Tuanku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Tuanku Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah Binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, dengan pesawat khas, kira-kira jam 6.20 petang hari ini (3 Februari).
Ketibaan Raja Perlis dengan Tuanku Raja Perempuan Perlis disambut oleh Ahli Majlis Pangkuan Diraja Terengganu serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Norliza dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Keberangkatan baginda berdua ke Terengganu untuk menziarahi pusara ayahanda Raja Perempuan Perlis, Tengku Abdul Rashid Ibni Almarhum Sultan Sulaiman di tanah perkuburan Masjid Sultan Zainal Abidin di sini.
Manakala Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 7 petang ini (3 Februari).
Orang ramai yang berada di lapangan terbang itu turut berpeluang menyaksikan ketibaan Raja Perlis bersama Raja Perempuan Perlis.
Baginda berdua kemudiannya menaiki kenderaan khas meninggalkan lapangan terbang itu dan menuju ke Bandar Raya Kuala Terengganu.
Jalan yang dilalui oleh baginda berdua itu dikawal oleh anggota polis trafik bagi memastikan perjalanan Raja Perlis bersama Raja Perempuan Perlis itu berjalan lancar.
TEGANUKITA