Halaman

03 February 2011

LPP bakal pasar 3,000 ubi vitato

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 3,000 metrik tan ubi keledek jenis Vitato dijangka dapat dipasarkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu untuk memenuhi permintaan pelanggan pada tahun ini.

Pengarah LPP, Encik Shamsuddin Mat Rani, berkata sehubungan itu pihaknya akan menambah keluasan tanah untuk tanaman ubi keledek Vitato kepada 150 hektar tahun ini berbanding 62 hektar tahun lepas.

"Tahun lepas kita hanya berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 820 metrik tan sahaja dan ia tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan," katanya
Shamsuddin berkata bagi mencapai matlamat itu, LPP akan memperkenalkan pengurusan ladang ubi Vitato secara mini estet dan tidak menggalakkan lagi ia ditanam secara bersendirian seperti sebelum ini.

“Tumpuan utama akan diberikan di Besut dan juga Setiu yang menjadi pengeluaran utama ubi Vitato di Terengganu setakat ini,” katanya.

Dalam hal ini, Shamsuddin berkata agensi-agensi kerajaan seperti Mardi dan Jabatan Pertanian akan bekerjasama dan akan mengawasi penanaman ubi Vitato supaya hasilnya baik dan berkualiti.

“LPP pula akan menambah kemudahan jentera ladang seperti alat membatas, menanam dan menuai demi untuk mempertingkatkan lagi hasil pengeluaran dan membina sebuah kilang memproses ubi Vitato bernilai kira-kira RM4.7 juta di Besut yang dijangka siap sepenuhnya Jun ini.

“ Pertubuhan Peladang Kawasan juga akan menyediakan pinjaman kepada peserta-peserta projek ubi Vitato dengan syarat tertentu,”katanya.


TEGANUKITA