Program suara kampus mampu membuka minda siswa dan siswi serta mencungkil bakat dan kreativiti mereka, selain memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan pendengar.
“ Saya percaya pengalaman ini akan menjadi perangsang kepada mereka setelah tamat pengajian dan mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif apabila berada di dunia luar nanti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, pada majlis penutup Bengkel DJ Suara Kampus 2011, di Auditorium Radio Malaysia Terengganu FM (TFM), Bukit Pak Apil, semalam (31 Januari).
Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Setiausaha Kerajaan, Agama dan Penerangan negeri, Haji Lukema Meri Salleh.
Hadir sama, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah; Ketua Bahagian Rancangan, Puan Noor Asmihan Mansor dan Penerbit, Encik Rizallimi Mohamed dan 34 peserta dari 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Katanya, program suara kampus yang akan bersiaran setiap Khamis jam 9.15 malam hingga 11 malam ini berkonsepkan hiburan santai dan menjadi saluran untuk mempromosikan aktiviti serta info semasa perkembangan pusat pengajian tinggi.
“Usaha TFM meneruskan program Tadarus Bersama Remaja juga harus dipuji, bertujuan membentuk remaja berpendidikan serta kuat berpegang kepada agama, berkualiti dan jatidiri,” katanya.
Katanya, apa yang bersiaran di TFM merupakan ilmu dan maklumat serta mesej kerajaan yang berguna kepada seluruh penduduk di negeri ini agar masyarakat memahami dengan jelas dan tepat.
Bengkel DJ Kampus kali kedua diadakan, di mana peserta diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta amali di studio yang dikendalikan DJ TFM, Puan Noor Asmihan Mansor, Encik Zainal Abidin Mustafa, Puan Rida Suzirawati Muda dan Puan Noorhaniza Mat Yeh.
TEGANUKITA