Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Al-Marhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat dan meluangkan masa hampir dua jam melawat Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (5 Februari).
Baginda berdua berangkat ke taman pelancongan yang menjadi mercu tanda Terengganu itu bersama-sama anakanda baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Dato’ Akashah Khalil.
Rombongan Diraja Perlis berkenan menaiki Bas Bandar dari tempat penginapan dan turut diperkenalkan tempat menarik sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Wan Man.
Kira-kira 5 kerabat Diraja Perlis yang turut sama dalam lawatan baginda ke Terengganu sepanjang tiga hari bermula Khamis lalu itu.
Di Taman Tamadun Islam, rombongan Diraja berkenaan diberi taklimat mengenai pusat pelancongan itu sebelum dibawa menaiki tram khas bagi mengelilingi taman dan menyaksikan monumen senibina Islam yang masyhur seluruh dunia yang terdapat di situ.
TTI yang terletak di tapak berkeluasan 23 hektar merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia yang memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.
Taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam itu menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).
Selain itu, Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.
Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu yang mana masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.
Rombongan turut melawat Noor Arfa Batik, Chendering dan meluangkan masa lebih sejam melihat hasil kerja tangan di bilik pameran dan membeli sutera ekslusif yang dihasilkan anak tempatan itu.
Sejurus lawatan di TTI, rombongan Diraja Perlis berangkat balik ke Perlis kira-kira jam 3 petang.
TEGANUKITA