Halaman

31 January 2011

Dato’ Seri Ahmad mampu lakukan yang terbaik

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata rakyat Terengganu, terutama penyokong Barisan Nasional (BN) menyatakan rasa syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat kerana mempercayai kewibawaan Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerajui barisan pimpinan Umno.

Pesara Kerajaan, Haji Long Abdul Rahman, berkata Dato’ Seri Ahmad cukup dikenali rakyat dengan sifat semula jadinya, mudah tersentuh apabila rakyat ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah, mengapa beliau rapat dengan rakyat.

“Mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, ia tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana jawatan itu cukup sesuai berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Beliau bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang politik malah menjadi individu yang dipercayai sewaktu memegang beberapa jawatan penting dalam agensi kerajaan dan swasta, termasuk pernah menjawat Penolong Pegawai Daerah Setiu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kemaman dan Pengerusi Pesama Timber Corporation Sdn, Bhd,” katanya.

Haji Long Abdul Rahman berharap barisan pimpinan baru Umno menjadi mantap dan tersusun dalam mentadbir negeri untuk terus mengecapi kesejahteraan dan kemakmuran.

“Saya percaya Dato’ Seri Ahmad dan Timbalannya, YB Yahya Khatib Mohamad mampu melakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat dan Umno,” katanya yang memegang jawatan terakhir sebagai Pegawai Daerah Marang.

Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata apabila seseorang itu diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar secara mutlaknya perlu memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno seperti yang dilantik di lain-lain negeri.

“Amalan ini bukannya perkara baru malah menjadi tradisi sejak dahulu lagi, ia juga berlaku di zaman pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh di mana ketika itu selaku Menteri Besar akan memegang jawatan sebagai pengerusi badan,” ujar Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad.

Beliau yang turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi badan itu mengakui dan percaya segala urusan seperti merancang strategi dan meraih undi akan bertambah mudah, selain mampu menambah kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.


TEGANUKITA