Halaman

02 February 2011

Wisma Putra urus kepulangan pelajar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Yayasan Terengganu (YT) meminta ibu bapa pelajar Terengganu bersabar menunggu kepulangan anak mereka dari negara Mesir kerana Kementerian Luar sedang menguruskan kepulangan semua pelajar Malaysia yang berada di negara sedang bergolak itu.

Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pihaknya tidak boleh menguruskan kepulangan pelajar dari Terengganu secara terus kerana urusan itu tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Luar.

“Sebagai penaja, YT dan pelbagai agensi lain hanya menunggu tindakan selanjutnya dari Wisma Putra bagi menguruskan kepulangan pelajar yang berada di Mesir. Kita tidak boleh bertindak secara terus walaupun didesak oleh ibu bapa pelajar yang ditaja,” katanya kepada wartawan Unit Komunikasi Negeri , hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menghubungi pihak kedutaan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan pelajar Terengganu di Mesir.

“Kita amat bertuah kerana terdapat beberapa pegawai kerajaan, termasuk Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Kamaru Al-Amin Ismail, kebetulan berada di negara tersebut atas urusan rasmi,” katanya.

Katanya, daripada maklumat yang diterima dari Kementerian Luar dan pegawai tersebut para pelajar Terengganu masih berada di negara Mesir dan mereka akan dipindahkan ke negara berdekatan dalam tempoh terdekat sebelum dibawa pulang ke Malaysia sama ada dengan menaiki kapal laut atau kapal terbang.

Mengikut laporan terbaru, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan kerajaan memutuskan untuk membawa keluar pelajar Malaysia dari mesir menerusi laut dan udara, berikutan pergolakan di negara itu yang semakin meruncing.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay dan turut disertai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail.

Haji Aziz berkata, pada masa ini para pelajar tidak menghadapi masalah dan mendapat pelbagai bantuan yang disediakan pihak berkuasa Kerajaan Malaysia.

TEGANUKITA