlis besar seperti ini,” katanya.



TEGANUKITA

02 February 2011

Parkir Automatik Pertama Di Malaysia Beroperasi

Oleh: Mohamad Shahrir bin Hamid

Parkir Automatik (Rotary Type) yang pertama dibina di negara ini, memulakan operasi hari ini dengan tawaran meletak kereta secara percuma selama satu minggu.

Pencetus idea pembinaan parkir berharga RM 9.8 juta itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, merasmikan bangunan itu yang terletak di Jalan Batas Baru, dan kini menjadi kebanggaan rakyat Terengganu itu.

Parkir percuma diberikan kepada pengguna kenderaan yang menggunakan kemudahan canggih diilhamkan kepakaran teknologi dari China bermula esok (3 Februari) dalam usaha memahirkan pengguna tentang teknologi baru itu.

“Saya bangga kerana Terengganu mempunyai parkir automatik pertama seumpamanya di negara ini dan menyelesaikan masalah pengguna jalan raya terutama dalam Bandaraya Kuala Terengganu meletakkan kenderaan mereka,” jelas Dato’ Ahmad.

Dato’ Ahmad juga berharap ramai pengguna akan menggunakan kemudahan yang telah disediakan kerajaan itu demi kesenangan serta keselesaan rakyat.

Beliau berkata, hanya London dan Tokyo sahaja yang menggunakan Rotary Type seumpama itu dalam usaha menjimatkan penggunaan kawasan serta keselamatan kenderaan lebih terjamin.

Pembinaan Rotary Type memakan masa tidak sampai setahun bermula 9 Mei 2010 dan siap sepenuhnya Disember 2010. Parkir tersebut mampu memuatkan lebih 200 buah kereta pada suatu masa serta 32 kenderaan pelbagai guna (MPV).

Caj RM 2.50 dikenakan pada 1 jam pertama bagi pengguna bersesuaian dengan teknologi canggih tersebut. Bagi jam seterusnya mereka perlu membayar RM1 setiap jam.

Seramai dua pekerja bertanggungjawab mengendalikan parkir automatik rotary type yang telah memulakan operasinya hari ini. Pada masa yang sama, Dato’ Ahmad menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pembangkang pembinaan parkir tersebut dijalankan selepas ditolak oleh negeri lain.

Dato’ Ahmad juga telah mengenal pasti beberapa jalan utama di negeri ini bakal dibaik pulih bagi memberi keselesaan maksimum kepada pengguna jalan raya serta melicinkan kesesakan lalu lintas.

“Kita akan membuka jalan tiga lorong sekiranya perlu bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan perkara ini akan dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya bersesuaian dengan moto ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’,” katanya.


TEGANUKITA